Thursday, July 28, 2011

Struktur Memudakan UMNO (Utusan 28/7/11)



Struktur memudakan UMNO

Sebagai sebuah organisasi UMNO tidak sakit, UMNO juga tidak lemah, UMNO bukan tidak cekap dan UMNO juga bukan tidak berwibawa. UMNO sebagai UMNO (tidak mengapalah jika ada ahli atau pemimpinnya yang tidak menepati ciri-ciri kekuatan UMNO) terus mempunyai kekuatannya tersendiri tanpa apa-apa kekurangan.

Namun demikian, UMNO sekarang dikelilingi oleh persekitaran yang berubah. Saya jangka jika ada yang ingin membuat kajian kes mengenai kekuatan UMNO hasilnya boleh ditamsilkan dengan dapatan kajian kes terhadap organisasi perniagaan dan perkhidmatan Pos di sebuah negara maju.

Kajian kes United States Postal Service (USPS) menarik jika dijadikan perbandingan dengan transformasi UMNO. USPS ialah organisasi awam kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS) dari segi bilangan pekerja seramai 671,687 orang dan operasinya sampai hampir ke setiap isi rumah.

Berkurun-kurun USPS menunjukkan organisasi itu sangat cekap pengurusannya, pekerjanya berdedikasi, visi dan misinya sangat jelas. Tiada apa salahnya dengan USPS sebagai sebuah organisasi perniagaan kerajaan. USPS kekal sebagai organisasi monopoli pengumpulan, pemprosesan dan penyampaian surat-menyurat dan dengan demikian misinya ialah mengekalkan penguasaan yang telah dinikmatinya selama 200 tahun itu. Sihat atau sakitnya USPS dianggap pertunjuk kepada sakit atau sihatnya kerajaan pusat AS.

Namun apabila teknologi berjaya mencipta mesin faks, tiba-tiba USPS seperti akan lumpuh kerana saingannya bukan ada kaitan dengan pengurusan, bukan juga dengan sumber manusianya dan bukan juga dengan visi atau misinya. Pukulan teknologi internet yang bertalu-talu menambahkan keganasan cabaran kepadanya.

USPS telah mengalami kemerosotan jumlah penghantaran surat secara berterusan daripada 212 bilion pada tahun 2007 kepada tinggal 167 bilion pada tahun lepas, iaitu kehilangan 45 bilion yang bukan sedikit. Mungkinkah organisasi yang berumur dua kurun itu akan terus menjadi tidak relevan lagi nanti?

Demikianlah saya melihat UMNO yang sekarang sedang menghadapi cabaran di luar jangkauan pemikiran orang terdahulu tentang kesan ciptaan teknologi terhadap organisasi. Meskipun banyak ahli UMNO atau orang Melayu yang nostalgia dengan perjuangan pemimpin yang terdahulu seperti Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan seterusnya tetapi jika mereka masih hidup yang duduk di kerusi Najib pada ketika ini, mereka pun belum tentu mampu menghadapi segala cabaran luar biasa yang dihadapi oleh Presiden UMNO sekarang.

Cabaran Presiden UMNO pada ketika ini adalah di luar tradisi cabaran terhadap organisasi itu. Cabaran ini memerlukan transformasi yang didefinisikan oleh Levy and Merry (1986) sebagai penyusunan semula setiap dimensi kewujudan organisasi yang meliputi misi, matlamat, struktur dan budayanya. Perubahan yang berlaku secara kebetulan atau melalui proses evolusi tidak layak dipanggil transformasi.

Di manakah UMNO hendak mencari idea luar biasa bagi melaksanakan transformasi untuk menjamin monopoli kuasa memimpin negara dari sebelum merdeka hingga sekarang? Idea itu boleh saja datang dari Timur, Barat atau Kutub Utara atau Kutub Selatan. Tetapi, jangan lupa kadang-kadang idea boleh juga diperoleh dari belakang ceruk dapur sendiri.

Meminjam kata-kata orang bijak terdahulu 'ke Yathrib dan Maghrib mencari penyelesaian akhirnya menemuinya dalam rumah sendiri'. Lihat bagaimana idea 'lif peluru' yang dibina di luar bangunan yang bukan berasal daripada arkitek atau jurureka profesional sebaliknya adalah idea tukang cuci bangunan.

Secara organisasi UMNO sekarang wujud dalam bentuk struktur berperingkat dari cawangan, bahagian, negeri hingga ke negara. Keahlian adalah melalui cawangan. Oleh sebab banyak cawangan di luar bandar atau kampung ada pemimpin tertinggi UMNO yang mengatakan UMNO adalah parti kampung.

Bagaimana pandai sekali pun seseorang itu jika dia berhajat hendak menjadi pemimpin tertinggi UMNO dia tiada pilihan kecuali pulang ke kampung mencari tapak. Ada juga beberapa contoh pemimpin korporat atau pemimpin awam yang merasa berkebolehan memberi sumbangan kepada UMNO di pusat, terpaksa pulang ke kampung mencari tapak itu, tetapi berkesudahan dengan kecundang dan kecewa.

Antara tokoh terkenal, pernah dilihat sangat berkebolehan dan pernah dikecewakan itu termasuk Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, tokoh organisasi kewangan Nawawi Mat Awin, tokoh pentadbiran awam Abdullah Ayub dan banyak lagi.

Jika AS pernah dan masih menghadapi krisis menggantikan generasi baby boomers yang memimpin segenap sektor di AS, Malaysia dan UMNO juga menghadapi krisis mencari pemimpin bagi menggantikan generasi merdeka, generasi 13 Mei dan generasi DEB sambil pada masa yang sama meneruskan kefahaman mendalam tentang tradisi perjuangan UMNO.

Generasi baru seperti mula menjauhkan diri daripada UMNO. Ada juga seorang dua pemimpin UMNO bertanya saya bagaimana mengajak mereka menyertai UMNO? Amat susah saya hendak menjawabnya secara spontan.

Apabila saya membelek semula sejarah UMNO saya dapati parti itu tertubuh bukan dari kumpulan yang sama seperti sifatnya UMNO sekarang. Perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 yang membawa kepada penubuhan UMNO didukung oleh 41 pertubuhan Melayu yang masing-masingnya berlainan dan berautonomi.

Saya terfikir, mungkin inilah antara jawapannya yang telah lama tersimpan di stor UMNO yang sudah berdebu? Secara struktur mungkin UMNO boleh mula berfikir untuk menjadikannya sebuah badan induk parti yang membenarkan adanya badan gabungan selain daripada meneruskan kewujudan cawangan, bahagian dan negeri. Namun, dalam perhimpunan UMNO, perwakilan tidak lagi terhad kepada wakil-wakil bahagian sebaliknya akan ada wakil-wakil dari badan-badan gabungan.

Tentang kuantum perwakilan badan gabungan dan bahagian tidaklah perlu diperincikan di sini sebaliknya boleh difikirkan dengan mendalam dan dimasukkan ke dalam perlembagaan UMNO nanti.

Dalam istilah perniagaan UMNO melaksanakan transformasi struktur dengan 'penggabungan dan pengambilalihan' badan-badan Melayu yang begitu banyak di Malaysia sekarang seperti memberi nyawa semula kepada tarikh 1 hingga 4 Mac 1946 itu.

Berbanding usaha UMNO mengadakan pelbagai projek mendekati mahasiswa, mendekati pelajar sekolah seperti kursus, projek khidmat masyarakat dan pelbagai lagi yang hasilnya agak lambat, dengan strategi yang dicadangkan UMNO akan tiba-tiba menjadi kaya dan muda semula.

Tidak mustahil melalui transformasi struktur seperti ini orang seperti Tan Sri Khalid akan meninggalkan PKR dan menyertai UMNO semula dengan memimpin sebuah badan gabungan lain yang berautonomi. Pilihan mencari pemimpin UMNO terbaik akan menjadi terbuka luas semula seluas lautan biru.

Melihat badan-badan Melayu berbondong-bondong menyertai UMNO dan dengan rasa tidak mahu ketinggalan gerabak, tidak mustahil Pas juga akan mencari jalan paling 'terhormat' untuk menyertai organisasi UMNO yang dipermudakan semula itu, seperti sifatnya pada 1973.

Apakah halangan utama kepada kemungkinan ini? Jawabnya tiada yang lain kecuali nostalgia, sentimen dan emosi. Tetapi, idea ini bukan hanya unik untuk UMNO kerana jika UMNO tidak berminat maka lawan UMNO akan melaksanakannya.

Hadi Awang telah mengorak langkah menemui NGO seperti Jamaah Islah Malaysia (JIM,) Persatuan Guaman Syariah Malaysia (PGSM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Ilmuan, Jaringan Siswazah Malaysia, dan Persatuan Pelajar Islam Selangor menyampaikan mesej kesamaan matlamat.

Meski pun Pas tidak secomel UMNO tetapi jika badan-badan Melayu yang banyak itu dibiarkan kekal sebagai penyokong luaran yang berkesudahan seperti melukut di tepi gantang atau seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong, tidak mustahil mereka akan beralih haluan mencari pilihan lain yang lebih mengalu-alukan mereka.

Dua ratus tahun USPS wujud dengan gagah tetapi tergugat oleh cabaran teknologi, terlalu muda untuk UMNO ditewaskan. UMNO mesti terus memudakan struktur binaannya bukan hanya pada solekan harian.

