Monday, September 3, 2012

Undang Pengesahan Antarabangsa (utusan 2/9/12)

HUJUNG abad ke 19 hingga pertengahan abad ke 20 menyaksikan satu demi satu negara di dunia yang pernah terjajah puluhan, malah ratusan tahun merayakan kejayaan impian supaya negara diperintah oleh bangsa sendiri menjadi realiti.

Pelbagai perkataan yang indah dipilih bagi mewakili ekspresi lambang kehebatan negara bangsa yang baru merdeka itu dalam menentukan kesanggupan bangsa itu menghadapi sendiri nasib baik dan buruk pada zaman berikutnya.

Pelbagai sumpah setia bangsa dilafaz dengan penuh semangat dan didokumentasikan.
Kebebasan menentukan nasib diri sendiri yang dipanggil juga sebagai ‘kedaulatan’ menjadi perkataan suci yang sanggup dipertahankan dengan apa saja.

Aspirasi menentukan nasib sendiri itu diperkukuhkan oleh Charter Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang seperti serik dengan pengalaman menghadapi dua peperangan besar dunia yang memundurkan tamadun manusia lebih ke belakang.
Artikel Satu, Perkara Dua tujuan penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyebutkan dengan jelas tentang hubungan antara negara berdasarkan prinsip ‘equal rights’ dan ‘self-determination’ demi memastikan keamanan sejagat.

Selanjutnya Artikel Dua, Perkara Satu menambahkan lagi kejelasan kebebasan setiap negara anggota yang berbunyi, ‘Organisasi ini berlandaskan prinsip kesamarataan kedaulatan setiap negara anggota’.
Namun pertengahan kurun ke-20 menyaksikan pula perubahan set pemikiran warganegara yang dahulunya sangat kental mempertahankan prinsip menolak sebarang campur tangan pihak luar dalam urusan dalaman sesebuah negara bangsa kepada set pemikiran yang seperti mengundang pihak luar secara terhormat memberi arahan apa yang betul dan apa yang tidak betul dalam menguruskan kehidupan sesebuah negara anggota masyarakat dunia.

Jika pada suatu masa generasi muda kecewa kerana sejarah sesuatu negara mencatat tentang adanya pembesar-pembesar negara sanggup menyerahkan negara dijajah kuasa luar, generasi yang dahulunya muda tetapi kini telah berusia seperti mengulang apa yang mereka pernah benci suatu masa lalu itu.
Ini mungkin kerana kehebatan kerja-kerja diplomasi negara-negara yang secara tradisinya suka menjajah secara halus menjaga kepentingan mereka melalui pelaburan dalam pelbagai program bantuan seperti atas nama pertukaran pelajar pelbagai budaya, aktiviti kesarjanaan dan pembangunan komuniti profesional.

Perubahan set pemikiran segolongan warganegara ini menyediakan tanah yang subur bagi kuasa-kuasa penjajah tradisi itu menggunakan sepenuhnya PBB untuk tujuan menjaga pelbagai kepentingan mereka.

Kuasa-kuasa tradisi penjajah ini mewujudkan pelbagai badan bukan kerajaan dan kemudian menggunakan PBB untuk menghalalkan kuasa badan-badan tersebut.
Badan-badan yang pada mulanya tidak lebih daripada pertubuhan sukarela, tiba-tiba berubah menjadi badan penguasa yang boleh mengeluarkan pelbagai peraturan yang mereka namakan sebagai undang-undang antarabangsa. Kuasa-kuasa penjajah tradisi ini menyalurkan kehendak-kehendak mereka yang dihalalkan oleh badan dunia yang mulia itu.

Contoh yang mudah difahami mengenai kuasa badan-badan sukarela dunia ini ialah dalam kes penjanaan tenaga nuklear Iran.
Suatu badan yang asalnya ialah badan sukarela, iaitu Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), melekatkan dirinya dengan PBB atas nama mempromosikan penggunaan tenaga atom untuk tujuan kesejahteraan manusia dan keamanan, telah mengeluarkan peraturan yang membataskan apa yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh negara-negara anggota.

Selepas Iran mengakui telah melakukan ujian nuklear pada tahun 2009, Ketua Pengarah IAEA membuat kenyataan bahawa ‘kawalan edaran tenaga nuklear hendaklah dipindahkan daripada kuasa nasional kepada kuasa multinasional’.

Jika Charter PBB itu diumpamakan Perlembagaan sesebuah negara, peraturan IAEA telah melanggar dasar Perlembagaan itu yang menjamin ruang kuasa atau ‘jurisdiction’ sebuah negara anggota. Arahan itu secara langsung mencerobohi kemerdekaan dan kedaulatan negara Iran.

Merestui
Dalam kes Iran, mungkin banyak negara anggota PBB merestui penggunaan IAEA oleh negara penjajah tradisi kerana kurang yakin terhadap kewarasan Iran mengawal kesudahan usaha nuklearnya setelah melihat Iran pernah ghairah mengeksport revolusi pada tahun 1980-an di bawah Khomeini.
Tetapi, kes negara Haiti, memperlihatkan bagaimana badan-badan sukarela dipergunakan sepenuhnya secara yang dikatakan sangat tidak bermoral dalam menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya demokratik.
Kerajaan yang sangat popular dijatuhkan melalui operasi oleh kuasa luar yang menggunakan ejen-ejen tempatan.

Badan yang ditaja, menamakan diri mereka the National Coalition for Haitian Rights (NCHR) memainkan peranan mempersoalkan isu ketelusan proses pilihan raya.
Badan antarabangsa memberi tekanan kepada kerajaan Haiti dengan menghentikan semua bantuan kewangan berikutan daripada aduan-aduan itu.

Namun keadaan itu tidak pula mengurangkan sokongan kepada kerajaan Aristide. Episod ini berkesudahan dengan apa yang didakwa oleh Aristide sebagai kudeta yang dilakukan sendiri oleh tentera negara besar dengan menculiknya dan memaksanya menandatangani surat meletak jawatan sebagai Presiden.

Aristide mengatakan dia diterbangkan dengan kawalan tentera asing bersenjata ke Republik Afrika Tengah dan kemudiannya ke Afrika Selatan. Dua orang personaliti Haiti yang telah tinggal dan dilatih di Amerika Syarikat kemudiannya dibawa pulang ke Haiti untuk menjawat jawatan masing-masing, sebagai Presiden dan Perdana Menteri.

