Tuesday, July 19, 2011

11 tahun dalam Milenium 21 (Utusan 31/5/11)

11 tahun dalam milenium 21

DUA perkara besar terjadi kepada saya minggu lepas. Pada hari Jumaat, 27 Mei saya diminta menyampaikan Syarahan Malim di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan hari berikutnya Sabtu, saya menjadi ahli panel forum mengenai Cabaran Ekonomi, suatu program yang ‘host‘nya Ketua Menteri Melaka. Dalam Syarahan Malim, saya menyampaikan syarahan bertajuk ‘Idea Mengenai Universiti’.

Walaupun dua majlis itu membincangkan hal yang berbeza, satu mengenai pengajian tinggi dan yang satu lagi mengenai ekonomi, namun saya mengemukakan satu perkara yang agak sama iaitu mengupayakan rakyat Malaysia menjadi peneroka dunia secara bersama, bukan bersendirian.

Semasa saya menyampaikan syarahan selama hampir dua jam di UPSI saya mengemukakan gagasan supaya orang universiti tidak ‘membonceng’ di belakang kenderaan kerajaan atau ‘menteri’ sebaliknya berdikari dalam mengharungi cabaran antarabangsa. Jika ada ‘tips’ daripada kerajaan untuk tujuan itu maka itu hendaklah dianggap sebagai suatu bonus sahaja, jika tiada, lautan luas itu hendaklah diharungi jua.

Saya mengajak orang universiti supaya berdaya usaha sendiri, selain daripada tidak mengetepikan kepentingan kerja sains menyelidik, cergas dalam pentas organisasi universiti dunia dengan bermula di ASEAN.

Saya merujuk bagaimana Eropah, yang diakui lebih maju daripada ASEAN, melihat cabaran mengembalikan keagungan tradisi pengajian tinggi mereka tidak boleh dilakukan bersendirian. Mereka berpendapat jika sebuah negara keluar bersendirian, mereka tidak mampu melawan cabaran besar di hadapan, apa lagi membiarkan setiap universiti dari sebuah negara keluar bersaing berseorangan. Lalu, pemimpin-pemimpin universiti di Eropah mendayausahakan penyatuan melalui suatu sistem kerjasama yang mereka namakan Proses Bologna.

Mereka dayausahakan hal itu tanpa merintih, merayu atau menyalahkan ketua-ketua politik atas himpitan yang mereka hadapi sebaliknya mencari penyelesaian sendiri, sambil menjadikan ketua-ketua politik sebagai rakan. Apabila gagasan Proses Bologna menjadi besar, ketua-ketua politik sendiri yang tertarik dengan usaha itu lalu memberi sokongan pada peringkat mereka melalui Triti Lisbon pula.

Eropah yang sehingga sekarang belum benar-benar bersatu dari segi politik telah bersatu dari segi pengajian tinggi dengan mengatur pelbagai cara bagi menjadikan Eropah hanya ada satu sistem pengajian tinggi. Perhatikan inisiatif ini bukan oleh Menteri-Menteri EU tetapi oleh orang universiti sendiri di sana.

Jika Turki sehingga kini masih tidak diterima menjadi anggota EU walaupun telah memohon dan masih kempunan menjadi ahli semenjak tahun 1990-an lagi, dalam Proses Bologna, Turki telah pun diterima semenjak tahun 2001 lagi. Ini menunjukkan keazaman orang akademik di Eropah telah mendahului keazaman politik sekurang-kurangnya dalam konteks meminggirkan prasangka agama terhadap negara Turki.

Ketua-ketua politik di Eropah pula menyambut syor-syor Proses Bologna lalu melalui Triti Lisbon bersetuju meminda undang-undang negara masing-masing bagi memberi laluan kepada syor-syor itu yang meliputi penyatuan pengenalan gelaran akademik, penyatuan pemeringkatan tahap pengajian tinggi, sistem pengiraan kredit, pertukaran pengiktirafan kelayakan dan kelulusan antara negara penandatangan Proses Bologna dan pelbagai lagi.

Bukan mudah tetapi mereka mempunyai keazaman. Mungkin tidak terfikir sebelumnya bagaimana negara semaju Jerman dan sekuat Perancis sanggup meminda undang-undang mengenai pengajian tinggi mereka untuk disesuaikan dengan syor Proses Bologna, suatu tindakan yang dilihat mengalah kepada negara-negara penandatangan yang jauh lebih lemah dan terkebelakang daripada mereka. Namun, mereka melihat jauh ke hadapan tentang suatu sistem yang kuat dan tahan cabaran.