Tuesday, July 19, 2011

Analisis Tuntutan Bersih (Utusan 20/7/11)

ANALISIS TUNTUTAN BERSIH

Oleh: Nordin Kardi

Banyaknya orang memilih jalan mudah dalam membuat keputusan penting dalam hidup. Sebagai contoh kecil, kita lihat bagaimana cara pasangan muda hendak membeli keperluan peralatan rumah untuk menghadapi hidup baru. Mereka biasanya tidak akan membuat rujukan bacaan dahulu, sebaliknya segera bertanya kawan terdekat dan daripada pendapat kawan itulah mereka terus membuat keputusan. Kerap juga mereka kemudian menyesal bertahun-tahun kerana tidak membuat bacaan secukupnya. Mereka pernah belajar cara membuat keputusan yang bersistematik, terutamanya yang pernah belajar di universiti. Cara membuat keputusan rumah tangga sebegini kemudian diwariskan pula kepada anak-anak. Anak-anak itu kemudian dewasa dan mengulang cara membuat keputusan yang sama. Cara demikian berterusan menjadi budaya.

Dalam hal ini, cita-cita Wawasan 2020 yang mencatatkan matlamat melahirkan masyarakat saintifik nampaknya hanya melahirkan beberapa orang pekerja sains dengan membawa pelbagai gelaran, sedangkan hidup mereka kekal dipenuhi kepercayaan tahyul. Begitu pun, saya ragu sama ada golongan ini pernah membaca sendiri dokumen Wawasan 2020 atau hanya mendengar-dengar daripada kawan lalu membuat menghakimi wawasan itu. Daripada cara membuat keputusan itu, saya ragu-ragu juga sama ada pengikut demonstrasi Bersih baru-baru ini telah membaca dengan teliti memorandum Bersih yang hendak disampaikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya itu. Saya jangka ribuan daripada mereka itu tidak pernah pun menjeling dokumen itu, jauh sekali daripada membaca jawapan-jawapan oleh SPR atas alasan semua jawapan SPR memihak kepada pemerintah.

Seawal perenggan pertama, apabila membaca dokumen yang dinamakan Memorandum Pertubuhan (haram atau halal pertubuhan ini bukan urusan saya dalam konteks ini) Masyarakat Malaysia Mengenai Reformasi Pilihan Raya Malaysia 2010, seorang yang waras dan kritikal akan mempersoalkan ketepatan pendirian pertubuhan ini yang mengatakan ‘..Kami ..memegang kepada pendirian bahawa satu-satunya formula bagi penstabilan, peningkatan dan kemakmuran di Malaysia ialah melalui demokrasi ‘pelbagai parti’ yang sengit dan sihat’. Kemudian, dokumen itu merujuk pilihan raya Britain 2010. Selain daripada bahasanya kurang baik (seperti isyarat bahawa dokumen ini tidak dibuat dengan teliti mungkin atas desakan waktu untuk kepentingan tertentu), pembuat dokumen ini menyembunyikan fakta perbandingan bahawa di Britain atau di Amerika Syarikat hanya dua parti yang kuat bertanding, bukan seperti ‘pelbagai parti’ yang begitu bebas di Malaysia.

Meskipun undang-undang negara-negara itu membenarkan kepelbagaian parti untuk bertanding, hanya dua parti yang saling bertukar kuasa. Liberal Demokrat, parti ke-tiga di Britain, hanya pada pilihan raya yang lepas menunjukkan sedikit keupayaan, itu pun masih tidak sampai menguasai kerajaan sepenuhnya. Di AS pula sehingga sekarang hanya dua parti sahaja yang mendapat liputan walaupun ada parti renik lain, seperti Parti Hijau, yang turut serta. Ini semua adalah hasil kerja kapitalis. Mengapa tidak diberitahu kepada orang-orang muda dalam Bersih bahawa kuasa menentukan monopoli kuasa di negara Britain yang parlimennya jauh lebih tua daripada parlimen Malaysia itu telah dipindahkan daripada SPR mereka kepada golongan kapitalis yang menguasai parti-parti di sana yang menentukan berapa parti sahaja yang boleh hidup.

Jika kerajaan di Malaysia mereka katakan jahat, mereka lupa kerajaan boleh ditukar oleh warganegara melalui sistem undi tetapi jika kapitalis antarabangsa itu yang jahat, warganegara tidak ada kuasa apa-apa untuk menukar mereka. Pemimpin mereka bukan dipilih melalui pilihan raya. Elok juga jangan dilupakan sejarah Syarikat Hindia Timur, syarikat kapitalis yang diberi ‘charter’ oleh Raja Eropah untuk menjajah Asia termasuk Malaysia beratus-ratus tahun, telah menafikan sama sekali hak kebebasan rakyat negara yang dijajah memilih pemimpin sendiri.

Peserta demonstrasi juga tidak diberitahu oleh ketua Bersih bahawa mereka dipergunakan oleh pemimpin mereka menuntut paha selepas mendapat betis. Buktinya, pada perenggan dua memorandum itu dicatatkan pernyataan memuji sistem pilihan raya di Malaysia yang berbunyi ‘menjurus kepada pilihan raya 2008, Malaysia melalui perubahan gaya di dalam kerajaan, dari sebuah kerajaan berbentuk kuku besi kepada sebuah kerajaan yang lebih demokratik. Orang awam telah berpeluang mengecapi sebuah persaingan di antara BN dan PR yang mana ia membawa sebuah reformasi pentadbiran dan dasar-dasar yang lebih bersifat inklusif’.

Mereka memberi kepujian terhadap perubahan-perubahan yang berlaku dalam sistem politik Malaysia tetapi sejurus perubahan itu diberi mereka membawa orang ramai yang semi-jahil ke jalan raya menuntut sesuatu dengan kekerasan. Mengapa demikian balasan kepada keterbukaan yang telah diberi dan mereka puji itu? Nampaknya, yang mereka minati bukan transformasi tetapi sesuatu yang lain. Hanya orang yang terlalu jahil sahaja yang tidak mengesan maksudnya.

Dokumen itu pula seperti dengan sengaja ditujukan kepada sasaran yang salah iaitu SPR. Antara tuntutan itu termasuk (i). Hak mengundi dan pembuangan undi yang meliputi pendaftaran automatik, menurunkan usia mengundi, tidak hadir membuang undi dan (ii). Persempadanan semula kawasan (iii). Akta Pilihan Raya berkaitan tempoh kempen dan Akses Media, (iv). Demokrasi pelbagai parti dan (v). Pentadbiran pilihan raya. Semua tuntutan itu sepatutnya ditujukan kepada parlimen. Mereka tidak menjelaskan bahawa hanya parlimen yang boleh membuat undang-undang seumpama Akta bagi merealisasikan semua tuntutan itu, bukan Suruhanjaya Pilihan Raya. Dari awal mereka seperti telah merancang bahawa apabila jawapannya ‘tidak dapat’, mereka akan mengeksploitasikan kemarahan peserta demonstrasi bahawa SPR yang tidak adil itu degil tidak menerima tuntutan majoriti rakyat yang mahukan perubahan.

Pada hal, jika Parlimen menolak cadangan-cadangan Bersih atau SPR, mereka mesti mengiktiraf bahawa penolakan dibuat oleh majoriti ahli parlimen yang telah diundi oleh jutaan rakyat berbanding beberapa ribu orang, atau kalau sejuta sekali pun, yang menggunakan jalan raya untuk menggantikan kerajaan. Selagi mereka menerima Malaysia sebagai negara demokrasi berparlimen, mereka mesti menerima keputusan-keputusan parlimen itu. Jika mereka ingin mengubahnya mereka perlu melalui pilihan raya juga. Buat masa ini mereka mesti menerima hakikat bahawa mereka tidak kuat di parlimen dan apabila kehendak mereka itu di undi mereka akan kalah.

Seterusnya saya meneliti pula kesahihan pernyataan ketua penganjur yang menggambarkan Bersih diwakili oleh segenap lapisan rakyat. Daripada senarai 60 badan yang ‘endorsed’ memorandum itu terdapat banyak badan-badan tersenarai yang tidak pernah didengar pun, semata-mata bagi menggambarkan senarai yang panjang. Daripadanya terdapat 11 badan yang namanya berkaitan ‘India’ (tanpa prejudis kepada kaum Tamil di Malaysia), belum termasuk yang tiada jenama sedemikian tetapi ahlinya sama.

Daripada jumlah besar itu juga hanya 14 badan yang menggunakan bahasa Melayu bagi menjenamakan diri mereka berbanding 46 yang lain menggunakan bahasa Inggeris. Bahkan, badan yang dikaitkan dengan Anwar Ibrahim pun menggunakan bahasa Inggeris iaitu Anwar Ibrahim Club (AIC). Dalam hal ini mungkin sasterawan dan pejuang bahasa Melayu yang kelihatan ramai menyertai demonstrasi itu tidak sedar atau tidak perlu ambil pusing kerana ‘musuh bahasa’ kepada mereka hanyalah kerajaan. Peraturan wajib menggunakan Bahasa Melayu yang sering dituntut oleh pencinta Bahasa Melayu tidak perlu dipakai untuk yang lain, terutamanya untuk kalangan penentang kerajaan.

