Wednesday, January 11, 2012

Memahami Keadilan Untuk Saiful

MOHD. Saiful Bukhari Azlan telah pun mengetahui keputusan aduan beliau kepada pemerintah mengenai pertuduhan jenayah yang beliau anggap telah diperlakukan terhadapnya oleh pihak tertuduh. Tertuduh telah didapati tidak bersalah daripada pertuduhan. Mahkamah telah memberi keadilan kepada beliau dan dengan itu beliau bersih.

Telefon dan emel saya hingga saat ini dipenuhi dengan gerak balas daripada kawan-kawan saya: daripada kedua-dua pihak - yang menyokong tertuduh menyatakan syukur dan yang tidak menyokong meluahkan rasa marah-marah mereka kepada saya.

Dalam hal Saiful, nampaknya banyak pihak termasuk Saiful walaupun reda tetapi merasa tidak memperolehi keadilan. Soalnya, benarkah perbicaraan selama tiga tahun itu bertujuan memberi keadilan kepada Saiful dan keadilan juga kepada tertuduh?

Saya berpendapat bahawa benar perbicaraan tiga tahun itu ialah untuk memberi keadilan kepada tertuduh tetapi salah jika dikatakan perbicaraan itu terus dikaitkan dengan memberi keadilan kepada Saiful.

Memberi keadilan kepada Saiful pada saya bukan di mahkamah jenayah. Dalam kes jenayah itu Saiful hanyalah seorang saksi, sama tarafnya seperti barang-barang bukti yang lain. Mahkamah hanya akan memutuskan menerima atau menolak barang bukti dan pernyataan saksi bagi memutuskan sama ada tertuduh melanggar undang-undang tertentu yang telah dibuat oleh negara.

Mahkamah jenayah ialah tempat membicarakan kes warganegara melawan negara (citizen against state) terhadap sesuatu pertuduhan yang dikenakan kepada seseorang tertuduh. Sebab itulah negara boleh menggunakan kewangan pembayar cukai untuk membiayai kos membuktikan negara lebih benar daripada yang dituduh.

Jika keputusan tidak memihak kepada terduduh dalam kes ini, mahkamah tidak akan mengatakan keputusan memihak kepada Saiful sebaliknya keputusan memihak kepada negara. Konsep inilah yang nampaknya kawan-kawan saya belum faham, dan saya percaya ramai lagi di luar sana yang tidak faham.

Dalam mahkamah jenayah biasanya tidak disebut "A melawan B" atau "A (tertuduh) melawan Negara" tetapi pernah juga istilah "people" digunakan bagi mewakili negara seperti kes jenayah O.J. Simpson, bekas pemain American Footbal terkenal di Amerika Syarikat (AS) yang disebut juga sebagai "People of the State of California v. Orenthal James Simpson".

Istilah ini menarik kerana jika digunakan di Malaysia, ia akan mengubah konsep 'tertuduh melawan kerajaan' kerana yang dilawan bukan kerajaan sebaliknya melawan rakyat negara itu yang mengizinkan (melalui prosedur undang-undang) wang cukai yang mereka bayar digunakan untuk melawan seseorang yang telah melanggar kepentingan atau peraturan negara.

Hal begini perlahan-lahan dapat mengubah persepsi bahawa sesuatu kes jenayah adalah perlawanan antara kerajaan dengan sesiapa juga yang dikenakan sesuatu pertuduhan. Dalam keadaan itu kerajaan akan dilihat sebagai tidak terlibat atau 'neutral'.

Dalam kes Simpson ini, dia telah dituduh membunuh bekas isterinya Nicole Brown Simpson dan kawannya Ronald Goldman. Perbicaraan ini dianggap di AS sebagai perbicaraan abad ke-20 yang diberi liputan secara meluas dan luar biasa oleh media elektronik dan cetak.

Perbicaraan mengambil masa sembilan bulan di hadapan hakim Lance Ito. Simpson mengambil pasukan peguam yang sangat berprofil tinggi di AS, yang diketuai oleh Johnnie Cochran. Ahli-ahlinya termasuk F. Lee Bailey, Robert Shapiro, Alan Dershowitz, Robert Kardashian, Gerald Uelmen (Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Santa Clara ) dan Carl E. Douglas.

