Tuesday, July 19, 2011

Bersaing Inovasikan Pentadbiran Awam? (Utusan 6/6/11)

Bersaing inovasikan pentadbiran awam?

MENONTON Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan (KSN) di televisyen dalam majlis anugerah inovasi pentadbiran awam yang begitu meriah dan gilang-gemilang menjadikan saya nostalgik.

Jiwa saya terusik kerana semasa menerajui UUM, universiti itu menerima anugerah perdana inovasi yang disampaikan oleh KSN kepada saya dalam satu majlis di Kota Bharu. Demikian juga apabila UUM mendapat tempat ke-2 di belakang

Kementerian Pengajian Tinggi dari segi kesempurnaan laman web institusi, saya dan rakan-rakan saya di UUM gembira meraikannya.

Namun, jauh di sudut hati, saya sentiasa termenung menyoal mengapa saya suka menang? Adakah saya secara peribadi mempunyai kompleks Odipus yang selalu ingin mengalahkan sesiapa sahaja demi desakan naluri saya, tanpa saya memikir sama ada itu baik untuk tempoh masa hidup saya yang panjang?

Kerap saya mengasihani kawan-kawan dan diri sendiri apabila merenung betapa lebarnya senyuman kami semasa mendapat kemenangan seperti ranking universiti tinggi, kedudukan bintang-bintang setara tinggi dan menyombongkan institusi, lalu serta-merta menaikkan papan tanda gergasi di gerbang masuk universiti. Tetapi, apabila yang ranking buruk diperoleh tepukan pun bernada pucat. Bolehkah inovasi terhasil dalam suasana kompetitif atau dia lebih subur dalam suasana kolaboratif? Inilah isu yang saya ingin utarakan.

Benar inovasi boleh muncul dalam keadaan tertekan contohnya orang Malaya menjadi pandai membuat capal dan pandai membuat benang daripada rerambut nanas untuk menjahit pakaian semasa Malaya dizalimi Jepun, tetapi budaya inovasi sedemikian muncul hanya setakat peringkat asas. Maslow kata setakat ingin hidup. Memberi tekanan sehingga menimbulkan ketakutan hanya menghasilkan budaya inovasi cukup sekadar untuk hidup. Demikianlah apabila saya berjumpa dengan rakan-rakan yang kini Ketua-Ketua Jabatan yang selalu menjawab 'asalkan boleh hidup' kerana kata mereka 'nasib kami seperti telur di hujung tanduk'.

Namun demikian ramai juga yang lega sekarang kerana kata mereka Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam kini kelihatan lebih terbuka, santai dan sedia mendengar. Ini penting kerana budaya inovasi memerlukan suasana yang sangat nyaman, santai dan tidak didesak oleh faktor luaran seperti faktor masa, arahan atasan, saingan luar dan sebagainya. Pemain golf kata, 'play your own game' mengikut 'rule' yang sudah diterima.

Mendesakkan persaingan sesama sendiri bukan jawapan kepada desakan perubahan. Tambahan pula kerja mendesak itu merupakan kerja yang terlalu mudah dan tidak memerlukan pemikiran kreatif dan inovatif. Seorang ketua yang kerjanya mendesak semata-mata tidak melambangkan yang dia sendiri inovatif. Seorang ketua yang inovatif ialah ketua yang mendesakkan idea bukan mendesak hasil, berani melontar idea spontan untuk didebatkan, tidak merasa malu dan serik jika idea itu ditewaskan oleh idea yang lebih besar yang datang dari bawah, tahan lasak dan tidak terlalu risau dengan saingannya.

Sambungan tulisan-tulisan lalu, saya sering menginginkan suasana kolaboratif dalam konteks yang lebih besar dan lebih boleh bertahan lama. Jika bank-bank di Malaysia juga telah melakukan gabungan dan tidak lama lagi sebuah lagi bank besar akan bergabung dengan pembida besar sama ada CIMB atau Malayan Banking, jentera perkhidmatan awam juga boleh mula berura-ura melakukan yang sama. Cadangan mengguna sama pusat-pusat latihan yang dicadangkan itu bolehlah dijadikan permulaan, meskipun dia tidak memadai.