Demikian secebis pemerhatian saya tentang kandungan tuntutan Bersih. Saya dapat mengesan penganjur tuntutan ini menggunakan pelbagai strategi perang yang tidak mulia. Pelbagai tipu helah digunakan demi mencapai matlamat yang mereka anggap lebih agung. Bayangkan jika ada nyawa orang yang ikhlas dan tidak berdosa hilang dalam suasana dan keadaan yang tidak menentu itu berlaku, tidakkah mereka merasa berdosa terhadap yang terkorban itu semata-mata melayan cita-cita mereka? Terhadap soalan saya itu, mereka mungkin sudah bersedia dengan jawapan berbunyi ‘jika polis tidak mengganggu semuanya akan jadi aman’. Akur sahaja dengan jawapan itu, para pengikut pula seperti tidak terfikir bahawa polis itu bukan dewa-dewa yang tidak pandai marah jika dicaci, dihina, diperbodohkan dengan perkataan-perkataan yang sangat menyayat hati?

Tidakkah perancang demonstrasi yang beragama Islam pula takut akan ingatan ‘tidak akan mencium bau syurga orang yang menitiskan darah saudaranya yang lain?’ Mungkin mereka akan menjawabnya pula ‘saya telah berijtihad dan saya juga telah bertahajjud pada sepertiga malam tadi untuk mendapat pertunjuk, dan pertunjuk itu memberitahu, ‘kamu berada di jalan yang benar’.

Sambil termenung saya berfikir, bolehkah masa hadapan negara diputuskan oleh warganegara yang membuat keputusan seperti hendak membeli peti sejuk atau mesin basuh?



Tan Sri Dr. Nordin Kardi, Penyandang Kursi Za’ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Apa alat ukur keharmonian kaum? (Utusan 26/4/11)

Apa alat ukur keharmonian kaum?

DUA perkara mendorong saya membaca semula buku The Malay Dilemma yang ditulis oleh Dr. Mahathir Mohamad dan diterbitkan pada 1970 selepas 13 Mei 1969. Pertama ialah keputusan Pilihan Raya Sarawak yang mengketarakan pola undi berdasarkan kaum dan kedua reaksi rakan-rakan kepada hantaran saya di dalam Facebook (FB) saya Nordin Kardi, bertajuk 'Afik Cerita Pendek'.

Keputusan Pilihan Raya Sarawak merujuk kepada persoalan Dr. Mahathir lewat bukunya itu yang mempersoalkan adakah harmoni dalam masyarakat Malaysia 'deep-rooted' sementara rujukan Afik Cerita Pendek saya berkaitan dengan tangisan Pinky Chin di FB dengan saya yang pernah ada hubungan guru-rakan-murid.

Dalam reaksinya, Pinky tidak malu-malu menulis pada dinding FB saya mengatakan dia menangis yang kerana itu juga - tanpa dia melihat, air mata saya juga jatuh membasahi pada papan kekunci komputer saya.

Saya seorang guru Melayu yang sekarang di UPSI dan Pinky Chin adalah seorang mahasiswi Cina di Universiti Utara malaysia (UUM) yang saya pernah mengajar subjek etika.

Adakah pemikiran Dr. Mahathir tentang harmoni antara kaum yang dikatakannya tidak 'deep-rooted' telah disanggah oleh tangisan Pinky dan saya, yang mewakili kaum yang berbeza? Atau tangisan kami hanyalah peristiwa terpencil?

Keputusan Pilihan Raya Sarawak memberikan statistik yang besar untuk ditafsir dalam konteks harmoni, sedangkan peristiwa saya dan Pinky mewakili statistik yang sangat kecil.

Dalam konteks debat ilmiah di universiti, hal ini membawa kepada dua aliran kaedah mencari kebenaran: aliran kuantitatif melawan aliran kualitatif. Ada penyelidik universiti dalam bidang sastera dan kemanusiaan yang tergoda dengan aliran sains tulen tiba-tiba hampir menolak kaedah kualitatif yang dikatakan tidak saintifik.

Keharmonian hubungan kaum di Malaysia dianalisis menggunakan aliran kuantitatif, sedangkan kebanyakan penyelidik bukan berasal dari dunia sains tulen yang sama, maka terhasillah dapatan-dapatan berpandukan kajian-kajian eksplorasi, survei dan sebagainya yang dapat melihat isu ini secara nipis dan permukaan.

Pelbagai syor dibuat berdasarkan maklumat-maklumat saintifik yang menguji isu-isu nipis di permukaan. Soal selidik dibuat berdasarkan keterbatasan pemikiran penyelidik dan responden diminta menjawabnya berdasarkan skala tertentu yang juga mengikut kaca mata pembuat alat penyelidikan itu.

Data dianalisis menggunakan analisis perbezaan atau analisis hubungan atau korelasi. Hasilnya dianggap benar dan tepat lalu syor pun dikemukakan. Si penyelidik dapat mengumpul mata keberhasilan tertentu sedangkan syor dilaksana atau tidak dilaksana tidaklah penting lagi.

Tangisan Pinky dan saya yang mungkin dianggap peristiwa terpencil, yang tidak mewakili gambaran keseluruhan tentang keharmonian sedangkan penyelidik kualitatif boleh melihatnya sebagai suatu kajian kes satu unit. Oleh sebab dia adalah kajian kes satu unit maka kerja melihat kes itu memerlukan ketelitian, kedalaman dan menyeluruh.

Kaedah kualitatif untuk memahami keharmonian akan mencari apa yang hendak diceritakan oleh yang dikaji sedangkan kaedah kuantitatif selalu melihat alat selidik yang telah tersedia dan menyukat reaksi responden mengikut yang dikehendaki oleh alat tersebut.

Mengenai dua sekolah pemikiran tentang pencarian kebenaran ini; kuantitatif dan kualitatif, Umar Junus di dalam Dewan Budaya (2007) pernah menyebut "saya tidak percaya secara membuta data statistik yang ditonjolkan. Bagi saya apa yang tidak diceritakan lebih menentukan daripada apa yang diceritakan."

Aliran kualitatif bukan sahaja mencari jawapan daripada reaksi lisan bahkan juga yang bukan lisan, isyarat, simbol, suasana, angin, air, kelaparan, keraguan dan apa saja yang berkaitan dengan lingkungan aktivis unit kajian itu.

Bagaimanakah aliran kuantitatif dapat menjawab misalnya persoalan yang ditimbulkan oleh Dr. Mahathir pada 1970 itu? Dalam buku Dilema Melayu, ada disebutkan yang Cina telah berada di Tanah Melayu sebelum negara ini dijajah. Cina dan bukan Melayu yang lain bukan sahaja menguasai bahasa Melayu, mereka juga menguasai cara hidup Melayu.

Dr. Mahathir bahkan pada tahun 1970, mengakui di Malaysia tiada konflik ras di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah. Pola ini juga mungkin boleh disamakan di Sabah dan Sarawak.

Namun demikian kenyataan ini mungkin tidak boleh dipertahankan lagi hasil daripada kemasukan pemikiran dan penghijrahan fizikal dari daerah atau negeri lain ke negeri-negeri yang disebutkan telah mengubah keadaan itu kepada keadaan yang baru.

Menjadi tamu kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak bagi mengisi beberapa program mereka di Kuching, Sibu dan Miri yang kebetulan sama dengan tempoh pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini memberi kesempatan kepada saya memerhati perkara-perkara asing yang mula meresap ke Sarawak.

Isu agama, kaum dan etnik yang tidak begitu menjadi masalah kepada masyarakat Sarawak sebelum ini telah dijadikan isu yang mendapat liputan meluas atas nama 'angin perubahan'. Apakah hal sebegini baik atau buruk untuk Sarawak, Sabah, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidaklah dapat dipastikan sekarang.

Soalnya, eksploitasi akan berterusan dan pasti melalui mobil, kertas dan kemudahan internet yang boleh sampai ke Ba'Kelalan akan merubah landskap keharmonian kaum dan ras selepas ini.

Apa yang benar pada tahun 1970 mungkin sudah menjadi perkara semalam dan tidak benar lagi pada tahun 2020. Demikian keadaannya, penyelidik di universiti tempatan terutamanya, harus merenung semula sekolah pemikiran masing-masing tentang kebenaran yang dianuti supaya hasil dapatan nanti tidak akan tersimpan di perpustakaan atau di rak pihak penaja kewangan sesuatu penyelidikan yang amat sensitif kepada pertukaran tempat kerja dan meninggalkan dapatan itu hanya sebagai cenderamata kenangan.

Di dunia universiti yang meletakkan ahli-ahlinya di kepompong jabatan, fakulti dan yang seumpamanya menyebabkan usaha mencari kebenaran dibataskan oleh sesuatu disiplin ilmu sahaja. Dalam perbualan terbaru saya dengan Dekan tempat saya bertugas, dia menyebutkan bagaimana promosi ke jawatan akademik yang lebih tinggi hanya melihat hasil penyelidikan dan tulisannya dalam bidang tumpuannya.

Jika dia menyeberang daripada bidang tumpuannya, maka dia tidak akan memperoleh mata untuk kenaikan pangkat itu. Pada hal, masalah dunia, terutamanya mengenai kemasyarakatan dan kemanusiaan dalam alam realiti tidak pernah diselesaikan oleh 'single discipline'.

Betapakah isu keharmonian etnik dan kaum di Malaysia boleh dijawab oleh satu disiplin seperti sosiologi, psikologi, politik dan ekonomi masing-masing secara bersendirian?

Saya teringat perbualan saya dengan seorang Profesor di Sekolah Perniagaan Harvard yang memberitahu saya untuk mendapat taraf Profesor Universiti (seumpama Profesor A di Malaysia), calon hendaklah memperlihatkan dirinya sebagai tokoh yang telah merentas disiplin.