Ini suatu keadaan yang tidak semestinya terpencil dengan turut melihat pemimpin di Afghanistan, termasuk Mesir yang dikagumi segolongan orang Malaysia sekarang. Meskipun The Caribbean Community (CARICOM) yang seakan-akan ASEAN di sini mengutuk kudeta di Haiti itu dan mempersoalkan kesahan kerajaan yang baru, kutukan itu tidak pernah diendahkan oleh masyarakat antara bangsa termasuk PBB.

Demikianlah, bukan sahaja kerajaan yang dikatakan menindas dan dibenci oleh warganegaranya boleh diturunkan tetapi sebuah kerajaan yang disokong oleh majoriti warganegara juga boleh diturunkan oleh sesuatu kuasa yang mempunyai kepentingan tertentu.

Kuasa luar dijemput secara sangat terhormat oleh segolongan warganegara sesebuah negara sasaran, dan jemputan itu diberi layanan istimewa walaupun yang menjemput itu mewakili golongan yang sangat minoriti.
Di Malaysia sendiri nampaknya ada bibit warganegaranya mulai dilatih dan diorientasikan dengan sengaja supaya mengagungkan pengesahan daripada kuasa luar ini tentang apa yang baik dan tidak baik untuk Malaysia.

Atas nama pengiktirafan antara bangsa dari sekecil perkara berkaitan hal teknikal seperti dalam pentadbiran yang memerlukan persijilan ISO berasal dari Geneva, hingga ke pengurusan ilmu yang institusinya ghairah menagih ranking hinggalah kepada proses pilihan raya umum yang bakal menentukan nasib buruk atau sejahteranya umat di negara ini.
Seperti tidak sempurna sesuatu aktiviti kehidupan bernegara di Malaysia sekiranya tidak mendapat endorsement daripada luar.

Orang berpengetahuan psikologi akan cepat mengesan tanda-tanda potensi perlakuan tidak normal pada masyarakat atau komuniti seperti ini.
Dikatakan Pilihan Raya Umum di Malaysia tidak akan sah selagi dia tidak diselia, dipantau dan disahkan oleh badan asing atas nama neutraliti.
Yang terbaharu pada pengamatan saya di Malaysia ialah munculnya golongan yang bergerak cergas mengundang campur tangan PBB menyemak semula referendum 1963 tentang pembentukan Malaysia.

Mereka menuntut supaya PBB mengadili kesahan referendum itu dan pelaksanaannya. Gerakan seperti ini, sekiranya berlaku pada zaman Tun Razak dan Tun Hussein Onn, tentulah akan mendapat jawapan yang sangat serius daripada kedua-dua tokoh itu.

Gerakan seperti ini akan disifatkannya sebagai suatu gerakan subversif dan anti-nasional. Namun, pada zaman ini, semuanya seperti dibenarkan atas nama kebebasan menyatakan sesuatu pendirian di sebuah negara yang mengaku mengamalkan demokrasi seperti Malaysia.

Dalam kes Haiti, Aristide mendedahkan bahawa kudeta ke atasnya berlaku kerana keengganannya membuka syarikat-syarikat kepentingan awam seperti elektrik dan telekom yang dikuasai oleh kerajaan untuk dikuasai oleh syarikat-syarikat besar daripada Amerika Syarikat terutamanya.
Malaysia tidak sedikit pun kurang pentingnya berbanding Haiti. Malaysia ada TNB, PNB, Telekom, Felda, Tabung Haji dan dengan itu pemimpin Malaysia sewajarnya lebih bijaksana daripada Aristide.

Monday, February 27, 2012

Reformasi Melawan Transformasi


HAKIKATNYA pilihan raya Parlimen Malaysia (biasanya berserta juga Dewan Undangan Negeri) sudah semakin hampir. Mustahil ia semakin jauh kecuali ada elemen lain yang melenyapkan terus institusi pilihan raya itu. Persaingan kian menjurus kepada perlawanan dua aliran. Belum ada sebarang tanda serius kewujudan aliran ketiga. Pakar gerak saraf kedua-dua aliran itu tentu sedang bekerja keras memastikan strategi perang psikologi mereka lebih ampuh berbanding strategi lawan.

Barisan Nasional (BN) adalah sebuah entiti halal dan berdaftar, sebaliknya lawan kepadanya masih berupa entiti bersekedudukan hanya untuk keselesaan politik. Walaupun rakan saya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof sering memberi isyarat mengalu-alukan pendaftaran lawan kepada BN di bawah satu parti, hal ini belum terjadi oleh sebab-sebab yang antaranya diketahui oleh mereka yang di dalam sahaja selain sebab-sebab terkini yang sudah bukan misteri kepada orang awam.

Bagi memulakan apa-apa perang saraf selalunya perancang akan mencari slogan yang berbunyi agung kepada kumpulan mereka. Dalam hal inilah pihak lawan BN mendahului dengan menjulang apa yang mereka namakan sebagai ‘reformasi’ pada penghujung 1990-an lagi. Sebagai reaksi kepada slogan reformasi, BN pula kini tampil dengan slogan yang bunyinya mirip iaitu ‘transformasi’.

Para pengikut reformasi terutamanya memasarkan slogan itu dengan pelbagai cara dan media. Amat menarik diperhatikan, perkataan reformasi seperti difahami pada semua peringkat penganut, daripada pemimpin tertinggi hinggalah pemimpin jalanan kumpulan yang melawan BN berbanding perkataan ‘transformasi’ yang nampaknya hanya diucapkan dan difahami oleh Pengerusi BN. Bahkan, pemimpin-pemimpin yang terdekat dengan beliau juga kurang mengucapkannya. Nampaknya pemimpin terdekat dengan Pengerusi BN dan pengikut-pengikutnya lebih selesa memasarkan slogan 1Malaysia berbanding slogan ‘transformasi’.

Segolongan anak-anak muda yang menjadi pengikut kumpulan yang menentang BN nampaknya begitu bangga dan sukarela menggelar diri sendiri sebagai ‘reformer’. Seperti biasa, oleh sebab kebanyakannya saya lihat malas membaca, mudah tergoda dengan perkataan itu yang disampaikan oleh orang tua-tua yang hampir dengan mereka. Perkataan ‘reformasi’ baharu mereka jumpa dan dengar, lalu mereka dokong erat sebagai perkataan yang mempunyai prestij tertentu tanpa sedar apakah erti dan asal usul atau etimologi perkataan reformasi itu.

Kumpulan orang muda yang kadang kala bersuara sombong itu melihat dengan sinis bahawa mereka yang tidak mendukung seruan reformasi sebagai ketinggalan zaman dan tidak mengikut fesyen semasa. Mereka tidak sedar perkataan reformasi itu adalah perkataan yang sudah antik yang cuba diberi nafas semula oleh ketua-ketua mereka yang juga sudah berfikiran antik.