Konteks yang lebih besar yang saya maksudkan termasuk menggabungkan beberapa jabatan, bukan setakat menggunakan kriteria adanya peranan bertindih, tetapi memasukkan juga peranan yang berdekatan.

Bagaimana kalau di Malaysia hanya ada empat Kementerian dengan empat menteri sahaja iaitu (i) Kementerian Kewangan dan Ekonomi, (ii) Kementerian Pembangunan Sosial dan Pendidikan, (iii) Kementerian Pertahanan dan Keselamatan dan, (iv) Kementerian Hal Ehwal Luar Negara.

Belanjawan atau bajet negara nanti akan jelas mengikut tunggak ekonomi, sosial, keselamatan dan Malaysia global. Kementerian lain sedia ada bolehlah diserapkan kepada empat kementerian tersebut dan Jabatan Perdana Menteri hendaklah tidak terlalu rencam dan besar.

Di bawah sesuatu kementerian bolehlah dilantik seberapa banyak Timbalan Menteri yang bersesuaian dengan portfolio yang diperlukan atau atas pertimbangan lain mengikut kebijaksanaan Perdana Menteri. Isu pertimbangan perwakilan kaum hendaklah tidak ada sama sekali dalam pelantikan Menteri tetapi bolehlah diambil kira pada peringkat timbalan menteri.

Semua jenis perkhidmatan awam (diingatkan ini tidak termasuk angkatan tentera) disatukan di bawah satu label dan satu komander iaitu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam. Pemikiran berkotak atau 'silo' hendaklah dihapuskan sama sekali. Jabatan-jabatan kerajaan yang begitu banyak ketika ini hendaklah digabungkan dan budaya baru hendaklah dicipta.

Beranikah, sebagai contoh, pemimpin perkhidmatan awam Malaysia mengemukakan cadangan supaya Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan Unit Perancang Ekonomi digabungkan menjadi satu jabatan sahaja dengan nama yang baru dan peranan-peranan yang baru? Bolehkah MAMPU diserap sahaja di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam?

Bolehkah beberapa badan berkanun digabung dan diberi peranan baru melalui sinergi yang muncul nanti dan beberapa peranan yang tidak berkesan dilupuskan?

Bolehkah hanya ada empat universiti awam sahaja di Malaysia yang dipanggil Sistem Universiti yang mengandungi Sistem UiTM; Sistem Universiti Negara atau 'National University' menggabungkan Universiti UM, UKM, USM, UPM, UTM, UIA; Sistem Universiti Negeri (State Universiti) dengan menggabungkan UUM, UNIMAS, UMS, UNIMAP, UTEM, UMAP, UMT, Unisza, UMK dengan masing-masing hanya mempunyai seorang Naib Canselor, satu sistem pentadbiran, satu sistem kewangan dan satu Lembaga Pengarah?

Semua cadangan di atas adalah untuk mewujudkan suatu budaya baru yang tidak ghairah bersaing sesama sendiri. Suatu budaya koperatif dan kolaboratif diwujudkan atas andaian suasana itu diperlukan untuk merealisasikan budaya inovatif di dalam perkhidmatan awam. Benar, memang sudah ada usaha kolaboratif antara jabatan tetapi terasa ia hanya cebisan-cebisan dan tidak cukup radikal membawa perubahan.

Jika hal-hal yang kelihatan tidak mempunyai impak terlalu besar kepada rakyat, kerajaan boleh menubuhkan atau didesak menubuhkan Suruhanjaya Diraja. Tidaklah keterlaluan rasanya jika saya mencadangkan sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk mengkaji dan mengemukakan syor bagi menyusun dan menggabung perkhidmatan awam di Malaysia yang impaknya tentu sangat besar kepada negara seluruhnya.

Jika suatu ketika dahulu negara pernah menubuhkan badan mengkaji dan melapor yang diketuai oleh penjawat awam sendiri yang menghasilkan Laporan Sufian dan Laporan Harun mengenai gaji misalnya, adakah saya terlalu salah untuk mengesyorkan nostalgia itu dikembalikan dengan menubuhkan Suruhanjaya Diraja Abu Bakar, bagi mengkaji keseluruhan susun atur perkhidmatan awam Malaysia?

No comments:

Post a Comment