Demikianlah gabungan dua disiplin antara Freud dan Albert Einstein yang berutus-utus surat tentang persoalan dan jawapan kepada mengapa manusia suka berperang menyebabkan terciptanya teori psikologi psikoanalisis atau psikodinamik daripada asas sains fizik 'thermodynamics'.

Mengapa saya menyebut air mata Pinky Chin dan saya dalam bicara keharmonian kaum ini? Saya ingin mengetengahkan kes terpencil untuk mungkin digeneralisasikan kepada keseluruhan negara jika kes ini diperhalusi.

Pinky Chin adalah gadis Cina Kelantan (rujuk juga kata-kata Mahathir dalam bukunya Dilema Melayu). Air mata Pinky dan air mata saya adalah cecair yang boleh diuji oleh ujian kimia atau boleh juga diuji secara biologi. Apa yang menghasilkan cecair itu mungkin boleh diuji oleh kaedah fizik dengan melihat aliran-aliran elektrik dalam badan kami atau sekali lagi biologi dan kimia bagi melihat bagaimana sistem saraf kami beroperasi.

Namun hati saya, seorang Melayu dan hati Pinky, seorang gadis Cina dari Kelantan yang sama-sama menangis mungkin memerlukan ujian yang lain.

Terperangkap Pemikiran Sendiri (Utusan 17/8/10)



Terperangkap pemikiran sendiri

Apabila membaca pelbagai blog melalui internet saya terasa dunia begitu sempit. Bukan sahaja di Malaysia, di mana-mana juga suara-suara kasar tidak berpuas hati dengan itu dan ini dituliskan secara tali-menali.

Di negara Malaysia juga demikian. Blog-blog anak-anak muda terpancar suara-suara pemberontakan, rungutan, kekesalan dan pelbagai lagi yang seolah-olah dunia di keliling menzalimi mereka tidak henti-henti.

Terbaru rakan saya, Datuk Azman Ujang, mengirim e-mel tentang seorang bekas warganegara Malaysia keturunan Cina yang menyuarakan kebenciannya kepada kerajaan UMNO dan secara sinis menyimpulkan usaha menyeru warga profesional di luar negara untuk pulang hanya suatu bahan jenaka.

Mengapa jadi demikian. Benarkah dunia kemanusiaan semakin zalim sama seperti alam semula jadi yang sedang memberontak terhadap manusia kerana manusia merosakkan mereka, lalu bumi pun memuntahkan lahar gunung berapi, angin mengamuk menjadi taufan, lautan merempuh daratan dan matahari membakar bumi?

Dalam konteks ini, pada tahun 1980-an saya telah menulis bahawa sama ada manusia sedang merosakkan bumi atau tidak hanyalah suatu 'makna' yang dicipta oleh segolongan manusia itu sendiri. Sementara pada makna sains fizik, hal itu hanyalah penukaran suatu bentuk kepada suatu bentuk yang lain.

Maklumlah, sebagai contoh, sains fizik thermodinamik mengatakan 'tenaga itu tidak boleh dicipta atau ditambah dan tenaga hanya boleh diubah bentuknya'. Fizik thermodinamik tidak akan mengatakan manusia zalim kerana mengubah air menjadi tenaga penggerak enjin.

Apa yang saya cuba utarakan di sini ialah, yang disuarakan oleh segolongan orang yang saya sebutkan awal-awal tadi merupakan 'makna' yang diberikan oleh terhadap perkara, kejadian atau fenomena yang mereka rasakan berkaitan dengan diri mereka.

Mereka sememangnya mempunyai banyak pilihan untuk memberi 'makna' namun mereka telah memilih satu makna sahaja. Oleh hanya pilih satu makna sahaja itulah orang Yahudi memilih untuk berperang dengan orang Palestin, orang India dan Pakistan memilih untuk berkonfrantasi berterusan, Bosnia dan Serbia bermusuhan, Korea Utara dan Korea Selatan menunjuk lengan masing-masing walaupun mereka asalnya mungkin serumpun - nenek moyang mereka sama.

Demikianlah, Melayu, Cina dan India di Malaysia mula belajar menunjukkan otot masing-masing walaupun dulunya pada tahun 1955 pernah berjanji setia sehingga tercapainya peristiwa 1957.

Dalam himpunan Melayu pula UMNO, Pas, PKR masing-masing berlumba-lumba mempamer personaliti siapa yang lebih menarik dan menggoda supaya golongan bukan Melayu akan tertarik untuk 'berpacaran' dengan mereka. Padahal, UMNO, Pas dan PKR itu asal sejarahnya satu.

Patutlah pementasan cerita-cerita bangsawan tahun 1950-an dan 1960-an dan cerita-cerita filem Shaolin Cina selalu memaparkan tema bagaimana sengketa dua pahlawan yang saling bermusuhan asalnya datang dari gelanggang perguruan persilatan yang sama, walaupun telah dibekalkan dengan nasihat secukupnya supaya menjaga nama baik guru atau temple yang satu dengan tidak bersengketa sesama sendiri. Itulah suatu paparan budaya.

Dengan memilih makna persaingan: persaingan dengan alam, persaingan dengan mesin atau persaingan sesama manusia, orang itu sentiasa melihat dirinya berada dalam keadaan terancam.

Satu komuniti merasa diancam oleh komuniti yang lain, ketua terasa diancam oleh anak buahnya, kawan rasa diancam oleh kawan yang lain sehingga keseluruhan makna kehidupan adalah dalam bentuk memenangi suatu persengketaan.

Tersembunyi dalam diri adalah rasa ketakutan. Walaupun keberanian adalah lawan kepada ketakutan namun segalanya adalah bermula daripada rasa ketakutan - takut kekurangan, takut kehilangan dan akhirnya takutkan kematian.

Makna yang diberikan orang yang tidak takut akan berbunyi, 'yang kurang diusahakan untuk ditambah; yang hilang dicari; dan kematian adalah melengkapkan kehidupan'. Mereka tidak melihat setiap dualisme adalah persaingan.

Manusia yang tidak melihat segala-galanya persaingan adalah manusia yang tidak takut. Manusia yang tidak takut ialah manusia yang memberi nilai tinggi kepada 'autonomi'. Warganegara yang menilai tinggi kepada autonomi ialah warganegara yang mengatakan maju-mundur dirinya adalah tanggungjawab dirinya sendiri. Dia tidak akan memaksa orang lain mesti memihak atau memenuhi kehendaknya dan jika terjadi keadaan orang memihak kepadanya, itu hanya suatu kebetulan.

Seorang guru tidak memaksa murid untuk taat kepadanya. Seorang ketua tidak menagih kesetiaan daripada yang diketuainya. Seorang bapa tidak meminta-minta anak dan isteri menghormatinya. Jika semua itu diperolehinya, juga adalah suatu kebetulan.

Demikianlah jika anak-anak muda di Malaysia menuntut autonomi daripada orang tua-tua, mereka juga hendaklah membenarkan orang tua mentafsirkan keadaan dan kuasa mengikut makna mereka. Orang tua pula hendaklah tidak memaksa anak muda memberi makna kepada sesuatu perkara, kejadian atau fenomena dengan makna yang sama dengan mereka. Berilah makna kepada zaman masing-masing dan jika kebetulan makna itu sama, ia adalah satu 'hadiah'.

Kembali kita kepada e-mel kiriman Azman Ujang tentang bekas warganegara Malaysia yang nampaknya tidak sudi untuk pulang, setelah semenjak umur 18 tahun berada di Amerika Syarikat. Ini kerana katanya, tidak adanya keadilan di Malaysia, tidak berautonomilah kiranya saya seorang Melayu memaksa beliau mengubah pendirian beliau.

Saya menghormati pendiriannya kerana saya tahu, beliau memilih untuk memberi satu makna sahaja kepada kehidupan di Malaysia. Beliau tidak mendapat biasiswa dari kerajaan Malaysia sebaliknya memperolehi biasiswa dari negara beliau sekarang melalui program Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-AS (MACEE) walaupun beliau mengatakan pencapaian peperiksaan beliau amat cemerlang.

Juga, tidak sesuailah saya yang sangat menghormati 'autonomi' manusia mengungkit bahawa MACEE berada di Malaysia kerana kerajaan Malaysia menyediakan suasana yang kondusif kepada agensi Amerika Syarikat itu beroperasi di sini sehingga peluang untuk penulis e-mel itu terbuka.

Pendirian ini samalah dengan pendirian Obama, yang didesak untuk tidak menyokong masjid berhampiran Pusat Dagangan Dunia (WTC) dengan berkata 'Ini Amerika Syarikat'. Tentulah jika Najib berkata 'Ini Malaysia', sama ada bersetuju atau tidak, sempadan 'autonomi' beliau hendaklah dihormati oleh orang yang menyanjung tinggi falsafah 'autonomi'.

Sama seperti saya tidak akan menganjurkan ramai-ramai berdemonstrasi meluahkan rasa hati saya terhadap seorang bekas warganegara yang tak mahu pulang ke Malaysia dan demikianlah, beliau juga hendaklah tidak mengajak orang lain menyertai beliau semata-mata oleh 'makna' peribadi yang beliau pilih terhadap seruan pulang ke Malaysia.