Jika mereka mengkaji dan menganalisis sejarah hidup ketua-ketua mereka itu, akan dijumpai kenyataan bahawa ketua-ketua yang dianggap begitu berilmu itu ialah kumpulan yang berfikiran tertutup dan gagal menguasai pelbagai ilmu yang berkembang secara letupan.

Masih, pada milenium ke-21, setelah begitu banyak rujukan baru dengan doktrin-doktrin kemanusiaan yang baru, terdengar berkali-kali pemimpin utama mereka merujuk Arnold Toynbee, yang selain disanjung kehebatan akademiknya, tidak banyak yang tahu dia adalah pekerja di Kementerian Luar British, secara khususnya di Jabatan Risikan Politik. Toynbee menjadi pakar runding dan penasihat risikan luar negara kepada kerajaan British terutamanya mengenai Asia Barat. Oleh itu, tidak mustahil mendiang terlibat menasihatkan Balfour mewujudkan national homeland Israel di bumi Palestin seperti tulisan saya yang lalu.

Anak-anak muda Melayu yang terasa berprestij dan berfesyen menyertai seruan reformasi tidak menyedari yang mereka sedang dalam perjalanan balik ke belakang di bawah pengaruh pemimpin-pemimpin berfikiran antik. Mereka tidak tahu bahawa sejarah reformasi berasal daripada perpecahan pelbagai kumpulan yang menentang Katolik Rom yang kemudiannya melahirkan gereja-gereja Protestant di Eropah.

Reformasi berasal daripada rebutan politik kerana adanya dua pihak yang masing-masing mengaku mempunyai Pope yang tulen. Pada umumnya pencatat-pencatat sejarah bersetuju reformasi berlaku pada kurun ke-17 yang disebut juga sebagai magisterial reformation.

Anak-anak muda menyangka jika reformasi di Malaysia berlaku, negara ini akan berubah ke arah yang mereka kehendaki. Sejarah reformasi menunjukkan keadaan berlainan daripada yang mereka kehendaki. Reformasi akan memanjangkan pertelingkahan, persengketaan dan peperangan kelompok-kelompok yang berpanjangan.

Contoh semasa boleh disaksikan di Afghanistan, Iraq, Mesir dan tidak ketinggalan pasca Marcos di Filipina. Di Eropah, reformasi yang disebutkan telah mengakibatkan perang saudara di seluruh Eropah yang mengambil masa beberapa dekad. Muncul kumpulan-kumpulan seperti Lutheran, Polish-Lithuanian Commonwealth, Puritan, Huguenots dan sebagainya. Terbukti reformasi penentangan tidak akan melenyapkan yang lama dengan kemunculan gerakan baru. Kemunculan pelbagai aliran hasil reformasi itu tidak sekali-kali berjaya melenyapkan katolik Rome.

Demikianlah pengajaran reformasi kepada anak muda Malaysia yang menyangka semua orang boleh ditewaskan dan menyerah kalah jika kumpulan mereka menang.

Eropah moden tidak lagi berminat dengan reformasi kerana mereka tahu reformasi tidak membawa erti penyatuan umat. Oleh itu mereka tampil dengan gagasan moden European Union untuk menyatukan fikrah dan kehidupan seluruh umat Eropah. Malangnya manusia di bumi lain, terutamanya negara mundur tergoda mengutip idea reformasi yang ketinggalan zaman itu.

Sedang Malaysia megah menuju menjadi negara maju dan bertekad membawa kebajikan kepada rakyatnya, muncul gerakan reformasi yang dipelopori oleh pemimpin yang berfikiran dunia ketiga. Ini menjadikan orang negara maju akan tertawa melihat Malaysia, walaupun telah jauh meninggalkan kedudukannya sebagai negara mundur, ada rakyatnya yang masih berfikiran kuno dan ketinggalan zaman semata-mata kerana mengambil jalan mudah mengsosiasikan diri dengan apa yang mereka panggil sebagai ‘kemuliaan perjuangan’ tanpa tahu memilih yang mana intan dan yang mana kaca.

Anak-anak muda generasi ‘Y’ sepatutnya memilih menjuarai gerakan ‘transformasi’ kerana asal usul transformasi sangat berkaitan dan dekat dengan mereka yang sepatutnya berfikiran saintifik pada milenium ke-21 ini. Transformasi adalah istilah yang tercipta daripada dunia biologi yang sangat saintifik. Mereka yang berada dalam dunia saintifik biologi molekular tentu dapat menerangkan dengan menarik sekali apakah itu ‘transformasi’ yang sepatutnya menjadi rujukan anak-anak Malaysia moden terutamanya mahasiswa di pengajian tinggi pada masa kini.

Anak-anak muda sewajarnya menghakmilikkan gerakan transformasi supaya tidak hanya menjadi slogan Perdana Menteri Malaysia berseorangan. Transformasi muncul seiring dengan tamadun sains melawan tamadun hantu dan tahyul.

Transformasi boleh terjadi secara ‘natural’ dan ‘artificial’ dan sangat sedikit digunakan untuk kejahatan dengan niat kerana proses transformasi sangat transparence dan tidak berbohong. Oleh sebab transformasi boleh dihuraikan secara saintifik, penggunaan transformasi untuk tujuan jahat akan cepat dapat dikesan berbanding reformasi yang sering menyilaukan pemandangan termasuk orang yang kelihatan waras.

Dapatan sains juga menunjukkan transformasi memerlukan genetik yang stabil bukan yang lemah. Transformasi berlaku dengan baik antara DNA spesies yang dekat dan saling berhubungan. Ini boleh ditafsirkan bahawa dalam konteks menjayakan transformasi Malaysia muncul menjadi penyumbang tamadun agung kemanusiaan, rakyat Malaysia hendaklah mempunyai keeratan hubungan, kesatuan fikiran dan kekuatan tersendiri untuk menjadi ‘perumah’ kepada proses transformasi itu.

Pemikiran-pemikiran antik dan pseudo-intelektual akan menjadi bakteria lemah yang menggagalkan pengembaraan penting Malaysia di abad ke-21.

Apa pun segala-galanya terpulang kepada anak-anak muda Malaysia. Mahu kembali kuno dengan slogan ‘reformasi’ yang bukan berasal dari bumi ini atau mahu mengalir bersama-sama menjadi masyarakat saintifik dengan gaya tersendiri seperti yang disebutkan dalam Wawasan 2020. Perahu di air dan dayung di tangan. Dayunglah dengan mata fikir yang jitu dan rapi.

