Tuesday, July 19, 2011

Proses Pencarian Calon di Malaysia (Utusan 11/5/11)


Proses pencarian calon di Malaysia

PERDANA Menteri baru-baru ini menegur budaya surat layang di universiti yang dianggapnya tidak sihat. Surat-surat layang lebih rancak setiap kali tempoh kontrak seseorang Naib Canselor berada pada penghujung dan pencarian calon-calon baru dimulakan.

Saya juga didorong oleh pesanan ringkas rakan saya, Zainudin, supaya saya mengikuti debat meluas di Singapura tentang bagaimana calon ahli Parlimen dipilih menjelang pilihan raya mereka pada 7 Mei lalu. Tidak mengapalah tentang cara demokrasi Singapura dan keputusan pilihan raya yang telah pun diketahui.

Kebetulan pula Malaysia juga sedang di ambang mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) yang tarikhnya hanya diketahui oleh Perdana Menteri, yang dengan itu setiap parti politik di Malaysia tentu sedang giat membuat saringan tentang calon-calon yang akan diketengahkan.

Dalam konteks universiti, selepas tahun 1996, kuasa melantik Naib Canselor telah dipindahkan daripada Yang di-Pertuan Agong kepada Menteri Pelajaran dan sekarang Menteri Pengajian Tinggi. Demikian keadaannya, mengapakah isu surat layang yang berkaitan perlantikan jawatan utama di pengajian tinggi sampai mendapat perhatian Perdana Menteri?

Mengapa pula rakyat Singapura juga tampil mempersoalkan calon, terutamanya kes Tin Pei Ling, calon wanita muda PAP yang baru berumur 27 tahun?

Mengapa pula ada ahli parti, terutamanya Barisan Nasional (BN) akan sanggup melobi dan menunggu di laman rumah Perdana Menteri sehingga jam satu (saya pernah temui sendiri), pada malam terakhir sebelum penamaan calon keesokan harinya?

Demikian juga tidak mustahil ada calon Naib Canselor yang sama ada pergi sendiri atau memasang orang untuk melobi di pejabat menteri bahkan hingga ke Perdana Menteri. Mengapa ini semua terjadi?

Pada hal, di universiti masing-masing dikatakan telah ada jawatankuasa pencari calon (JKPC) atau search committee yang sewajarnya telah bekerja secara proaktif mengumpul maklumat untuk tempoh yang mencukupi, bukan bekerja seperti mahasiswa lemah yang selalu dimarahi kerana tidak tidur malam hingga ke pagi menyiapkan tugasannya. Mengapa?

Jawapannya kerana bekerja secara kata pepatah 'sudah dekat nak… baru korek lubang'.

Meskipun, sama ada parti di Malaysia, di Singapura atau dalam dunia pengajian tinggi di Malaysia, masing-masing ada JKPC, namun cara kerja masing-masing berbeza-beza.

Saya membaca bagaimana jawatankuasa pencari calon PAP bekerja. Dikatakan dalam tempoh empat tahun, jawatankuasa pencari mengadakan lebih 200 sesi minum teh (mungkin teh tarik) di dalam dan di luar Singapura. Melalui sesi itu sebanyak 260 individu dikenal pasti sebagai berpotensi. Daripada 260 calon itu, yang disenarai pendek tinggal separuh.

Mereka yang disenarai pendek itu akan menghadiri dua lagi sesi yang ketika itu mereka akan ditubi dengan pelbagai soalan untuk memperkayakan maklumat.

Calon-calon yang melepasi sesi itu pula akan melalui sesi membina profil psikologi secara intensif (mungkin menyamai profiling 360 darjah yang saya pernah ikuti semasa belajar sekejap di Universiti Harvard dahulu).

Saya percaya jika profiling 360 darjah digunakan, beberapa sesi pentafsiran skor calon akan dilakukan secara satu lawan satu dengan pentafsir dan diikuti oleh beberapa sesi kaunseling untuk melihat kepastian profil itu.

Calon yang melepasi pula akan dinilai sepanjang empat tahun lagi sambil mendapatkan kepastian daripada personaliti perujuk. Mereka kemudiannya dilepaskan ke lapangan untuk membuat kerja-kerja akar-umbi dan maklum balas daripada calon dan daripada aktivis PAP dikumpul selama tempoh empat tahun itu.