Kesimpulannya, diam-diam saya ingin membisikkan ke telinga isteri saya bahawa, 'saya tidak akan hidup di dunia ini untuk memenuhi kehendak anda, dan saya juga tidak meminta supaya anda hidup untuk memenuhi kehendak saya. Jika kehendak anda dan kehendak saya serbasama, itu adalah suatu kebetulan yang sangat indah.'

Tan Sri Dr. Nordin Kardi ialah Profesor di kolej sastera dan sains, universiti utara malaysia

Menukar 'negara politik' kepada 'negara perniagaan' (Utusan 2/9/10)

Menukar 'negara politik' kepada 'negara perniagaan'

SAYA telah dijemput untuk memberi syarahan sempena hari kemerdekaan kepada para mahasiswa dalam satu dewan yang agak besar. Panjang juga syarahan saya, selain daripada mengingat kembali hal-hal sejarah, saya kemukakan bagaimana Malaysia boleh keluar daripada kemelut dalaman dan persaingan antarabangsa semasa bagi menjamin kemerdekaannya berterusan.

Sudah berbulan-bulan media menyiarkan kontroversi di Amerika Syarikat (AS) tentang pembinaan Pusat Islam Park51, beberapa blok daripada Ground Zero, tempat terjadinya peristiwa 11 September dan berbulan juga, malah bertahun, pula masyarakat Amerika mendesak kerajaan supaya Republik Rakyat China dikenakan hukuman ekonomi kerana pada mereka China menipulasikan Renminbi dalam urus niaga dengan AS sehingga kuasa besar dunia itu mengalami defisit dagangan yang amat teruk.

Kedua-dua gerakan, Park51 dan Reminbi mendesak kerajaan AS supaya membuat keputusan yang tegas. Namun, dalam kedua-dua desakan kerajaan menjadi goyang.

Dalam kes Park51, kerajaan yang diwakili oleh Barack Obama dan Bloomberg pada mulanya seperti dengan kuat menyokong pembinaan pusat itu tetapi kemudiannya goyang untuk membatalkan sokongan. Berbanding dengan kes Renminbi, kerajaan AS seperti kuat menyokong gerakan untuk menghukum China kemudiannya membatalkan penyiasatan terhadap tindakan-tindakan manipulasi China.

Keputusannya berbeza tetapi yang tersembunyi mungkin sama sahaja iaitu isu ekonomi perniagaan. Kepentingan perniagaan dengan peniaga dan negara Islam dalam kes Park51 tidak membimbangkan AS berbanding kepentingan perniagaan dengan China.

Peniaga-peniaga Islam dan kekuatan ekonomi negara Islam di seluruh dunia telah berada dalam kawalan AS berbanding China. Laporan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Tim Geithner akhirnya menggugurkan label currency manipulator dalam laporan mengenai China yang telah tertangguh-tangguh penyiarannya.

China disyaki memanipulasikan pelbagai perkara mengenai perangkaan ekonomi dan kewangan mereka sehingga perangkaan semasa menunjukkan Jepun masih berada pada kedudukan kedua ekonomi terbesar dunia sedangkan petunjuk-petunjuk nyata tetapi tidak rasmi memperlihatkan China beberapa tahun yang lalu telah mendahului Jepun sebagai ekonomi kedua terbesar dunia, setelah mengambil kira peratusan pertumbuhan ekonomi berterusan China setiap tahun.

Saya juga mengajak pembaca memikirkan mengapa Jepun, penjajah sebelum kalah Perang Dunia Kedua tiba-tiba muncul semula dengan pantas sebagai penjajah ekonomi? Walaupun orang biasa mahupun pemimpin Malaysia akan memberi jawapan yang bersifat mengagungkan kerja kuat dan kerajinan Jepun, jarang yang melihat ekonomi Jepun juga bukan dicipta semata-mata oleh orang Jepun.

Amerika Syarikat dan Tentera Berikat menjamin keselamatan Jepun dan dengan itu Jepun tidak perlu berbelanja untuk pertahanan dan ketenteraan. Mereka menumpu kepada pembinaan ekonomi yang kemudiannya bangkit pada kadar kelajuan masa yang sangat ajaib.

Sebaliknya, saya melihat Jepun dicipta bagi mengepung Republik Rakyat China (Komunis) pada zaman itu walaupun Hong Kong masih dimiliki Britain. Adakah Taiwan juga maju sendiri, atau Taiwan juga adalah rantaian kepungan benua China?

Adakah Korea Selatan juga maju semata-mata kerana belajar daripada Malaysia satu slogan yang berbunyi 'sesuatu kaum itu tidak akan berubah nasibnya jika mereka tidak mengubah nasib mereka sendiri' selain dari semangat 'saemaul undong'?

Soalnya, adakah Korea Selatan yang rajin akan bangkit dengan kecepatan kilat jika tidak dicipta memenuhi rangkaian kepungan itu selain bekerja untuk menyemak masalah kecil Korea Utara yang cenderung kepada blok yang lain?

Dalam kerangka yang sama, bolehlah dilihat mengapa di selatan India dahulu ada Ceylon (Sri Lanka) dan India kemudiannya dibenarkan dibahagi dua yang memunculkan Pakistan, yang kemudian melahirkan pula Bangladesh.

Ajaib sungguh Afghanistan boleh bertahan melawan teknologi Rusia hanya berbekalkan semangat jihad. Demikian juga bagaimana jauh di selatan Afrika ada Afrika Selatan dan di Tenggara Asia juga ada negara yang dicipta yang mampu menukar nama rambutan Malaysia dengan jenama yang lebih bernilai komersil.

Berkecaikah Kesatuan Soviet akibat serangan ideologi atau serangan ekonomi? Kelihatan seperti semuanya mempunyai kepentingan yang akan menghalalkan dosa demokrasi termasuk pelanggaran prinsip keadilan perdagangan bebas demi kepentingan ekonomi yang lebih besar.

Demikianlah merenung negara saya yang merdeka ini. Bolehkah kemerdekaannya terus dipertahankan? Bolehkah pemimpin-pemimpin negara saya membuat keputusan mengenai hal dalam negara dan hubungan dengan luar negara, baik dengan jiran yang dekat mahu pun yang jauh, tanpa ragu, teragak-agak dan goyang?

Atau atas alasan diplomatik membuat keputusan-keputusan seperti buying time dengan harapan sesuatu yang menguntungkan akan lahir jua oleh peredaran masa? Dalam konteks negara kecil dan berpenduduk hanya lebih sedikit 26 juta sahaja, bolehkah Malaysia mengambil pendekatan membeli masa dan mengharap matahari akan bersinar jua selepas awan mendung pergi sendiri?

Atau, bolehkah pemimpin Malaysia membuat keputusan proaktif dan pantas sekarang juga tanpa bertangguh menukar model pengurusan negara, misalnya menukar Malaysia daripada kekal sebagai sebuah negara politik kepada Business State.

Malaysia sebagai sebuah negara perniagaan mengalihkan kepentingannya daripada persaingan politik dalam negara dan luar negara kepada kolaborasi perniagaan. Jika dalam negara satu sektor komuniti mendesak supaya syarikat milik kerajaan (GLC) dibuka kepada semua, mengapa tidak demi menjadi sebuah negara perniagaan tuntutan itu ditunaikan sahaja.

Jika tahun 1955 mengasaskan perkongsian kuasa politik, biarlah tahun 2010 menyaksikan perkongsian ekonomi melalui GLC yang dibuka kepada semua kaum.

Jika 1955, pengorbanan satu etnik mengongsikan kuasa politik diberi pampasan dengan mencatat keistimewaan tertentu kepada etnik itu dalam Perlembagaan negara maka bolehlah juga sebagai pampasan kepada pembukaan GLC kepada semua etnik, semua perniagaan termasuk persendirian, kecil atau besar, yang dimonopoli oleh etnik tertentu dibuka kepada semua perwakilan etnik.

Kewajipan itu hendaklah juga berupa catatan dalam Perlembagaan negara sebagai kontrak sosial ciptaan generasi masa kini. Malaysia sebagai 'negara politik' akan kekal sempadannya tidak boleh bertambah "Dari Perlis Sampailah ke Sabah" tetapi Malaysia sebagai 'negara perniagaan' akan memperluaskan sempadannya ke seluruh dunia tanpa batas dan tanpa peperangan.

Semua pertimbangan diplomasi politik akan beralih kepada semata-mata pertimbangan penggabungan atau pengambil alihan (merger and acquisition) berbanding penjajahan oleh negara politik yang natijahnya peperangan.

Motif perniagaan ialah memperbesarkan keuntungan dan memperbesarkan perniagaan sedangkan motif politik ialah membahagi-bahagikan apa yang ada.

Persengketaan etnik dalam negara selalu berkaitan dengan soal agihan tetapi motif keuntungan dan memperbesarkan perniagaan akan selalu menjadi motif penyatuan pemegang-pemegang sahamnya.

Sambil membelek-belek rencana Badan Penyiaran British (BBC) mengenai Park51 dan Manipulasi Renminbi, saya menghayalkan bahawa Perdana Menteri Malaysia nanti pening berfikir memperbesar dan memperluaskan pelanggan dan ROI (pulangan pelaburan) bukan pening mengagihkan kain singkat keistimewaan etnik yang sentiasa ditagih-tagih untuk diagih.

Perdana Menteri akan selalu berada di negara jiran, jauh dan dekat, bukan sebagai Ketua Negara tetapi sebagai Ketua Eksekutif Syarikat Induk Malaysian Inc. Pemimpin-pemimpin Malaysia bukan lagi dari kalangan mereka yang sangat pandai berpolitik intra dan antara parti, tetapi yang pandai mengurus perniagaan pada peringkat dunia.