Friday, February 17, 2012

Menghalalkan 'State of Israel"



AKHIRNYA Datuk Seri Haji Hadi Awang dan disusuli oleh Datuk Nik Aziz Nik Mat tiada pilihan melainkan membuat pernyataan berkaitan isu pengiktirafan terhadap negara bangsa Israel.

Seperti yang dipetik pelbagai media, Wall Street Journal (WSJ) melaporkan pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) telah membuat pernyataan, walaupun bersyarat, mengiktiraf kewujudan negara bangsa yang disebutnya 'state of Israel'.

Setakat ini, Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai isyarat bahawa Malaysia tidak mengiktiraf kewujudannya.

Walaupun pemimpin utama PR itu telah tampil memberi penjelasan secara lisan dan bertulis seperti yang telah dibaca umum, penjelasan itu tidak memperbetulkan apa-apa pun melainkan memperkukuhkan lagi apa yang dicatat oleh Wall Street Journal.

Dalam usaha menjelaskan wawancara WSJ pada Khamis, 26 Januari 2011 beliau mengakui dan memetik catatan itu (mohon izin memetiknya dalam Inggeris, bahasa asal catatan) yang berbunyi: "I support all efforts to protect the security of the state of Israel," said Mr. Anwar, although he stopped short of saying he would open diplomatic ties with the Jewish state, a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians." Perhatikan secara terfokus kepada sebutan 'state of Israel' yang tidak pernah dinafikannya itu.

Saya percaya Abdul Hadi dan Nik Aziz diletakkan dalam keadaan tiada pilihan kecuali terpaksa tampil membuat pendirian, bukan setelah membaca laporan WSJ tetapi selepas membaca penjelasan pemimpin utama PR itu yang mengakui 'dengan tuntas' bahawa beliau telah menyebut frasa 'state of Israel' yang tidak pernah diiktiraf oleh semua pemimpin Malaysia, baik dalam kerajaan mahupun dalam pembangkang.

Pengiktirafan terhadap 'state of Israel' itulah yang menyebabkan WSJ berani membuat pernyataan selanjutnya itu berbunyi: 'short of saying he would open diplomatic ties with the Jewish state'.

WSJ nampaknya seperti mentakrif bahawa implikasi pengiktirafan kewujudan 'state of Israel' akan menyebabkan Malaysia 'baru' nanti tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara itu. Kerajaan Malaysia sejak merdeka bersama dengan pemimpin-pemimpin pembangkang sentiasa tidak bercanggah dalam hal ini, iaitu begitu degil tidak mengiktiraf kewujudan 'state of Israel'.

Lorong pengiktirafan yang dirintis oleh pemimpin utama PR itu merupakan corak dan lembaran perubahan baru yang amat ekstrem bagi Malaysia dan rakyatnya dan terkeluar daripada tradisi falsafah, budaya dan agama di Malaysia yang telah sekian lama jadi anutan.

Percubaan pemimpin itu mengheret Menteri Luar Malaysia dan resolusi 1397 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu guna membantu menghalalkan ucapannya bagi pihak Malaysia dengan memetik ucapan menteri itu yang berbunyi: "...Malaysia fully supports the legitimate rights of the Palestinian people for an independent State of Palestine, based on the two-state solution, taking into account the security concerns of both parties (Israel and Palestine) ternyata percubaan yang sangat lemah dan tidak tepat kerana 'two- state' solution itu hanya suatu gagasan yang cuba ditaja dan belum wujud dalam bentuk realiti.

PBB sehingga sekarang masih belum mengiktiraf kewujudan 'state of Palestine' yang implikasi diplomatiknya ialah tidak wujud 'state of Israel' pada ketika ini bagi Malaysia. Jelas, pendirian Malaysia dan resolusi PBB 1397 berbeza dengan pendirian pemimpin utama PR itu yang sudah mendahului negaranya mengiktiraf kewujudan 'state of Israel' pada saat ini.

Pada ketika ini negara bangsa Palestin dinafikan halalnya oleh PBB. Semua urusan dengan Palestine bukan dibuat dengan sebuah negara atau sebuah kerajaan sebaliknya dengan apa yang mereka namakan sebagai 'Palestine Authority' (PA) yang diketuai oleh Mahmud Abbas.

Adapun kawasan (saya tidak menggunakan perkataan 'state' atau negara) yang bernama Israel yang muncul hasil desakan ketua-ketua Yahudi Dunia yang sangat berpengaruh seperti Chaim Weizmann, Nahum Sokolow, Lord Rothschild dan lainnya yang telah 'berbudi' kerajaan Inggeris sehingga Lord Arthur James Balfour yang ketika itu Menteri Luar Inggeris menulis bagi pihak raja menyampaikan berita perkenan diraja terhadap permintaan mereka itu.

Namun demikian surat itu tidak memenuhi apa yang dituntut golongan Zionis kerana istilah yang digunakan bukan 'State of Israel' atau 'Jewish State', sebaliknya '… the establishment in Palestine of a national home for Jewish people'. Perkataan 'in Palestine' digunakan menjadikan kedudukan Palestine bukan diambil alih oleh sebuah negara bangsa Yahudi.

Banyak pentafsir kepada frasa tersebut mentafsirkan bahawa sekiranya surat itu bermaksud mengubah Palestine menjadi negara Yahudi perkataan yang digunakan bukan 'in Palestine' sebaliknya 'that' yang membawa kepada 'that Palestine is/shall be the national home for…'.

Surat itu menyebut bahawa Palestin kekal sebagai sebuah negara yang di dalamnya menyediakan perlindungan nasional kepada orang Yahudi, bukan menjadi 'State for the Jewish people'. Di dalam surat itu juga jelas disebutkan adanya perlindungan halal bagi orang Yahudi di Palestin dan tidak sekali- kali menafikan hak awam dan agama komuniti lain di Palestin.

Disebutkan: to facilitate the achievement of this object, it being clearly understood that nothing shall be done which may prejudice the civil and religious rights of existing non- Jewish communities in Palestine. Rumusannya, surat bertarikh 2 November 1917 itu amat mengecewakan gerakan Zionis.

Langkah Zionis selanjutnya adalah membuat pengisytiharan-pengisytiharan secara unilateral yang tidak pernah menghormati atau peduli kepada pendirian masyarakat antarabangsa.

Demikianlah kedudukan Israel di bawah lindungan negara sah Palestin yang dijajah oleh kuasa Barat.

