Thursday, July 28, 2011

Struktur Memudakan UMNO (Utusan 28/7/11)



Struktur memudakan UMNO

Sebagai sebuah organisasi UMNO tidak sakit, UMNO juga tidak lemah, UMNO bukan tidak cekap dan UMNO juga bukan tidak berwibawa. UMNO sebagai UMNO (tidak mengapalah jika ada ahli atau pemimpinnya yang tidak menepati ciri-ciri kekuatan UMNO) terus mempunyai kekuatannya tersendiri tanpa apa-apa kekurangan.

Namun demikian, UMNO sekarang dikelilingi oleh persekitaran yang berubah. Saya jangka jika ada yang ingin membuat kajian kes mengenai kekuatan UMNO hasilnya boleh ditamsilkan dengan dapatan kajian kes terhadap organisasi perniagaan dan perkhidmatan Pos di sebuah negara maju.

Kajian kes United States Postal Service (USPS) menarik jika dijadikan perbandingan dengan transformasi UMNO. USPS ialah organisasi awam kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS) dari segi bilangan pekerja seramai 671,687 orang dan operasinya sampai hampir ke setiap isi rumah.

Berkurun-kurun USPS menunjukkan organisasi itu sangat cekap pengurusannya, pekerjanya berdedikasi, visi dan misinya sangat jelas. Tiada apa salahnya dengan USPS sebagai sebuah organisasi perniagaan kerajaan. USPS kekal sebagai organisasi monopoli pengumpulan, pemprosesan dan penyampaian surat-menyurat dan dengan demikian misinya ialah mengekalkan penguasaan yang telah dinikmatinya selama 200 tahun itu. Sihat atau sakitnya USPS dianggap pertunjuk kepada sakit atau sihatnya kerajaan pusat AS.

Namun apabila teknologi berjaya mencipta mesin faks, tiba-tiba USPS seperti akan lumpuh kerana saingannya bukan ada kaitan dengan pengurusan, bukan juga dengan sumber manusianya dan bukan juga dengan visi atau misinya. Pukulan teknologi internet yang bertalu-talu menambahkan keganasan cabaran kepadanya.

USPS telah mengalami kemerosotan jumlah penghantaran surat secara berterusan daripada 212 bilion pada tahun 2007 kepada tinggal 167 bilion pada tahun lepas, iaitu kehilangan 45 bilion yang bukan sedikit. Mungkinkah organisasi yang berumur dua kurun itu akan terus menjadi tidak relevan lagi nanti?

Demikianlah saya melihat UMNO yang sekarang sedang menghadapi cabaran di luar jangkauan pemikiran orang terdahulu tentang kesan ciptaan teknologi terhadap organisasi. Meskipun banyak ahli UMNO atau orang Melayu yang nostalgia dengan perjuangan pemimpin yang terdahulu seperti Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan seterusnya tetapi jika mereka masih hidup yang duduk di kerusi Najib pada ketika ini, mereka pun belum tentu mampu menghadapi segala cabaran luar biasa yang dihadapi oleh Presiden UMNO sekarang.

Cabaran Presiden UMNO pada ketika ini adalah di luar tradisi cabaran terhadap organisasi itu. Cabaran ini memerlukan transformasi yang didefinisikan oleh Levy and Merry (1986) sebagai penyusunan semula setiap dimensi kewujudan organisasi yang meliputi misi, matlamat, struktur dan budayanya. Perubahan yang berlaku secara kebetulan atau melalui proses evolusi tidak layak dipanggil transformasi.

Di manakah UMNO hendak mencari idea luar biasa bagi melaksanakan transformasi untuk menjamin monopoli kuasa memimpin negara dari sebelum merdeka hingga sekarang? Idea itu boleh saja datang dari Timur, Barat atau Kutub Utara atau Kutub Selatan. Tetapi, jangan lupa kadang-kadang idea boleh juga diperoleh dari belakang ceruk dapur sendiri.

Meminjam kata-kata orang bijak terdahulu 'ke Yathrib dan Maghrib mencari penyelesaian akhirnya menemuinya dalam rumah sendiri'. Lihat bagaimana idea 'lif peluru' yang dibina di luar bangunan yang bukan berasal daripada arkitek atau jurureka profesional sebaliknya adalah idea tukang cuci bangunan.

Secara organisasi UMNO sekarang wujud dalam bentuk struktur berperingkat dari cawangan, bahagian, negeri hingga ke negara. Keahlian adalah melalui cawangan. Oleh sebab banyak cawangan di luar bandar atau kampung ada pemimpin tertinggi UMNO yang mengatakan UMNO adalah parti kampung.