Johnnie Cochran dan pasukannya telah berjaya mengusik fikiran juri bahawa ada keraguan teknikal dalam pengurusan sampel DNA yang diambil. Cochran menimbulkan bahawa saintis dan juruteknik makmal lalai dalam mengendalikan bukti sampel darah dengan mempersoalkan pelbagai keadaan berkaitan pengurusan bahan bukti itu.

Cochran juga menimbulkan isu salah laku Jabatan Polis Los Angeles terhadap Simpson bagi menimbulkan keraguan itu. Cochran mengupah pakar DNA yang sangat hebat, Barry Scheck dan Peter Neufeld untuk menolak dalil DNA pihak peguam cara.

Simpson akhirnya diputuskan tidak bersalah terhadap pertuduhan. Hal ini perlu dibaca, bahawa mahkamah bukan mengatakan Simpson tidak membunuh tetapi Simpson tidak bersalah daripada pertuduhan. Jelas sekali hal teknikal memainkan peranan amat penting di mahkamah jenayah.

Berbalik kepada Saiful, di manakah dia sepatutnya menuntut keadilan? Saya katakan bukan di mahkamah jenayah kerana jika tertuduh didapati bersalah, Saiful tidak akan mendapat apa-apa selain daripada rasa puas hati. Oleh itu tempat Saiful mendapat keadilan seharusnya di mahkamah sivil.

Di mahkamah sivil, Saiful bukan hanya berperanan sebagai saksi atas arahan negara tetapi akan berperanan sebagai pihak yang menuntut.

Mengambil pengajaran daripada kes O.J. Simpson, di dalam mahkamah jenayah dia telah didapati tidak bersalah meskipun pelbagai hujah yang dikemukakan seperti memberi petanda bahawa tertuduh memang telah melakukan pembunuhan.

Isu-isu teknikal sememangnya menjadi pertimbangan hakim di mahkamah kerana hal-hal teknikal akan menimbulkan keraguan. Hakim tidak mahu negara menzalimi seseorang individu dengan melalui pertuduhan yang meragukan.

Dalam hal inilah negara yang diwakili oleh Peguam Negara dapat menghakimi kecekapan jabatan itu bekerja. Jika banyak kes yang mahkamah melepaskan tertuduh, biasanya rakyat akan mempersoalkan kecekapan bekerja dan tahap ilmu Peguam Negara yang mewakili kepentingan mereka.

Sebaliknya, di mahkamah sivil beban pembuktian tidak memerlukan syarat melampaui keraguan munasabah sebaliknya bergantung kepada kemampuan dan kecekapan peguam Saiful (bukan Peguam Negara) menunjukkan kepada hakim bahawa Saiful lebih benar.

Sebagai perbandingan, keluarga mangsa bunuh O.J. Simpson telah berusaha mendapat keadilan di mahkamah sivil. Semasa perbicaraan, bahan-bahan bukti yang digunakan di mahkamah jenayah digunakan semula di dalam perbicaraan sivil itu.

Perbicaraan sivil (civil trial) telah memihak keluarga mangsa yang masih hidup. Mahkamah sivil telah membuat keputusan bahawa Simpson bertanggung jawab menyebabkan kematian Goldman dan Brown secara salah (istilah digunakan ialah wrongful death).

Mahkamah pula membuat keputusan keluarga mangsa mendapat AS33.5 juta sebagai ganti rugi dan hukuman menyebabkan kesakitan (compensatory and punitive damage).

Mungkin orang awam di Malaysia juga tidak tahu bahawa untuk mempertahankan diri terhadap sesuatu pertuduhan oleh negara memerlukan wang yang sangat banyak.

Kita percaya dalam kes yang Saiful menjadi saksi baru-baru ini tentu yang dituduh telah berbelanja sangat banyak bagi mempertahankan diri beliau. Sebagai rujukan kes O.J. Simpson bagi perbicaraan dalam tempoh sembilan bulan, dia dikatakan telah berbelanja kira-kira RM20 juta bagi membayar kos mahkamah, yuran peguam dan upah pakar DNA yang mampu mencabar pakar DNA yang disediakan oleh negara.

Bagi mempertahankan dirinya di mahkamah sivil Simpson telah membelanjakan kira-kira AS$1 juta sahaja.