Jika pejuang-pejuang dan rakyat Palestin yang telah kehilangan anak, kehilangan suami, rumah, kampung halaman bertahun-tahun mempertahankan apa yang halal demi menolak yang batil itu sedar, tahu dan memahami apa yang telah diucapkan oleh pemimpin utama PR itu, sudah tentu mereka akan merasa dikhianati oleh orang Malaysia yang telah sekian lama juga sentiasa menghulur tangan persahabatan dan bantuan.

Jika pemimpin Malaysia, baik pembangkang mahu pun kerajaan, tidak tampil menyatakan pendirian jelas yang berlainan daripada pendirian pemimpin utama PR itu kepercayaan dan harapan rakyat Palestin kepada Malaysia akan luput dan menjadi kenangan masa silam dan dalam beberapa hal implikasinya mungkin amat berat.

Tiada sedikit pun keraguan tentang setia kawan Malaysia terhadap rakyat Palestin yang menderita itu pada pihak pemimpin pemerintah pusat di Malaysia kerana mereka serta-merta seperti tebuan menderu menyerbu menafikan mereka mengiktiraf pernyataan 'state of Israel'. Serta-merta mereka mencela pernyataan itu.

Jika Raja Inggeris menerusi Balfour mengirim surat kepada Lord Rothschild setakat memberi sebuah 'national home' kepada gerakan Zionis setelah 'termakan budi' yang banyak, betapa pula 'budi' Zionis yang diterima oleh rakyat Malaysia sehingga sanggup mengkhianati orang Palestine dengan memberi pengiktirafan yang lebih besar yang dipanggilnya 'state of Israel'?

Rakyat Malaysia tertunggu-tunggu reaksi pemimpin dari kelompok yang lain dan dalam keadaan inilah Haji Hadi dan Nik Aziz tampil membuat pernyataan yang sangat tepat dan waras serta mengembalikan 'hubungan roh' antara UMNO dan Pas, sehingga saya percaya ramai rakyat Malaysia serta-merta mengurut dada sambil mengucapkan perkataan 'syukur'.

Tuesday, February 7, 2012

Kekebalan Raja-Raja Melayu



PADA minggu lepas, saya dan kawan-kawan melepak di Balai Seni Lukis Negara. Kawan-kawan itu termasuk Dato' Seri Helmi, Dato' Seri Anwar Zaini, Dato' Kamarudin, General Dato' Yunus Long, Tan Sri Kamal Salleh, Dr. Hasan Mad, Roslan dan Faridah, dari USAHANITA. Selain bertanya khabar kami berbual mengenai banyak perkara mengenai Melayu.

Kecuali saya, kawan-kawan saya itu rupanya sangat cergas bergerak dalam pelbagai badan bukan kerajaan mengikut kecenderungan dan latar belakang pendidikan masing-masing. Dalam perbincangan itu seperti ada persetujuan antara kami bahawa ada beberapa tunggak yang jika salah satu daripadanya diusik, maka keseluruhan Melayu itu terusik.

Tunggak-tunggak itu adalah bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan agama Islam, hak Istimewa orang Melayu (termasuk tanah simpanan Melayu) di dalam Perlembagaan. Antara beberapa perkara yang menarik perhatian saya adalah mengenai kekebalan Raja-Raja Melayu dalam konteks undang-undang.

Pada 1993, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda bagi membolehkan prosiding undang-undang diambil terhadap mana-mana Raja Melayu di dalam Mahkamah Khas. Sebelum pindaan itu baginda semua adalah kebal daripada apa-apa prosiding mahkamah.

Perbualan kami bertukar serius apabila disentuh mengenai wasiat Raja-Raja Melayu semasa menandatangani watikah kemerdekaan pada tahun 1957 seperti yang dititahkan semula oleh Raja Muda Perak, Dr. Raja Dr. Nazrin Shah di dalam suatu majlis dan disiarkan di Utusan Malaysia pada 23 Ogos 2009.

Wasiat itu dicatat begini: 'Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia). Ke-dua: Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

Ke-tiga: Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara. Ke-empat: Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini. Ke-lima: Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan. Ke-enam: Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Ke-tujuh: Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Disebutkan juga bahawa pada tarikh 5 Ogos 1957, Duli-Duli Yang Maha Mulia sembilan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Pemerintah dari empat 'Negeri Melayu Bersekutu' dan lima 'Negeri Melayu Tidak Bersekutu' telah memberikan perkenan menurunkan tanda tangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dengan memahat Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu tersebut.

Jika demikian keadaannya, Raja-Raja Melayu yang sebelumnya memerintah secara kuasa mutlak telah berkenan menyerahkan kuasa baginda-baginda itu kepada apa yang dipanggil sebagai "Perlembagaan Persekutuan" yang boleh ditambah atau dipinda melalui kuasa yang dipilih rakyat di rumah yang mulia dinamakan Parlimen.

Disebutkan juga bahawa beberapa fasal dalam perlembagaan hanya boleh dipinda oleh Parlimen jika mendapat persetujuan Raja-Raja Melayu. Fasal-fasal tersebut adalah perkara 3 (1), (2), (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12, Perkara 38 (5); Perkara 152, Perkara 153 dan Perkara 181 (1).

Dalam hal inilah, wajar diteliti semula sama ada parlimen boleh meluluskan penubuhan Mahkamah Khas bagi membolehkan sesuatu prosiding diambil terhadap Raja-Raja Melayu tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan Raja-Raja Melayu.

Jika jawapannya boleh, maka fasal tersebut di dalam perlembagaan adalah halal dan jika tidak maka fasal berkenaan adalah sebaliknya. Selain dari melihat aspek teknikal yang menyentuh kekebalan Raja-Raja Melayu itu elok juga dilihat apakah doktrin yang boleh diguna pakai sama ada untuk mempertahankan kekebalan Raja-Raja Melayu atau yang sebaliknya.

Jika kuasa Parlimen menambah atau meminda perlembagaan itu asalnya diberikan oleh Raja-Raja Melayu, adakah wajar parlimen yang diberi kuasa itu kemudiannya membuat peraturan mengatasi dan melebihi kehendak kuasa yang memberi? Demikianlah dalam kes Bropho melawan State of Western Australia (1972), Ketua Hakim Mason dan Hakim-hakim Deane, Dawson, Toohey, Gaudron and McHugh mengeluarkan pernyataan bersama yang menentang sebarang statut yang akan mengikat 'Crown' (sebagai ingatan, Ketua Negara bagi Australia masih lagi Raja Inggeris).

Dalam konteks 'English Common Law' dikatakan bahawa oleh sebab sumber undang-undang itu datangnya daripada kedaulatan raja, maka raja tidak boleh dipertanggungjawabkan di mahkamah yang dicipta dengan kuasanya. Jika mahkamah atau undang-undang itu hendak diadakan juga maka raja hendaklah memberi persetujuan atau 'consent'.