Pengeluar sawit Malaysia tidak lagi perlu bimbang kejatuhan harga kerana permainan peniaga soya AS kerana peniagaan soya negara itu juga nanti dimiliki Malaysia yang juga memiliki perniagaan sawit melalui merger dan acquisition. Semua etnik nanti akan menyokong keputusan-keputusan strategik pengurusan negara kerana mereka semua adalah pemegang-pemegang sahamnya. Fitrah mereka sama: semuanya mahukan keuntungan.

Tan Sri Dr. Nordin Kardi ialah Profesor di Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia

Pelajari Keputusan Pilihan Raya Sweden (Utusan 22/9/10)

Pelajari keputusan pilihan raya Sweden

MUNGKIN tiada intelektual politik di Malaysia, apa lagi orang ramai yang sudi mengambil perhatian terhadap keputusan pilihan raya umum (PRU) Sweden baru-baru ini. Maklumlah Sweden hanyalah sebuah negara kecil yang berpenduduk kurang daripada 10 juta. Namun kepada yang berminat, mungkin keputusan pilihan raya itu ada pengajarannya kepada Malaysia.

Menyusul daripada trend keputusan pilihan raya Britain dan Australia yang menghampirkan tiada satu parti dapat menubuhkan kerajaan, Sweden juga mengalaminya. Alliance of Sweden yang menggabungkan empat parti iaitu Parti Morderat, Parti Christian Democrat, Parti Liberal dan Parti Centre, bukan sahaja namanya seakan-akan Barisan Nasional (BN), malah pendekatannya juga sangat pragmatik, moderat dan mengambil pendirian sederhana, tetapi tidak mendapat mandat yang jelas.

Berbanding BN yang memenangi majoriti relatif besar (hanya tidak mempunyai dua per tiga majoriti), Alliance of Sweden hanya memenangi 173 daripada 349 kerusi. Semasa mengambil alih kerajaan daripada Social Democrat pada tahun 2006 pun, Alliance of Sweden yang diketuai oleh Fredrik Reinfeldt, hanya memiliki tujuh kerusi majoriti.

Yang menarik dalam pilihan raya Sweden adalah sikap 'sporting' pemimpin Mona Sahlin dari Social Democrat yang mengisytiharkan mengaku kalah, tidak seperti parti-parti yang kalah di Malaysia dalam pilihan raya 2008, cuba menggoda atau membeli calon-calon dari parti lain meskipun Mona Sahlin mempunyai potensi membentuk kerajaan campuran parti-parti kecil dengan jumlah kerusi 176.

Mona Sahlin mengisytiharkan, "parti kami gagal menarik dan meyakinkan majoriti. Alliance of Sweeden telah berjaya mendapatkan majoriti itu. Oleh itu, kami serahkan kepada Reinfeldt untuk terus menerajui Sweden". Terserlah semangat kesukanan dan etika berpolitik di sana.

Yang menariknya, Perdana Menteri Fredrik Reinfeldt yang dibenarkan membentuk kerajaan dengan hanya 173 daripada 349 tidak langsung memberi gambaran partinya kalah atau lemah seperti riuh rendahnya BN yang saling salah menyalahkan sesama sendiri. Dengan yakin dan tegas, Reinfeldt mengisytiharkan bahawa dia tidak akan sekali-kali tunduk dan mengajak parti ekstrem kanan Sweden Democrat untuk membentuk kerajaan.

Dengan hanya menguasai kerusi kurang daripada separuh kerusi Parlimen keseluruhan, Alliance of Sweden tidak sekali-kali menunjukkan diri mereka sebuah parti yang cuba berpaut kepada apa saja bagi mengelak mati lemas. Serta, tidak juga ada mana-mana parti dalam perikatan itu yang tiba-tiba berusaha menukar imej daripada moderat kepada ekstrem bagi menarik golongan pengundi tertentu seperti terjadi dalam komponen BN berikutan keputusan 2008.

Seperti di Malaysia, isu-isu pilihan raya Sweden juga dipenuhi oleh isu pendatang asing yang mewakili 14 peratus penduduknya; isu media yang dikuasai oleh pemerintah dan isu sama ada Sweden patut menyertai Kesatuan Eropah sepenuhnya. Sweden adalah negara yang pernah mengadakan referendum untuk tidak menyertai mata wang Kesatuan Eropah dan menolak penyertaan dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Pendekatannya dalam Eropah menyamai ZOPFAN di ASEAN yang dijuarai oleh Malaysia.

Mungkin ada yang menyoal lagi, mengapa saya seperti bersungguh-sungguh mengajak orang Malaysia memandang ke Sweden? Sambil itu, tentu ramai juga yang masih ingat keputusan pilihan raya umum 1999 di Malaysia. Masa itu, Malaysia menghadapi krisis ekonomi. Masa itulah juga, saya telah dijemput untuk berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri dan berpeluang menghadiri mesyuarat pasca-Kabinet setiap Rabu yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Setelah sekian lama, orang hanya tahu Mahathir hanya melihat Jepun dan dasar pandang ke Timur. Tetapi sebaik ekonomi Asia dilanda krisis, kita mula terdengar suara kekebalan negara-negara Scandinavia dari segi ekonomi. Dalam ranking daya saing, seringkali muncul negara-negara dalam kelompok itu di senarai teratas. Demikian juga dengan ranking negara yang paling tidak korup. Di situ bermulanya minat untuk mengikuti perkembangan negara dalam kelompok itu. Bagaimana mereka menjadi seperti mereka sekarang?

Polisi ekonomi Malaysia di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak, antara lain menekankan tentang usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. Sweden dan rakan-rakannya di Scandinavia telah berada pada kedudukan itu. Ekonomi mereka sangat kuat. Pengangguran seperti di Malaysia, menghampiri kosong. Ini menjadikan Sweden, seperti Malaysia, menjadi tumpuan pendatang asing yang kini telah mencapai 14 peratus.

Kerajaan Sweden juga secara rasmi dipanggil Kingdom of Sweden, sama seperti Malaysia (jika kerajaan (beraja) disamakan dengan Kingdom). Daripada 78 tahun usia kerajaan Sweden, 65 tahun daripadanya (Malaysia 55 tahun jika mengambil kira pilihan raya 1955) dikuasai oleh satu kerajaan sahaja. Ini menyebabkan politik Sweden sangat stabil dan dapat membina dasar negara yang sangat mantap dengan pendekatan negara kebajikan yang sangat pemurah.

Taraf hidup dan jangka hayat penduduknya adalah nombor satu dalam dunia iaitu 79 tahun untuk lelaki dan 83 untuk perempuan. Pendapatan perkapitanya AS$50,940 (Bank Dunia, 2008), melampaui apa yang dicita-citakan oleh Najib untuk menjadikan Malaysia yang rakyatnya berpendapatan tinggi.

Rumusan kepada perbincangan ini ialah bagaimana pemimpin Malaysia harus menghadapi PRU ke-13. Apakah janji-janji yang akan ditawarkan oleh pelbagai parti kepada rakyat. Bolehkah janji memberi pendapatan tinggi kepada rakyat menjadi janji yang meyakinkan? Bolehkah tahap tanpa rasuah mencapai kedudukan seperti Sweden sekarang? Apakah cara melaksanakan janji mengurangkan jenayah, terutamanya yang dikaitkan dengan pendatang asing?

Cita-cita Malaysia ingin menjadi negara maju sepenuhnya telah pun dicapai oleh Sweden. Namun rakyat Sweden tetap tidak memberi undi majoriti dua pertiga kepada parti yang membentuk kerajaan. Jika demikian, apakah yang rakyat mahu? Hal seperti inilah yang perlu diselami apa yang terkandung di dalam jiwa rakyat.

Bagaimana pengundi harus mendidik parti-parti yang bertanding memahami etika pertandingan. Jika jelas mereka mempunyai kerusi yang sedikit, meskipun berpotensi untuk berkongsi dengan parti kecil yang lain, penghormatan perlu diberi kepada parti yang paling banyak mendapat kerusi.

Di Malaysia, ada Dewan Negeri yang pernah dikuasai oleh parti yang mempunyai bilangan kerusi yang sangat sedikit, hanya semata-mata adanya 'perkongsian politik selesa', sehingga terjadi lawak jenaka siapa yang patut jadi Speaker Dewan. Kira-kira 65 tahun daripada 78 tahun Sweden berada dalam satu kerajaan, membolehkannya menjadi seperti sekarang, sepatutnya menjadi sedikit panduan kepada pengundi-pengundi Malaysia menjelang PRU ke-13 nanti.

Namun yang menarik hati saya mengenai Sweden ialah kaitannya dengan isi tulisan saya di Utusan Malaysia mengenai Negara Perniagaan, iaitu Sweden mempunyai hubungan 'private-public' yang tiada taranya yang dibanggakan sebagai "the Swedish-Model'.

Tan Sri Dr. Nordin Kardi ialah Profesor di Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia

Memasuki Ruang Rujuk Fikiran Lee Kuan Yew (Utusan 6/10/10)

Memasuki ruang rujuk fikiran Lee Kuan Yew

DI Malaysia, Lee Kuan Yew kerap dijadikan isu atau dia yang sengaja membuat isu dengan Malaysia. Yang mana satu yang lebih betul tidaklah sepenting mana. Terbaru, Kuan Yew berbunyi lagi dan yang terbaru juga rakan sekuliah saya Profesor Awang Sariyan, ahli bahasa dan pemegang kerusi Profesor di Universiti di China membisikkan respons.