Jika saya diminta oleh Saiful untuk menasihatinya apa yang patut dibuatnya selepas ini bagi memastikan dia mendapat keadilan, jawapan saya ialah Saiful mesti segera mula memfail tuntutannya di mahkamah sivil.

Kawan-kawan yang hantar mesej marah-marah kepada saya pula silalah mula hulurkan sumbangan kepada Saiful untuk membiayai kos mahkamah nanti.

Friday, January 6, 2012

Pendirian Orang Di Menara Ilmu


IBU saya, Maimunah tidak bersekolah tinggi tetapi dia pandai menulis dan membaca.

Dia dibawa lari oleh datuk saya meninggalkan kampung halaman kerana komunis memujuk supaya ibu saya diserahkan kepada mereka untuk dijadikan jurutulis.

Benarkah beliau akan menjadi jurutulis? Tiada siapa ketika itu yang mempercayainya.

Oleh kerana ibu saya lebih dahulu pandai membaca dan menulis dialah yang selalu menyampaikan pelbagai cerita Melayu kepada saya. Antara cerita Melayu yang saya ingat sampai sekarang adalah cerita 'Lembing Awang Pulang Ke Dayang', yang kemudiannya saya baca sendiri dengan teliti termasuk pengajarannya.

Pengajaran cerita itu seperti amat diperlukan sekarang untuk menyelamatkan umat yang tidak berdosa oleh keinginan elit politik melaksanakan sama ada idea mereka yang tulus atau idea yang tersembunyi di sebaliknya hajat dan cita-cita peribadi.

Diceritakan 99 orang menjadi mangsa kerana lembing Awang yang terasa dikhianati yang dilontar dari seorang ke seorang yang tertikam sehinggalah lembing itu menikam ayah Dayang yang serta-merta berhenti tidak melontarkannya lagi kepada orang lain. Ayah Dayang memutuskan untuk memberhentikan perbuatan yang menyebabkan ramai orang mati jika kerja merejam diteruskan.

Saya diberitahu ibu saya bahawa dalam setiap kemungkaran dan dendam orang yang berilmu akan sanggup mengorbankan dirinya untuk memastikan kemungkaran, dendam dan kezaliman tidak akan berlanjutan.

Dalam konteks sekarang siapakah sepatutnya menjadi orang yang berilmu itu yang sanggup mengorbankan dirinya demi kesejahteraan umat? Agama Islam mengajarkan bahawa orang yang baik ialah orang yang dapat mengawal dan menghapuskan nafsu amarahnya. Yang berupaya mengawal semua itu sewajarnya ialah orang berilmu.

Lawannya pula ialah mereka yang sangat cenderung membuat propagasi persengketaan, permusuhan dan kemusnahan. Dengan yang sedemikian, golongan itu hendaklah dilihat sebagai bukan ilmuwan yang patut diikuti atau dijadikan ketua.

Suasana panas di kampus-kampus pada masa ini dengan pelbagai latihan dan senaman menguatkan lengan dan penumbuk tidak sekali-kali menggambarkan kesucian menara ilmu. Kesediaan golongan menara ilmu untuk turun ke jalan-raya mencuba kekerasan lengan dan otot dengan strategi diatur oleh segolongan guru dan pentadbir menara ilmu yang sembunyi tangan selepas membaling, tidak sekali-kali mewakili tradisi menara ilmu, sebaliknya mewarisi tradisi kolesium perlawanan haiwan dengan haiwan, haiwan dengan manusia dan manusia melawan manusia untuk tontonan.

Mereka ialah wakil golongan barbarik yang membenarkan diri mereka dipersenda dan diketawakan oleh golongan elit politik yang sadis.

Orang yang cintakan ilmu tentu pernah membaca bagaimana Socrates yang mempunyai beberapa pilihan seperti lari meninggalkan negaranya, bangun melawan atau sedia meminum racun yang dipaksakan demi mempertahan kepercayaan ilmu yang dipegangnya.

Socrates berkata, jika dia lari atau bersuaka di tempat lain, dia menganggap dirinya sebagai manusia yang takutkan mati dan dengan itu dia bukanlah seorang ahli falsafah yang tulen. Jika dia lari bersuaka di tempat lain dia yakin jika dia terus berpegang kepada yang benar dan dipercayainya dia akan terus menyoal di tempat dia bersuaka itu dan persimpangan yang sedang dihadapinya akan tetap berulang, kecualilah jika dia sanggup menipu dirinya dan orang lain.