Calon-calon diajar, dipantau dan dinilai bagaimana melaksanakan khidmat komuniti dan bagaimana menjawab soalan-soalan dan cara penampilan dalam media termasuk TV.

Di Malaysia, terutamanya parti-parti bukan BN seperti tidak memilih calon secara bersistem. Sehingga selepas pilihan raya ada pemimpin yang mengakui mereka tidak memilih calon dengan tepat. Kerap kedengaran 'rumah sudah siap tapi pahat masih berbunyi'.

BN juga tidak kelihatan melaksanakan proses tapisan seperti PAP Singapura. Seperti saya katakan di awal tulisan ini, ada calon yang sampai ke saat akhir masih lagi berharap dia terpilih.

Hal ini tidak berlaku dalam PAP kerana semua calon telah tahu mereka akan dicalonkan dan telah melalui pelbagai latihan untuk berjaya sebagai calon dan berjaya pula sebagai ahli parlimen nanti.

Dalam hal pencarian calon, pada tahun 1979, saya pernah membuat praktikum bagi memenuhi keperluan mendapat ijazah sarjana di sebuah universiti di Amerika Syarikat. Salah satu projek yang saya perlu ikuti dan lapor ialah proses kerja JKPC pengganti Presiden Universiti yang akan tamat tempoh perkhidmatannya setahun kemudian.

Dengan pertolongan Charles Stroup, iaitu pengarah di tempat saya membuat praktikum itu, saya telah dapat akses kepada semua sesi dalam proses pemilihan itu. Proses kerja JKPC sangat komprehensif dan terperinci.

Calon-calon bukan sahaja dinilai dari segi profil pencapaian-pencapaiannya sehingga dia layak memohon tetapi melalui proses yang panjang. Calon hendaklah berhadapan dengan komuniti pelajar, ahli akademik dan pentadbir universiti tersebut yang salah satu daripadanya ialah sesi berdialog dengan tiga komuniti penting itu secara berasingan sambil diperhatikan oleh semua ahli jawatankuasa pemilih yang duduk di belakang dewan.

Calon hendaklah menyampaikan apa yang dia akan lakukan untuk universiti itu jika dia terpilih dan prestasi mereka menghadapi komuniti utama universiti itu diberi nilai. Hanya setelah semua proses itu dilalui oleh calon, baharu calon dipanggil menghadapi kesemua ahli panel penilai.

Ahli panel akan memberi maklum balas kepada calon dan calon pula akan menjawab rasional kepada pilihan tindakan mereka. Yang terpilih akan diberitahu dan mempunyai masa menunggu setahun mempelajari tugas baru itu sebelum Presiden Universiti yang ada tamat tempoh perkhidmatannya.

Di Malaysia, saya pernah menjadi ahli panel pemilih dan menjadi calon yang dinilai oleh panel JKPC. Prosesnya tidak seperti yang pernah saya perhati dan sertai di universiti AS. Di sini, calon dinilai daripada profil yang dihantarnya dan mereka yang tersaring terus duduk menghadapi panel dalam satu sesi sahaja.

Panel akan mengesyorkan nama kepada pihak berkuasa melantik. Nama yang disyor pula hendaklah lebih daripada satu nama dan tidak mustahil pula nama yang terlantik nanti bukan daripada nama yang disyorkan oleh Panel Jawatankuasa Pemilih.

Begitu pun, ada calon yang hanya tahu nasib mereka pada saat akhir tempoh penjawat terdahulu berbanding di AS yang tahu setahun sebelum tarikhnya mengambil alih.

Contoh cara PAP memilih calon dan pengalaman saya tentang cara kerja JKPC menyebabkan saya berfikir bahawa mungkin cara Malaysia lebih praktikal, cepat dan tidak renyah seperti cara PAP dan universiti di AS (tempat asal idea dan kaedah JKPC dimulakan) sehingga cara itulah nampaknya yang diamalkan setakat ini.

Walaupun ada seorang berdua daripada JKPC yang pernah terjumpa cara kerja di negara yang saya jadikan contoh tadi tetapi mungkin berpendapat kita tidak perlu meniru kerana kita ingin memajukan negara dan institusi dengan 'acuan kita sendiri' atau surat-surat layang itu sendiri adalah kaedah yang konstruktif bagi mendapat maklum balas tentang calon seperti cerita penyiasatan Agatha Christie dan P. Ramlee yang mengambil kira kepentingan 'mesyuarat tingkap'.

No comments:

Post a Comment