Di Amerika Syarikat (AS) suatu ketika dahulu kekebalan turut diberi kepada negara daripada sebarang tindakan undang-undang dengan menggunakan doktrin yang sama. Kes Gibbons melawan United States (1986) Mahkamah Agung memutuskan bahawa Kerajaan Pusat tidak boleh disaman tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan Kongres.

Hal ini ditegaskan lagi di AS dalam kes Alden v. Maine (1999). Di England dikatakan walaupun Crown Proceedings Act 1947 seperti memberi kelonggaran dalam kes 'tort' dan kontrak tetapi Raja tetap kebal daripada prosiding jenayah.

Kekebalan Raja yang menjadi ketua sesebuah negara bukan sahaja wujud dalam negara-negara berkenaan tetapi juga pada peringkat antarabangsa. Dalam hal ini, duta-duta, yang mewakili negara atau ketua negara juga mendapat perlindungan daripada kekebalan ini. Daripada prinsip 'customary international law' negara itu kebal daripada sebarang prosiding di negara lain.

AS sendiri mengiktiraf konsep ini di bawah akta Foreign Sovereign Immunities (1976). Apa yang kelihatan daripada contoh-contoh ini adalah, secara konvensyennya, sumber kuasa sesuatu undang-undang itu diberi kekebalan. Doktrin memberi kekebalan ini nampaknya dihormati di banyak negara termasuk Singapura yang memberi kekebalan kepada Presidennya. Di Itali pula, percubaan mempertanggungjawabkan Presiden ke mahkamah adalah suatu jenayah.

Di Malaysia pada keseluruhannya, Raja-Raja Melayu masih kelihatan kebal daripada prosiding undang-undang tetapi penubuhan Mahkamah Khas seperti 'precedence' kepada sentuhan kepada kekebalan itu.

Rakan saya Azam menghujah kepada saya bahawa Mahkamah Khas itu adalah untuk kes-kes peribadi Raja. Saya pula bertanya bagaimana hendak memisahkan yang peribadi dengan yang bukan peribadi seperti yang saya pernah alami di mahkamah dalam menanggung beban 'vicarious liability'? Adakah terdapat konsep 'mutlak' separuh-separuh? Ada pula yang menjawab 'apa salahnya'.

Seperti persetujuan rakan-rakan yangmelepak di Balai Seni Lukis Negara itu, kami sebutkan sekali lagi bahawa mengusik mana-mana tunggak yang telah dinyatakan bererti mengusik keseluruhan yang berkaitan dengan Melayu.

Wednesday, January 11, 2012

Memahami Keadilan Untuk Saiful

MOHD. Saiful Bukhari Azlan telah pun mengetahui keputusan aduan beliau kepada pemerintah mengenai pertuduhan jenayah yang beliau anggap telah diperlakukan terhadapnya oleh pihak tertuduh. Tertuduh telah didapati tidak bersalah daripada pertuduhan. Mahkamah telah memberi keadilan kepada beliau dan dengan itu beliau bersih.

Telefon dan emel saya hingga saat ini dipenuhi dengan gerak balas daripada kawan-kawan saya: daripada kedua-dua pihak - yang menyokong tertuduh menyatakan syukur dan yang tidak menyokong meluahkan rasa marah-marah mereka kepada saya.

Dalam hal Saiful, nampaknya banyak pihak termasuk Saiful walaupun reda tetapi merasa tidak memperolehi keadilan. Soalnya, benarkah perbicaraan selama tiga tahun itu bertujuan memberi keadilan kepada Saiful dan keadilan juga kepada tertuduh?

Saya berpendapat bahawa benar perbicaraan tiga tahun itu ialah untuk memberi keadilan kepada tertuduh tetapi salah jika dikatakan perbicaraan itu terus dikaitkan dengan memberi keadilan kepada Saiful.

Memberi keadilan kepada Saiful pada saya bukan di mahkamah jenayah. Dalam kes jenayah itu Saiful hanyalah seorang saksi, sama tarafnya seperti barang-barang bukti yang lain. Mahkamah hanya akan memutuskan menerima atau menolak barang bukti dan pernyataan saksi bagi memutuskan sama ada tertuduh melanggar undang-undang tertentu yang telah dibuat oleh negara.

Mahkamah jenayah ialah tempat membicarakan kes warganegara melawan negara (citizen against state) terhadap sesuatu pertuduhan yang dikenakan kepada seseorang tertuduh. Sebab itulah negara boleh menggunakan kewangan pembayar cukai untuk membiayai kos membuktikan negara lebih benar daripada yang dituduh.

Jika keputusan tidak memihak kepada terduduh dalam kes ini, mahkamah tidak akan mengatakan keputusan memihak kepada Saiful sebaliknya keputusan memihak kepada negara. Konsep inilah yang nampaknya kawan-kawan saya belum faham, dan saya percaya ramai lagi di luar sana yang tidak faham.

Dalam mahkamah jenayah biasanya tidak disebut "A melawan B" atau "A (tertuduh) melawan Negara" tetapi pernah juga istilah "people" digunakan bagi mewakili negara seperti kes jenayah O.J. Simpson, bekas pemain American Footbal terkenal di Amerika Syarikat (AS) yang disebut juga sebagai "People of the State of California v. Orenthal James Simpson".

Istilah ini menarik kerana jika digunakan di Malaysia, ia akan mengubah konsep 'tertuduh melawan kerajaan' kerana yang dilawan bukan kerajaan sebaliknya melawan rakyat negara itu yang mengizinkan (melalui prosedur undang-undang) wang cukai yang mereka bayar digunakan untuk melawan seseorang yang telah melanggar kepentingan atau peraturan negara.

Hal begini perlahan-lahan dapat mengubah persepsi bahawa sesuatu kes jenayah adalah perlawanan antara kerajaan dengan sesiapa juga yang dikenakan sesuatu pertuduhan. Dalam keadaan itu kerajaan akan dilihat sebagai tidak terlibat atau 'neutral'.

Dalam kes Simpson ini, dia telah dituduh membunuh bekas isterinya Nicole Brown Simpson dan kawannya Ronald Goldman. Perbicaraan ini dianggap di AS sebagai perbicaraan abad ke-20 yang diberi liputan secara meluas dan luar biasa oleh media elektronik dan cetak.

