Tuesday, July 19, 2011

Antara White House dan Harvard (Utusan 29/9/10)



Antara White House dan Harvard

DI Malaysia, pernah tokoh akademik dilantik mengisi kerusi Kabinet. Antaranya ialah Tan Sri Musa Mohamad yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Beliau ialah bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia. Seseorang yang memasuki Parlimen tidak melalui pilihan raya hendaklah terlebih dahulu dilantik sebagai senator ke Dewan Negara.

Amalan ini tidak sama di Amerika Syarikat (AS) apabila Presiden lebih cenderung membina Kabinet daripada kalangan individu yang diyakininya paling berkebolehan menggerakkan jentera pentadbirannya. Oleh kerana perbezaan prosedur sedemikian, tidak ada ahli akademik berulang-alik dari universiti ke Putrajaya (dulu Kuala Lumpur) seperti yang dialami Larry Summer, bekas Presiden Universiti Harvard untuk berkhidmat dengan Clinton dan sekarang, Obama.

Seingat saya, telah terbit dua rencana saya dalam akhbar ini yang menyentuh mengenai personaliti Summer. Beliau adalah Profesor Ekonomi di Universiti Harvard yang kemudian menjadi orang kuat ekonomi dan kewangan White House di bawah Clinton. Namun, semasa Bush menguasai White House, Summer tidak diperlukan dan kembali ke Harvard. Kemudian, beliau dilantik semula sebagai presiden universiti itu (setaraf Naib Canselor).

Selepas diturunkan daripada menjadi Presiden oleh sekumpulan guru-guru besar Harvard yang mencetuskan kontroversi, guru-guru itu juga kemudian menerimanya kembali menjadi ahli mereka sebagai guru besar di universiti yang sama. Sebaik sahaja Obama menjadi Presiden, Summer dipanggil semula menjadi orang penting di White House. Terbaru Summer mengumumkan akan meninggalkan semula White House pada hujung tahun ini dan dikatakan akan kembali ke Harvard. Hal itu kini menjadi tajuk-tajuk akhbar di AS, Britain dan China. Nampaknya bukan sahaja masyarakat Amerika sensitif terhadap perkembangan ini, malah masyarakat dunia turut memberi perhatian berat terhadapnya.

Perubahan orang penting dalam pasukan penasihat ekonomi Amerika sudah tentu menarik perhatian banyak pihak di dunia termasuk Malaysia, mengambil kira AS adalah destinasi terpenting dunia bagi lambakan eksport Malaysia dan negara-negara lain.

Mengapa Summer penting? Semasa Clinton (Demokrat) mengambil alih pentadbiran White House daripada Bush Sr (Republikan), keadaan ekonomi AS amat buruk. Summer dikatakan sebagai instrumen penting kecemerlangan ekonomi AS di bawah Clinton. Namun, Bush Jr yang mengalahkan calon Demokrat ke White House kemudiannya tidak memanfaatkan pengalaman Summer untuk menjadi nakhoda ekonominya. Pada penghujung pentadbiran Bush Jr, ekonomi AS jatuh pada paras terburuk dalam sejarah.

Obama yang merupakan Presiden AS dari kulit campuran, segera memanggil semula Summer untuk menjadi mekanik bagi membaiki kerosakan hasil tangan keluarga Bush. Memuji jasa Summer kepada pentadbiran Obama, White House mengeluarkan kenyataan bahawa Summer merupakan arkitek jump-starting ekonomi pada 2009 dan berperanan besar membaikpulih industri automobil AS.

Obama dengan nada patriotik berkata: “Saya akan sentiasa menghargainya kerana semasa negara berada dalam kejatuhan dahsyat sejak 1930-an, orang yang cerdas, berpengalaman dan tepat dalam membuat keputusan seperti Summer sanggup terjun menyahut panggilan negara dengan mengetuai pasukan perancang ekonomi kita.”

Summer seperti Bujang Selamat pada kaca mata Obama, membalas kenyataan itu dengan berkata: “Saya akan sentiasa merindui kenangan bekerja setiap hari dengan Presiden dan pasukannya menghadapi cabaran-cabaran membina dasar ekonomi.”

Jika demikian, mengapa Summer yang disanjung itu mengumumkan akan meninggalkan White House pada hujung tahun ini? Adakah bermakna misinya membaik pulih ekonomi AS telah tercapai? Jika benar, alangkah baiknya berita ini kepada ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang. Atau sebaliknya, Summer telah angkat bendera putih kerana terlalu teruknya kejatuhan ekonomi negara kuasa besar tersebut.