Awang Sariyan nampaknya mempertahankan bahawa Bahasa Melayu telah menjadi bahasa ilmu baik di Malaysia mahupun di Indonesia sebagai sanggahannya kepada kenyataan sebaliknya oleh Kuan Yew itu. Sudah semestinyalah demikian kerana siapa lagi di Malaysia yang lazimnya harus memulakan suara tinggi jika tidak ahli bahasa apabila bahasa Melayu diiusik.

Memahami kecerdikan Kuan Yew, respons sedemikian tentu telah dijangkanya dan sememang begitulah yang dihajatinya. Kuan Yew sangat memahami psikologi Melayu jika tidak masakan beliau berjaya mengaman dan menyerapkan orang Melayu di sana bangga 'kita orang Singapura!'

Untuk memahami Melayu, Kuan Yew yang telatih sebagai seorang peguam sanggup membuka dan menelaah buku antropologi untuk mencari jawapannya. Saya tidak fikir peguam Melayu di Malaysia, termasuk yang sudah menjadi pemimpin politik akan membuka buku antropologi untuk memahami cara berfikir pengundi Cina dan Tamil di Malaysia.

Paling kuat ahli politik itu akan mengambil jalan pintas bertanya kepada pensyarah antropologi di universiti, namun untuk membuka buku antropologi dan menelaahnya hampir merupakan kemungkinan yang sangat tipis. Alasan yang pasti digunakan untuk tidak berbuat demikian semestinya, 'tidak pandai berbahasa Cina atau Tamil'.

Berbanding Kuan Yew, dia mendapat jawapan mengenai pemikiran Melayu bukan melalui buku tulisan orang Melayu, dalam bahasa Melayu, sebaliknya diyakinkan oleh penulis Inggeris. George P. Landow, Profesor di sebuah universiti kumpulan Ivy League, iaitu Brown University, menyatakan bahawa Kuan Yew mendapat jawapan mengenai pemikiran Melayu setelah menelaah buku Bryan Parkinson, felo di Pusat Pengajian Asia Tenggara, Universiti Hull di England.

Parkinson mendapati pemikiran orang Melayu mengenai kejayaan sangat berbeza dengan orang Cina dan orang Tamil. Kepada orang Cina, terutamanya, kejayaan bererti kejayaan mengubah kedudukan ekonomi yang mesti diusahakan walaupun jika perlu, sehingga mengubah perkara asas dan tradisi.

Bagi orang Melayu pula kejayaan ialah kejayaan mempertahankan tradisi. Walaupun orang Melayu seperti orang lain juga menginginkan kekayaan dan kejayaan tetapi kekayaan dan kejayaan itu hendaklah tidak dicapai di luar tradisi dan kebiasaan yang orang Melayu sudah selesa.

Perubahan perkara 'fundamental' tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Dalam bahasa ilmu kemanusiaan, pemikiran orang Melayu kuat dengan pelbagai prasyarat. Maksudnya, orang Melayu akan berkata 'saya hanya akan berusaha, saya hanya akan berjaya atau saya hanya akan kaya dengan syarat…'

Syarat-syarat itu mungkin suatu senarai yang sangat panjang. Parkinson berpendapat bahawa pemikiran Melayu sedemikian bukanlah tidak rasional, tetapi yang sedemikian itu tidak memungkinkan orang Melayu lebih ke hadapan dalam perlumbaan terbuka.

Kuan Yew menyimpulkan bahawa orang Melayu rendah dari segi orientasi pencapaian, azam untuk ke hadapan dan azam untuk memiliki berbanding Cina dan Tamil. Hanya satu cara yang boleh menolong Melayu maju, iaitu melalui tindakan afirmatif (ala Dasar Ekonomi Baru) seperti memberi pendidikan percuma dari sekolah rendah sampai ke universiti dan memecah-mecahkan mereka kepada kawasan-kawasan perumahan pelbagai kaum supaya anak-anak mereka nanti akan berbudaya baru dan menjadi kompetitif seperti anak-anak kaum lain di Singapura.

Bagi mengurus Cina, Tamil dan Melayu di Singapura, Kuan Yew tidak pernah menjadi penganut demokrasi Barat. Tidak seperti segolongan pemimpin Malaysia masa kini, baik kerajaan mahupun pembangkang, yang berlumba-lumba dan beria-ia hendak membuktikan mereka 'super-demokratik' mengikut preskripsi Barat yang mereka anggap universal, Kuan Yew menolaknya.

Kuan Yew menolak notion (fahaman) Barat yang mengatakan setiap manusia mengimpikan demokrasi, menghargai kebebasan bersuara melebihi impian terhadap kepentingan keselesaan ekonomi. Kehendak kepada keamanan dan keselamatan mengatasi yang lain dan menjadi prasyarat pencapaian keselesaan yang dimaksudkan.

Atas kepercayaan itulah Kuan Yew tidak tergugat dengan kritikan bahawa dia mempertahankan tindakan menahan orang secara salah atau habeas corpus. Apa yang dikatakan open and fair trial, mengikut Kuan Yew tidak semestinya adil, kerana dalam banyak keadaan saksi-saksi sering takut untuk tampil ke hadapan menyatakan yang benar.

Kerana pendirian itulah, bagi Singapura, kemakmuran ekonomi adalah keutamaan negara berbanding perkara lain sehingga Singapura sekarang telah meninggalkan Malaysia sebagai negara maju yang rakyatnya berpendapatan tinggi.

Saya pernah menulis rencana dalam akhbar ini terus dari Universiti Harvard dengan memetik kesimpulan perbincangan kelas di sana mengenai kes Singapura yang berbunyi, 'Singapura membeli demokrasi dengan kemakmuran ekonomi'. Tulisan ini saya dapati telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris di Singapura, perkataan demi perkataan.

Kuan Yew seperti percaya bahawa pemimpin tidak perlu merayu supaya rakyat patuh, sebaliknya mereka hendaklah diletakkan dalam keadaan terpaksa patuh. Dia mengaku mempelajarinya daripada pentadbiran tentera Jepun di Singapura. Katanya, tempoh tiga tahun setengah di bawah pemerintahan Jepun mengajarnya lebih banyak daripada tempoh dia belajar di universiti.

Walaupun semua orang membenci Jepun, kata Kuan Yew, dalam tempoh yang lama manusia akan belajar menyesuaikan diri - yang patuh akan makmur dan yang tidak patuh akan kehilangan kekayaan dan status. Alang-alang menghukum biar menghukum dengan berat sehingga pada pemerhatian Kuan Yew, semasa Jepun memerintah Malaya dan Singapura, walaupun kehidupan sangat miskin dan orang ramai separuh kebuluran tetapi kadar jenayah tetap rendah. Tidak seperti yang selalu dikatakan oleh ahli akademik bahawa kemiskinan mempunyai korelasi positif dengan kadar jenayah.

Malaysia sekarang meletakkan beberapa sasaran transformasi negara yang antaranya menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020, mengurangkan kadar jenayah, menurunkan indeks rasuah. Hampir semua itu telah dicapai oleh Singapura.

Seperti Malaysia yang menyebut di atas kertas Wawasan 2020, ingin maju mengikut acuan sendiri, Singapura juga memakai slogan itu tetapi dalam kepala Kuan Yew sebagai tacit knowledge, melaksanakannya dan telah mencapainya. Jika dalam tulisan saya yang lalu menyebut 'Swedish model', kali ini disebutkan pula 'acuan Singapura'.

Kuan Yew tidak pernah meminta maaf terhadap tindak-tanduknya sedangkan segolongan pemimpin demokratik di Malaysia sekarang berterusan meminta maaf atas dosa yang belum pun dilakukan.

Jika Kuan Yew telah bekerja ke arah apa yang telah dicapai oleh Singapura sekarang melalui kajian minda Melayu, Cina dan Tamil dengan menelaah buku antropologi hasil penelitian sarjana Inggeris saya kurang pasti sama ada dalam Pelan Transformasi Negara, Datuk Seri Idris Jala ada menubuhkan makmal memahami pemikiran pelbagai etnik di Malaysia yang bakal memberi gerak balas kepada pelan transformasi itu.

Saya juga tidak mempunyai maklumat sama ada terdapat makmal khas yang sengaja dipilih anggotanya dalam kalangan sarjana antropologi, sosiologi dan psikologi sebagai sebahagian daripada makmal transformasi.

Pernahkah orang antropologi, sosiologi dan psikologi menganggotai Majlis Tindakan Ekonomi Negara. Adakah orang antropologi duduk di Unit Perancang Ekonomi? Saya percaya orang sebegini banyak menyumbang kepada kerangka DEB zaman Tun Razak dulu. Atau atas alasan realiti dunia yang telah berubah, pelan sekarang tidak perlu lagi mengambil kira faktor silang budaya seperti ras, etnik, umur, gender, geografi, sosio-ekonomi, pekerjaan dan sebagainya.

Semasa Perdana Menteri menyeru supaya transformasi hendaklah bermatlamat memberi keselesaan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, beliau juga berjanji nasib Melayu/Bumiputera tetap tidak akan diabai.