Cerita Proses Bologna dan Triti Lisbon saya ketengahkan dalam Syarahan Malim itu dengan tujuan mengajak setiap universiti di Malaysia berhenti bersaing sesama sendiri sebaliknya keluar dengan satu suara dan badan dan seterusnya bergabung dengan semua universiti dari negara lain di ASEAN dan mewujudkan gagasan Wilayah Pengajian Tinggi ASEAN setaraf dengan pengisytiharan European Area of Higher Education di Eropah.

Malaysia berseorangan tidak akan banyak bezanya dengan Portugal atau Holland di Eropah untuk mampu bersaing bersendirian sebagai sebuah negara melawan gelombang perubahan teknologi dan strategi luar biasa daripada pesaing gergasi seperti Amerika Syarikat atau China yang mempunyai kekuatan jumlah.

Demikian juga apabila saya bercakap mengenai ekonomi Malaysia di Melaka itu, selain daripada data-data ekonomi yang dibentangkan oleh Senator Akbar, rakan saya yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan di Putrajaya, saya juga mengetengahkan beberapa perangkaan ekonomi Malaysia yang seperti tidak dapat membolehkan Malaysia secara bersendirian mengetuai arus ekonomi baru global.

Namun, jika rakyat Malaysia mengupayakan diri sendiri menjadi pemimpin gerakan ekonomi bersama ASEAN, bukan atas inisiatif ketua-ketua politik, mungkin upaya ini juga boleh mendahului keazaman politik. Belajar daripada pengalaman bagaimana gagasan ekonomi yang dibawa oleh ketua politik di Malaysia pernah digagalkan oleh ketua politik dari Indonesia, lebih-lebih lagi Singapura mungkin berguna.

Kecurigaan politik biasanya lebih besar sukatannya daripada kecurigaan ekonomi dalam konteks persempadanan negara. Sempadan ekonomi lebih cair berbanding kecairan sempadan politik.

Dari segi usia, ASEAN kira-kira seumur dengan usia EU, namun pelbagai perkembangan di EU nampaknya kelihatan lebih ke hadapan berbanding ASEAN. Jika di Eropah usaha penyatuan selalu digagalkan oleh lemahnya keazaman politik, lalu ketua-ketua yang bukan politik cergas mengambil alih beberapa peranan yang sukar dilaksanakan oleh ketua politik dan natijahnya perkembangan di Eropah sangat memberangsangkan.

Tentu hal liatnya Britain untuk menerima dan menjadi sebahagian daripada sistem mata wang Euro sesuatu yang nyata, namun ada upaya-upaya lain yang digerakkan bagi saling melengkapkan upaya politik demi kesejahteraan komuniti Eropah.

Belajar daripada Jerman dan Perancis, adakah mungkin Singapura, Malaysia malah Indonesia dan Thailand beralah memberi laluan bagi memenuhi keperluan dan kepentingan negara miskin seperti Myanmar dan melayannya sebagai setaraf dalam konteks pengajian tinggi dan ekonomi? Bersediakah orang pengajian tinggi di ASEAN menerima satu sistem yang sama dan dalam hal ekonomi pula menggunakan satu mata wang sahaja? Pemikiran jangka pendek tentu menjawab ‘tidak’ tetapi pemikiran yang melawan ‘strategi lautan merah berdarah’ akan menjawab ‘ya semestinya’, demi ketahanan berterusan dan berjangka panjang.

Pepatah lama selalu diulang-ulang bahawa sebilah lidi yang mudah dipatah tidak akan semudah itu untuk mematahkannya jika lidi itu dikumpul dalam satu ikatan, namun budaya, tradisi dan sentimen terhadap apa yang sudah ada sering kali memadamkan nilai dan upaya baru walaupun yang lama itu kelihatan lebih rendah martabatnya.

Dalam kedua-dua sesi penting yang saya sertai minggu lepas, saya tutup dengan ingatan ‘budaya dan adat selalu menjadikan strategi hebat untuk makanan sarapan paginya’. Sudah sebelas tahun pengajian tinggi dan ekonomi Malaysia mengharungi milenium 21. Ke manakah selanjutnya dan di tangan siapakah?

No comments:

Post a Comment