Apatah lagi pada Julai lalu, Pengarah Bajet AS, Peter Orszag dan Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi AS, Christina Romer telah meninggalkan White House lebih awal. Apabila diteliti, jawapan yang kedua lebih berasas. Tambahan pula November nanti akan berlangsung pilihan raya Kongres. Laporan Biro Bancian AS bahawa pada 2009, statistik menunjukkan setiap tujuh penduduk di AS, seorang daripada mereka hidup dalam kemiskinan. Bilangan orang miskin di AS telah meningkat antara 2008 hingga 2009 sebanyak empat juta, menjadikannya 43.6 juta.

Ukuran kemiskinan di AS adalah sesebuah keluarga itu miskin jika mempunyai ahli empat orang dengan pendapatan AS$21,954 setahun. Kemelesetan ekonomi AS seperti diisytiharkan telah berakhir pada 2009 melalui pemulihan hasil kerja Obama dan Summer. Namun pada tahun ini, ekonomi AS sekali lagi kehilangan momentum dengan pertumbuhan hanya sekitar 1.6 peratus pada tiga bulan kedua 2010. Angka kehilangan pekerjaan di AS pada 2009 dikatakan sebagai rekod terburuk sejak Great Depression.

Penduduk kehilangan rumah (bukan kerana dilanda taufan) juga meningkat sebanyak 25 peratus sejak bulan yang sama pada 2009. Realy Trac, syarikat yang memantau perniagaan hartanah di AS merekodkan 95,364 rumah telah dirampas oleh bank kerana akaun pinjaman tidak di‘service’. Bilangan rakyat yang tidak memiliki insurans kesihatan meningkat sebanyak 4.4 juta, menjadikan jumlah keseluruhan 50.7 juta yang pada bila-bila masa sahaja akan berhadapan masalah besar dalam sistem penjagaan kesihatan di AS jika jatuh sakit.

Pentadbiran Obama telah melakukan transformasi sistem ini tetapi kuat kuasanya hanya akan berlaku pada 2014, sedangkan pilihan raya November semakin hampir. Perisai hendaklah disediakan bagi menangkis peluru Republikan dari sekarang hingga November.

Jika inilah alasan pemergian Summer, maka beberapa teladan boleh diambil. Antaranya, kejayaan Summer membantu Clinton tidak semestinya boleh diulang. Kerosakan yang telah dilakukan oleh Bush terlalu mendalam, namun Bush tidak mengalami apa-apa kerosakan keselesaan kehidupan. Rakyat Amerika terpaksa membayar kesilapan mereka memilih Bush yang kelihatan ‘agamis’ untuk menggantikan Clinton yang dikatakan kurang bermoral, lalu membenarkan Bush melaksanakan misi sucinya dengan menghabiskan harta negara membiayai perang di seluruh dunia.

Tangan ekonomi seajaib Summer pun sudah tidak mengeluarkan emas lagi apabila kejatuhannya sudah melampaui tahap yang boleh diselamatkan. Pengajaran ini mungkin boleh diambil oleh rakan-rakan saya di Sarawak yang nampaknya semakin menghampiri hari penentuan. Memilih ekstrem kiri atau ekstrem kanan semata-mata kerana misi politik, sekiranya natijahnya nanti ialah kerosakan parah, ia akan menjerumuskan rakyat yang tidak berdosa bakal kehilangan rumah, kehilangan tanah, kehilangan pekerjaan dan kesudahannya ialah kehilangan keselesaan kehidupan.

Baik di Malaysia mahupun di AS, nampaknya pertimbangan politik tetap dominan. Gagasan saya yang terdahulu untuk menukar haluan negara dari memberi keutamaan politik kepada perniagaan bagi menjelekitkan perpaduan rakyat dan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi tidak akan mudah dialu-alukan. Sambil merenung hal ini, di Malaysia nampaknya belum ada orang seperti Summer yang berulang alik antara menara gading dengan menara legislatif. Manalah tahu, kalau-kalau Tan Sri Musa Mohamad sudi kembali menjadi Bujang Selamat Malaysia.

Nordin Kardi ialah Profesor di College of Arts and Sciences, Universiti Utara Malaysia.

No comments:

Post a Comment