Bagaimana pandai sekali pun seseorang itu jika dia berhajat hendak menjadi pemimpin tertinggi UMNO dia tiada pilihan kecuali pulang ke kampung mencari tapak. Ada juga beberapa contoh pemimpin korporat atau pemimpin awam yang merasa berkebolehan memberi sumbangan kepada UMNO di pusat, terpaksa pulang ke kampung mencari tapak itu, tetapi berkesudahan dengan kecundang dan kecewa.

Antara tokoh terkenal, pernah dilihat sangat berkebolehan dan pernah dikecewakan itu termasuk Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, tokoh organisasi kewangan Nawawi Mat Awin, tokoh pentadbiran awam Abdullah Ayub dan banyak lagi.

Jika AS pernah dan masih menghadapi krisis menggantikan generasi baby boomers yang memimpin segenap sektor di AS, Malaysia dan UMNO juga menghadapi krisis mencari pemimpin bagi menggantikan generasi merdeka, generasi 13 Mei dan generasi DEB sambil pada masa yang sama meneruskan kefahaman mendalam tentang tradisi perjuangan UMNO.

Generasi baru seperti mula menjauhkan diri daripada UMNO. Ada juga seorang dua pemimpin UMNO bertanya saya bagaimana mengajak mereka menyertai UMNO? Amat susah saya hendak menjawabnya secara spontan.

Apabila saya membelek semula sejarah UMNO saya dapati parti itu tertubuh bukan dari kumpulan yang sama seperti sifatnya UMNO sekarang. Perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 yang membawa kepada penubuhan UMNO didukung oleh 41 pertubuhan Melayu yang masing-masingnya berlainan dan berautonomi.

Saya terfikir, mungkin inilah antara jawapannya yang telah lama tersimpan di stor UMNO yang sudah berdebu? Secara struktur mungkin UMNO boleh mula berfikir untuk menjadikannya sebuah badan induk parti yang membenarkan adanya badan gabungan selain daripada meneruskan kewujudan cawangan, bahagian dan negeri. Namun, dalam perhimpunan UMNO, perwakilan tidak lagi terhad kepada wakil-wakil bahagian sebaliknya akan ada wakil-wakil dari badan-badan gabungan.

Tentang kuantum perwakilan badan gabungan dan bahagian tidaklah perlu diperincikan di sini sebaliknya boleh difikirkan dengan mendalam dan dimasukkan ke dalam perlembagaan UMNO nanti.

Dalam istilah perniagaan UMNO melaksanakan transformasi struktur dengan 'penggabungan dan pengambilalihan' badan-badan Melayu yang begitu banyak di Malaysia sekarang seperti memberi nyawa semula kepada tarikh 1 hingga 4 Mac 1946 itu.

Berbanding usaha UMNO mengadakan pelbagai projek mendekati mahasiswa, mendekati pelajar sekolah seperti kursus, projek khidmat masyarakat dan pelbagai lagi yang hasilnya agak lambat, dengan strategi yang dicadangkan UMNO akan tiba-tiba menjadi kaya dan muda semula.

Tidak mustahil melalui transformasi struktur seperti ini orang seperti Tan Sri Khalid akan meninggalkan PKR dan menyertai UMNO semula dengan memimpin sebuah badan gabungan lain yang berautonomi. Pilihan mencari pemimpin UMNO terbaik akan menjadi terbuka luas semula seluas lautan biru.

Melihat badan-badan Melayu berbondong-bondong menyertai UMNO dan dengan rasa tidak mahu ketinggalan gerabak, tidak mustahil Pas juga akan mencari jalan paling 'terhormat' untuk menyertai organisasi UMNO yang dipermudakan semula itu, seperti sifatnya pada 1973.

Apakah halangan utama kepada kemungkinan ini? Jawabnya tiada yang lain kecuali nostalgia, sentimen dan emosi. Tetapi, idea ini bukan hanya unik untuk UMNO kerana jika UMNO tidak berminat maka lawan UMNO akan melaksanakannya.

Hadi Awang telah mengorak langkah menemui NGO seperti Jamaah Islah Malaysia (JIM,) Persatuan Guaman Syariah Malaysia (PGSM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Ilmuan, Jaringan Siswazah Malaysia, dan Persatuan Pelajar Islam Selangor menyampaikan mesej kesamaan matlamat.

Meski pun Pas tidak secomel UMNO tetapi jika badan-badan Melayu yang banyak itu dibiarkan kekal sebagai penyokong luaran yang berkesudahan seperti melukut di tepi gantang atau seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong, tidak mustahil mereka akan beralih haluan mencari pilihan lain yang lebih mengalu-alukan mereka.

Dua ratus tahun USPS wujud dengan gagah tetapi tergugat oleh cabaran teknologi, terlalu muda untuk UMNO ditewaskan. UMNO mesti terus memudakan struktur binaannya bukan hanya pada solekan harian.

No comments:

Post a Comment