Tetapi, meminjam pemikiran Kuan Yew, buatlah apa pun perubahan atau transformasi, tidak payah orang Melayu itu didiskriminasikan dengan sengaja atau dengan niat kerana mereka pasti akan mendiskriminasikan diri mereka sendiri. Hanya tindakan afirmatif satu-satunya cara yang dapat menolong mereka. Benarkah?

Juga, apabila Kuan Yew mengusik bahasa Melayu, tidak mungkin dia sengaja hendak menyakitkan hati Melayu di Malaysia seperti yang dibaca oleh Awang Sariyan dan kawan-kawan saya yang lain. Apa agaknya sasaran Kuan Yew? Mungkin rakan-rakan intelektual Melayu yang masih cergas seperti Hasan Ahmad, Shamsul Amri, Hashim Yacob, Zainal Keling, Firdaus Abdullah dan Zainal Abidin Borhan seperti biasa ada jawapan masing-masing.

Tan Sri Dr. Nordin Kardi ialah Profesor di Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia

Antara White House dan Harvard (Utusan 29/9/10)



Antara White House dan Harvard

DI Malaysia, pernah tokoh akademik dilantik mengisi kerusi Kabinet. Antaranya ialah Tan Sri Musa Mohamad yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Beliau ialah bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia. Seseorang yang memasuki Parlimen tidak melalui pilihan raya hendaklah terlebih dahulu dilantik sebagai senator ke Dewan Negara.

Amalan ini tidak sama di Amerika Syarikat (AS) apabila Presiden lebih cenderung membina Kabinet daripada kalangan individu yang diyakininya paling berkebolehan menggerakkan jentera pentadbirannya. Oleh kerana perbezaan prosedur sedemikian, tidak ada ahli akademik berulang-alik dari universiti ke Putrajaya (dulu Kuala Lumpur) seperti yang dialami Larry Summer, bekas Presiden Universiti Harvard untuk berkhidmat dengan Clinton dan sekarang, Obama.

Seingat saya, telah terbit dua rencana saya dalam akhbar ini yang menyentuh mengenai personaliti Summer. Beliau adalah Profesor Ekonomi di Universiti Harvard yang kemudian menjadi orang kuat ekonomi dan kewangan White House di bawah Clinton. Namun, semasa Bush menguasai White House, Summer tidak diperlukan dan kembali ke Harvard. Kemudian, beliau dilantik semula sebagai presiden universiti itu (setaraf Naib Canselor).

Selepas diturunkan daripada menjadi Presiden oleh sekumpulan guru-guru besar Harvard yang mencetuskan kontroversi, guru-guru itu juga kemudian menerimanya kembali menjadi ahli mereka sebagai guru besar di universiti yang sama. Sebaik sahaja Obama menjadi Presiden, Summer dipanggil semula menjadi orang penting di White House. Terbaru Summer mengumumkan akan meninggalkan semula White House pada hujung tahun ini dan dikatakan akan kembali ke Harvard. Hal itu kini menjadi tajuk-tajuk akhbar di AS, Britain dan China. Nampaknya bukan sahaja masyarakat Amerika sensitif terhadap perkembangan ini, malah masyarakat dunia turut memberi perhatian berat terhadapnya.

Perubahan orang penting dalam pasukan penasihat ekonomi Amerika sudah tentu menarik perhatian banyak pihak di dunia termasuk Malaysia, mengambil kira AS adalah destinasi terpenting dunia bagi lambakan eksport Malaysia dan negara-negara lain.

Mengapa Summer penting? Semasa Clinton (Demokrat) mengambil alih pentadbiran White House daripada Bush Sr (Republikan), keadaan ekonomi AS amat buruk. Summer dikatakan sebagai instrumen penting kecemerlangan ekonomi AS di bawah Clinton. Namun, Bush Jr yang mengalahkan calon Demokrat ke White House kemudiannya tidak memanfaatkan pengalaman Summer untuk menjadi nakhoda ekonominya. Pada penghujung pentadbiran Bush Jr, ekonomi AS jatuh pada paras terburuk dalam sejarah.

Obama yang merupakan Presiden AS dari kulit campuran, segera memanggil semula Summer untuk menjadi mekanik bagi membaiki kerosakan hasil tangan keluarga Bush. Memuji jasa Summer kepada pentadbiran Obama, White House mengeluarkan kenyataan bahawa Summer merupakan arkitek jump-starting ekonomi pada 2009 dan berperanan besar membaikpulih industri automobil AS.

Obama dengan nada patriotik berkata: “Saya akan sentiasa menghargainya kerana semasa negara berada dalam kejatuhan dahsyat sejak 1930-an, orang yang cerdas, berpengalaman dan tepat dalam membuat keputusan seperti Summer sanggup terjun menyahut panggilan negara dengan mengetuai pasukan perancang ekonomi kita.”

Summer seperti Bujang Selamat pada kaca mata Obama, membalas kenyataan itu dengan berkata: “Saya akan sentiasa merindui kenangan bekerja setiap hari dengan Presiden dan pasukannya menghadapi cabaran-cabaran membina dasar ekonomi.”

Jika demikian, mengapa Summer yang disanjung itu mengumumkan akan meninggalkan White House pada hujung tahun ini? Adakah bermakna misinya membaik pulih ekonomi AS telah tercapai? Jika benar, alangkah baiknya berita ini kepada ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang. Atau sebaliknya, Summer telah angkat bendera putih kerana terlalu teruknya kejatuhan ekonomi negara kuasa besar tersebut.

Apatah lagi pada Julai lalu, Pengarah Bajet AS, Peter Orszag dan Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi AS, Christina Romer telah meninggalkan White House lebih awal. Apabila diteliti, jawapan yang kedua lebih berasas. Tambahan pula November nanti akan berlangsung pilihan raya Kongres. Laporan Biro Bancian AS bahawa pada 2009, statistik menunjukkan setiap tujuh penduduk di AS, seorang daripada mereka hidup dalam kemiskinan. Bilangan orang miskin di AS telah meningkat antara 2008 hingga 2009 sebanyak empat juta, menjadikannya 43.6 juta.

Ukuran kemiskinan di AS adalah sesebuah keluarga itu miskin jika mempunyai ahli empat orang dengan pendapatan AS$21,954 setahun. Kemelesetan ekonomi AS seperti diisytiharkan telah berakhir pada 2009 melalui pemulihan hasil kerja Obama dan Summer. Namun pada tahun ini, ekonomi AS sekali lagi kehilangan momentum dengan pertumbuhan hanya sekitar 1.6 peratus pada tiga bulan kedua 2010. Angka kehilangan pekerjaan di AS pada 2009 dikatakan sebagai rekod terburuk sejak Great Depression.

Penduduk kehilangan rumah (bukan kerana dilanda taufan) juga meningkat sebanyak 25 peratus sejak bulan yang sama pada 2009. Realy Trac, syarikat yang memantau perniagaan hartanah di AS merekodkan 95,364 rumah telah dirampas oleh bank kerana akaun pinjaman tidak di‘service’. Bilangan rakyat yang tidak memiliki insurans kesihatan meningkat sebanyak 4.4 juta, menjadikan jumlah keseluruhan 50.7 juta yang pada bila-bila masa sahaja akan berhadapan masalah besar dalam sistem penjagaan kesihatan di AS jika jatuh sakit.

Pentadbiran Obama telah melakukan transformasi sistem ini tetapi kuat kuasanya hanya akan berlaku pada 2014, sedangkan pilihan raya November semakin hampir. Perisai hendaklah disediakan bagi menangkis peluru Republikan dari sekarang hingga November.

Jika inilah alasan pemergian Summer, maka beberapa teladan boleh diambil. Antaranya, kejayaan Summer membantu Clinton tidak semestinya boleh diulang. Kerosakan yang telah dilakukan oleh Bush terlalu mendalam, namun Bush tidak mengalami apa-apa kerosakan keselesaan kehidupan. Rakyat Amerika terpaksa membayar kesilapan mereka memilih Bush yang kelihatan ‘agamis’ untuk menggantikan Clinton yang dikatakan kurang bermoral, lalu membenarkan Bush melaksanakan misi sucinya dengan menghabiskan harta negara membiayai perang di seluruh dunia.

Tangan ekonomi seajaib Summer pun sudah tidak mengeluarkan emas lagi apabila kejatuhannya sudah melampaui tahap yang boleh diselamatkan. Pengajaran ini mungkin boleh diambil oleh rakan-rakan saya di Sarawak yang nampaknya semakin menghampiri hari penentuan. Memilih ekstrem kiri atau ekstrem kanan semata-mata kerana misi politik, sekiranya natijahnya nanti ialah kerosakan parah, ia akan menjerumuskan rakyat yang tidak berdosa bakal kehilangan rumah, kehilangan tanah, kehilangan pekerjaan dan kesudahannya ialah kehilangan keselesaan kehidupan.

Baik di Malaysia mahupun di AS, nampaknya pertimbangan politik tetap dominan. Gagasan saya yang terdahulu untuk menukar haluan negara dari memberi keutamaan politik kepada perniagaan bagi menjelekitkan perpaduan rakyat dan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi tidak akan mudah dialu-alukan. Sambil merenung hal ini, di Malaysia nampaknya belum ada orang seperti Summer yang berulang alik antara menara gading dengan menara legislatif. Manalah tahu, kalau-kalau Tan Sri Musa Mohamad sudi kembali menjadi Bujang Selamat Malaysia.

Nordin Kardi ialah Profesor di College of Arts and Sciences, Universiti Utara Malaysia.