Sebaliknya Socrates berkata, jika dia sanggup tinggal di bumi yang dipijaknya ketika itu dia hendaklah setia dengan undang-undang bumi itu, meskipun dia mungkin tidak setuju dengannya, dan dengan sebab itu dia disakiti.

Katanya, itulah 'kontrak sosial' antara dirinya, ideanya dan negara. Mencederakan negara kerana idealismenya walau dia merasakannya benar tidak boleh sama sekali dilakukan orang yang berpegang kepada kepercayaan tentang adanya kontrak negara bangsa. Akhirnya, Socrates diminumkan racun yang meragut nyawanya demi idealisme dan demi negara bangsanya.

Di manakah pendirian masyarakat menara ilmu? Ke manakah perginya guru-guru besar yang berilmu di universiti sehingga mereka memejamkan mata membiarkan calon-calon 'Aristotle' dan 'Plato' ditarik oleh elit-elit politik untuk keluar ke jalan-raya dijadikan boneka dan bahan mainan di medan kolesium yang berpaksikan kekuatan lengan dan betis dan bukan berpaksikan kekuatan otak dan fikiran?

Tidakkah tradisi menara ilmu yang sebegini yang wajar dipertahankan sebelum para guru besar universiti menuntut pelbagai jenama baru di bawah payung induk 'kebebasan akademik'.

Wajarkah guru-guru besar di universiti yang mengaku berilmu membiarkan melihat sahaja dan menunggu kesudahan kemelut yang menjulingkan kebenaran tradisi kebebasan akademik itu?

Tidakkah orang universiti ingat bahawa permulaan kepada apa yang dikatakan kebangkitan emansipasi orang muda di kampus pada tahun 50an dan 60an bukan tulen berasal daripada tradisi ilmu sebaliknya tradisi hippi yang tidak langsung berkaitan dengan keunggulan ilmu.

Adakah Socrates seorang yang pengecut berperang? Tidak sama sekali, sebaliknya Socrates pernah menjalani khidmat negara sebagai tentera Athenian di dalam perang Potidaea, Amphipolis dan Delium.

Namun sekali dia telah memilih kakinya memijak dunia ilmu, semangat perwiranya tidak lagi disalurkan melalui kekuatan lengan dan otot. Keberanian dan ketabahan Socrates menerima hukuman meminum racun menyebabkan baton tradisi ilmu itu disambut dengan lancar dan jelas oleh Plato, Aristotle dan Xenophone dan Aristophanes.

Tidak ada kekeliruan perbezaan otot lengan dengan kekuatan fikiran dan otak dalam tradisi ilmu dan falsafah. Demikian juga dengan tafsiran kontrak sosial kenegaraan yang begitu jelas kepada orang berilmu seperti Socrates yang sepatutnya menjadi asas tafsiran buku demokrasi bukan tafsiran demokrasi jalanan yang menghunus kekuatan dan keagungan kuasa buku lima.

Dalam tradisi alam Melayu, tradisi ilmu Hamzah Fansuri yang tidak diterima oleh penguasa semasa tidak mendorong ilmuwan seperti Hamzah Fansuri mengangkat lengan, apa lagi mendorong pengikutnya seperti Syamsudin Al-Sumatrani membawa rakan-rakannya ke jalan-raya untuk mempropagasikan idea penentangan Hamzah Fansuri.

Hamzah Fansuri berpesan : Silan itu ombaknya kisah, banyaklah akan ke sana berpindah, topan dan ribut terlalu 'azamah, perbetuli pedoman jangan berubah. Amat penting supaya orang di menara ilmu mempunyai pedoman yang jelas tentang pendirian orang berilmu dan sentiasa kuat berpegang kepada disiplin dan tradisi itu supaya tidak nanti universiti bertukar daripada konsep stadium ilmu kepada sebuah kolesium.

Orang di menara ilmu dibayangkan berbeza melihat sesuatu berbanding orang jalanan seperti pesanan Hamzah Fansuri lagi: Hai sekalian kita yang kurang, nafsumu itu lawan berperang, jangan hendak lebih baiklah kurang, janganlah sama dengan orang. Bolehkah orang universiti menjadi Socrates atau sekurang-kurangnya ayah Dayang yang tidak terus merejam lembingnya?