Perbicaraan mengambil masa sembilan bulan di hadapan hakim Lance Ito. Simpson mengambil pasukan peguam yang sangat berprofil tinggi di AS, yang diketuai oleh Johnnie Cochran. Ahli-ahlinya termasuk F. Lee Bailey, Robert Shapiro, Alan Dershowitz, Robert Kardashian, Gerald Uelmen (Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Santa Clara ) dan Carl E. Douglas.

Johnnie Cochran dan pasukannya telah berjaya mengusik fikiran juri bahawa ada keraguan teknikal dalam pengurusan sampel DNA yang diambil. Cochran menimbulkan bahawa saintis dan juruteknik makmal lalai dalam mengendalikan bukti sampel darah dengan mempersoalkan pelbagai keadaan berkaitan pengurusan bahan bukti itu.

Cochran juga menimbulkan isu salah laku Jabatan Polis Los Angeles terhadap Simpson bagi menimbulkan keraguan itu. Cochran mengupah pakar DNA yang sangat hebat, Barry Scheck dan Peter Neufeld untuk menolak dalil DNA pihak peguam cara.

Simpson akhirnya diputuskan tidak bersalah terhadap pertuduhan. Hal ini perlu dibaca, bahawa mahkamah bukan mengatakan Simpson tidak membunuh tetapi Simpson tidak bersalah daripada pertuduhan. Jelas sekali hal teknikal memainkan peranan amat penting di mahkamah jenayah.

Berbalik kepada Saiful, di manakah dia sepatutnya menuntut keadilan? Saya katakan bukan di mahkamah jenayah kerana jika tertuduh didapati bersalah, Saiful tidak akan mendapat apa-apa selain daripada rasa puas hati. Oleh itu tempat Saiful mendapat keadilan seharusnya di mahkamah sivil.

Di mahkamah sivil, Saiful bukan hanya berperanan sebagai saksi atas arahan negara tetapi akan berperanan sebagai pihak yang menuntut.

Mengambil pengajaran daripada kes O.J. Simpson, di dalam mahkamah jenayah dia telah didapati tidak bersalah meskipun pelbagai hujah yang dikemukakan seperti memberi petanda bahawa tertuduh memang telah melakukan pembunuhan.

Isu-isu teknikal sememangnya menjadi pertimbangan hakim di mahkamah kerana hal-hal teknikal akan menimbulkan keraguan. Hakim tidak mahu negara menzalimi seseorang individu dengan melalui pertuduhan yang meragukan.

Dalam hal inilah negara yang diwakili oleh Peguam Negara dapat menghakimi kecekapan jabatan itu bekerja. Jika banyak kes yang mahkamah melepaskan tertuduh, biasanya rakyat akan mempersoalkan kecekapan bekerja dan tahap ilmu Peguam Negara yang mewakili kepentingan mereka.

Sebaliknya, di mahkamah sivil beban pembuktian tidak memerlukan syarat melampaui keraguan munasabah sebaliknya bergantung kepada kemampuan dan kecekapan peguam Saiful (bukan Peguam Negara) menunjukkan kepada hakim bahawa Saiful lebih benar.

Sebagai perbandingan, keluarga mangsa bunuh O.J. Simpson telah berusaha mendapat keadilan di mahkamah sivil. Semasa perbicaraan, bahan-bahan bukti yang digunakan di mahkamah jenayah digunakan semula di dalam perbicaraan sivil itu.

Perbicaraan sivil (civil trial) telah memihak keluarga mangsa yang masih hidup. Mahkamah sivil telah membuat keputusan bahawa Simpson bertanggung jawab menyebabkan kematian Goldman dan Brown secara salah (istilah digunakan ialah wrongful death).

Mahkamah pula membuat keputusan keluarga mangsa mendapat AS33.5 juta sebagai ganti rugi dan hukuman menyebabkan kesakitan (compensatory and punitive damage).

Mungkin orang awam di Malaysia juga tidak tahu bahawa untuk mempertahankan diri terhadap sesuatu pertuduhan oleh negara memerlukan wang yang sangat banyak.

Kita percaya dalam kes yang Saiful menjadi saksi baru-baru ini tentu yang dituduh telah berbelanja sangat banyak bagi mempertahankan diri beliau. Sebagai rujukan kes O.J. Simpson bagi perbicaraan dalam tempoh sembilan bulan, dia dikatakan telah berbelanja kira-kira RM20 juta bagi membayar kos mahkamah, yuran peguam dan upah pakar DNA yang mampu mencabar pakar DNA yang disediakan oleh negara.

Bagi mempertahankan dirinya di mahkamah sivil Simpson telah membelanjakan kira-kira AS$1 juta sahaja.

Jika saya diminta oleh Saiful untuk menasihatinya apa yang patut dibuatnya selepas ini bagi memastikan dia mendapat keadilan, jawapan saya ialah Saiful mesti segera mula memfail tuntutannya di mahkamah sivil.

Kawan-kawan yang hantar mesej marah-marah kepada saya pula silalah mula hulurkan sumbangan kepada Saiful untuk membiayai kos mahkamah nanti.

Friday, January 6, 2012

Pendirian Orang Di Menara Ilmu


IBU saya, Maimunah tidak bersekolah tinggi tetapi dia pandai menulis dan membaca.

Dia dibawa lari oleh datuk saya meninggalkan kampung halaman kerana komunis memujuk supaya ibu saya diserahkan kepada mereka untuk dijadikan jurutulis.

Benarkah beliau akan menjadi jurutulis? Tiada siapa ketika itu yang mempercayainya.

Oleh kerana ibu saya lebih dahulu pandai membaca dan menulis dialah yang selalu menyampaikan pelbagai cerita Melayu kepada saya. Antara cerita Melayu yang saya ingat sampai sekarang adalah cerita 'Lembing Awang Pulang Ke Dayang', yang kemudiannya saya baca sendiri dengan teliti termasuk pengajarannya.

Pengajaran cerita itu seperti amat diperlukan sekarang untuk menyelamatkan umat yang tidak berdosa oleh keinginan elit politik melaksanakan sama ada idea mereka yang tulus atau idea yang tersembunyi di sebaliknya hajat dan cita-cita peribadi.

Diceritakan 99 orang menjadi mangsa kerana lembing Awang yang terasa dikhianati yang dilontar dari seorang ke seorang yang tertikam sehinggalah lembing itu menikam ayah Dayang yang serta-merta berhenti tidak melontarkannya lagi kepada orang lain. Ayah Dayang memutuskan untuk memberhentikan perbuatan yang menyebabkan ramai orang mati jika kerja merejam diteruskan.

Saya diberitahu ibu saya bahawa dalam setiap kemungkaran dan dendam orang yang berilmu akan sanggup mengorbankan dirinya untuk memastikan kemungkaran, dendam dan kezaliman tidak akan berlanjutan.

Dalam konteks sekarang siapakah sepatutnya menjadi orang yang berilmu itu yang sanggup mengorbankan dirinya demi kesejahteraan umat? Agama Islam mengajarkan bahawa orang yang baik ialah orang yang dapat mengawal dan menghapuskan nafsu amarahnya. Yang berupaya mengawal semua itu sewajarnya ialah orang berilmu.

Lawannya pula ialah mereka yang sangat cenderung membuat propagasi persengketaan, permusuhan dan kemusnahan. Dengan yang sedemikian, golongan itu hendaklah dilihat sebagai bukan ilmuwan yang patut diikuti atau dijadikan ketua.

Suasana panas di kampus-kampus pada masa ini dengan pelbagai latihan dan senaman menguatkan lengan dan penumbuk tidak sekali-kali menggambarkan kesucian menara ilmu. Kesediaan golongan menara ilmu untuk turun ke jalan-raya mencuba kekerasan lengan dan otot dengan strategi diatur oleh segolongan guru dan pentadbir menara ilmu yang sembunyi tangan selepas membaling, tidak sekali-kali mewakili tradisi menara ilmu, sebaliknya mewarisi tradisi kolesium perlawanan haiwan dengan haiwan, haiwan dengan manusia dan manusia melawan manusia untuk tontonan.

Mereka ialah wakil golongan barbarik yang membenarkan diri mereka dipersenda dan diketawakan oleh golongan elit politik yang sadis.

Orang yang cintakan ilmu tentu pernah membaca bagaimana Socrates yang mempunyai beberapa pilihan seperti lari meninggalkan negaranya, bangun melawan atau sedia meminum racun yang dipaksakan demi mempertahan kepercayaan ilmu yang dipegangnya.

Socrates berkata, jika dia lari atau bersuaka di tempat lain, dia menganggap dirinya sebagai manusia yang takutkan mati dan dengan itu dia bukanlah seorang ahli falsafah yang tulen. Jika dia lari bersuaka di tempat lain dia yakin jika dia terus berpegang kepada yang benar dan dipercayainya dia akan terus menyoal di tempat dia bersuaka itu dan persimpangan yang sedang dihadapinya akan tetap berulang, kecualilah jika dia sanggup menipu dirinya dan orang lain.

Sebaliknya Socrates berkata, jika dia sanggup tinggal di bumi yang dipijaknya ketika itu dia hendaklah setia dengan undang-undang bumi itu, meskipun dia mungkin tidak setuju dengannya, dan dengan sebab itu dia disakiti.

Katanya, itulah 'kontrak sosial' antara dirinya, ideanya dan negara. Mencederakan negara kerana idealismenya walau dia merasakannya benar tidak boleh sama sekali dilakukan orang yang berpegang kepada kepercayaan tentang adanya kontrak negara bangsa. Akhirnya, Socrates diminumkan racun yang meragut nyawanya demi idealisme dan demi negara bangsanya.

Di manakah pendirian masyarakat menara ilmu? Ke manakah perginya guru-guru besar yang berilmu di universiti sehingga mereka memejamkan mata membiarkan calon-calon 'Aristotle' dan 'Plato' ditarik oleh elit-elit politik untuk keluar ke jalan-raya dijadikan boneka dan bahan mainan di medan kolesium yang berpaksikan kekuatan lengan dan betis dan bukan berpaksikan kekuatan otak dan fikiran?

Tidakkah tradisi menara ilmu yang sebegini yang wajar dipertahankan sebelum para guru besar universiti menuntut pelbagai jenama baru di bawah payung induk 'kebebasan akademik'.

Wajarkah guru-guru besar di universiti yang mengaku berilmu membiarkan melihat sahaja dan menunggu kesudahan kemelut yang menjulingkan kebenaran tradisi kebebasan akademik itu?

Tidakkah orang universiti ingat bahawa permulaan kepada apa yang dikatakan kebangkitan emansipasi orang muda di kampus pada tahun 50an dan 60an bukan tulen berasal daripada tradisi ilmu sebaliknya tradisi hippi yang tidak langsung berkaitan dengan keunggulan ilmu.

Adakah Socrates seorang yang pengecut berperang? Tidak sama sekali, sebaliknya Socrates pernah menjalani khidmat negara sebagai tentera Athenian di dalam perang Potidaea, Amphipolis dan Delium.

Namun sekali dia telah memilih kakinya memijak dunia ilmu, semangat perwiranya tidak lagi disalurkan melalui kekuatan lengan dan otot. Keberanian dan ketabahan Socrates menerima hukuman meminum racun menyebabkan baton tradisi ilmu itu disambut dengan lancar dan jelas oleh Plato, Aristotle dan Xenophone dan Aristophanes.

Tidak ada kekeliruan perbezaan otot lengan dengan kekuatan fikiran dan otak dalam tradisi ilmu dan falsafah. Demikian juga dengan tafsiran kontrak sosial kenegaraan yang begitu jelas kepada orang berilmu seperti Socrates yang sepatutnya menjadi asas tafsiran buku demokrasi bukan tafsiran demokrasi jalanan yang menghunus kekuatan dan keagungan kuasa buku lima.

Dalam tradisi alam Melayu, tradisi ilmu Hamzah Fansuri yang tidak diterima oleh penguasa semasa tidak mendorong ilmuwan seperti Hamzah Fansuri mengangkat lengan, apa lagi mendorong pengikutnya seperti Syamsudin Al-Sumatrani membawa rakan-rakannya ke jalan-raya untuk mempropagasikan idea penentangan Hamzah Fansuri.

Hamzah Fansuri berpesan : Silan itu ombaknya kisah, banyaklah akan ke sana berpindah, topan dan ribut terlalu 'azamah, perbetuli pedoman jangan berubah. Amat penting supaya orang di menara ilmu mempunyai pedoman yang jelas tentang pendirian orang berilmu dan sentiasa kuat berpegang kepada disiplin dan tradisi itu supaya tidak nanti universiti bertukar daripada konsep stadium ilmu kepada sebuah kolesium.

Orang di menara ilmu dibayangkan berbeza melihat sesuatu berbanding orang jalanan seperti pesanan Hamzah Fansuri lagi: Hai sekalian kita yang kurang, nafsumu itu lawan berperang, jangan hendak lebih baiklah kurang, janganlah sama dengan orang. Bolehkah orang universiti menjadi Socrates atau sekurang-kurangnya ayah Dayang yang tidak terus merejam lembingnya?