Tuesday, July 19, 2011

Apa alat ukur keharmonian kaum? (Utusan 26/4/11)

Apa alat ukur keharmonian kaum?

DUA perkara mendorong saya membaca semula buku The Malay Dilemma yang ditulis oleh Dr. Mahathir Mohamad dan diterbitkan pada 1970 selepas 13 Mei 1969. Pertama ialah keputusan Pilihan Raya Sarawak yang mengketarakan pola undi berdasarkan kaum dan kedua reaksi rakan-rakan kepada hantaran saya di dalam Facebook (FB) saya Nordin Kardi, bertajuk 'Afik Cerita Pendek'.

Keputusan Pilihan Raya Sarawak merujuk kepada persoalan Dr. Mahathir lewat bukunya itu yang mempersoalkan adakah harmoni dalam masyarakat Malaysia 'deep-rooted' sementara rujukan Afik Cerita Pendek saya berkaitan dengan tangisan Pinky Chin di FB dengan saya yang pernah ada hubungan guru-rakan-murid.

Dalam reaksinya, Pinky tidak malu-malu menulis pada dinding FB saya mengatakan dia menangis yang kerana itu juga - tanpa dia melihat, air mata saya juga jatuh membasahi pada papan kekunci komputer saya.

Saya seorang guru Melayu yang sekarang di UPSI dan Pinky Chin adalah seorang mahasiswi Cina di Universiti Utara malaysia (UUM) yang saya pernah mengajar subjek etika.

Adakah pemikiran Dr. Mahathir tentang harmoni antara kaum yang dikatakannya tidak 'deep-rooted' telah disanggah oleh tangisan Pinky dan saya, yang mewakili kaum yang berbeza? Atau tangisan kami hanyalah peristiwa terpencil?

Keputusan Pilihan Raya Sarawak memberikan statistik yang besar untuk ditafsir dalam konteks harmoni, sedangkan peristiwa saya dan Pinky mewakili statistik yang sangat kecil.

Dalam konteks debat ilmiah di universiti, hal ini membawa kepada dua aliran kaedah mencari kebenaran: aliran kuantitatif melawan aliran kualitatif. Ada penyelidik universiti dalam bidang sastera dan kemanusiaan yang tergoda dengan aliran sains tulen tiba-tiba hampir menolak kaedah kualitatif yang dikatakan tidak saintifik.

Keharmonian hubungan kaum di Malaysia dianalisis menggunakan aliran kuantitatif, sedangkan kebanyakan penyelidik bukan berasal dari dunia sains tulen yang sama, maka terhasillah dapatan-dapatan berpandukan kajian-kajian eksplorasi, survei dan sebagainya yang dapat melihat isu ini secara nipis dan permukaan.

Pelbagai syor dibuat berdasarkan maklumat-maklumat saintifik yang menguji isu-isu nipis di permukaan. Soal selidik dibuat berdasarkan keterbatasan pemikiran penyelidik dan responden diminta menjawabnya berdasarkan skala tertentu yang juga mengikut kaca mata pembuat alat penyelidikan itu.

Data dianalisis menggunakan analisis perbezaan atau analisis hubungan atau korelasi. Hasilnya dianggap benar dan tepat lalu syor pun dikemukakan. Si penyelidik dapat mengumpul mata keberhasilan tertentu sedangkan syor dilaksana atau tidak dilaksana tidaklah penting lagi.

Tangisan Pinky dan saya yang mungkin dianggap peristiwa terpencil, yang tidak mewakili gambaran keseluruhan tentang keharmonian sedangkan penyelidik kualitatif boleh melihatnya sebagai suatu kajian kes satu unit. Oleh sebab dia adalah kajian kes satu unit maka kerja melihat kes itu memerlukan ketelitian, kedalaman dan menyeluruh.

Kaedah kualitatif untuk memahami keharmonian akan mencari apa yang hendak diceritakan oleh yang dikaji sedangkan kaedah kuantitatif selalu melihat alat selidik yang telah tersedia dan menyukat reaksi responden mengikut yang dikehendaki oleh alat tersebut.

Mengenai dua sekolah pemikiran tentang pencarian kebenaran ini; kuantitatif dan kualitatif, Umar Junus di dalam Dewan Budaya (2007) pernah menyebut "saya tidak percaya secara membuta data statistik yang ditonjolkan. Bagi saya apa yang tidak diceritakan lebih menentukan daripada apa yang diceritakan."

Aliran kualitatif bukan sahaja mencari jawapan daripada reaksi lisan bahkan juga yang bukan lisan, isyarat, simbol, suasana, angin, air, kelaparan, keraguan dan apa saja yang berkaitan dengan lingkungan aktivis unit kajian itu.

Bagaimanakah aliran kuantitatif dapat menjawab misalnya persoalan yang ditimbulkan oleh Dr. Mahathir pada 1970 itu? Dalam buku Dilema Melayu, ada disebutkan yang Cina telah berada di Tanah Melayu sebelum negara ini dijajah. Cina dan bukan Melayu yang lain bukan sahaja menguasai bahasa Melayu, mereka juga menguasai cara hidup Melayu.

Dr. Mahathir bahkan pada tahun 1970, mengakui di Malaysia tiada konflik ras di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah. Pola ini juga mungkin boleh disamakan di Sabah dan Sarawak.

Namun demikian kenyataan ini mungkin tidak boleh dipertahankan lagi hasil daripada kemasukan pemikiran dan penghijrahan fizikal dari daerah atau negeri lain ke negeri-negeri yang disebutkan telah mengubah keadaan itu kepada keadaan yang baru.

Menjadi tamu kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak bagi mengisi beberapa program mereka di Kuching, Sibu dan Miri yang kebetulan sama dengan tempoh pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini memberi kesempatan kepada saya memerhati perkara-perkara asing yang mula meresap ke Sarawak.

Isu agama, kaum dan etnik yang tidak begitu menjadi masalah kepada masyarakat Sarawak sebelum ini telah dijadikan isu yang mendapat liputan meluas atas nama 'angin perubahan'. Apakah hal sebegini baik atau buruk untuk Sarawak, Sabah, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidaklah dapat dipastikan sekarang.

Soalnya, eksploitasi akan berterusan dan pasti melalui mobil, kertas dan kemudahan internet yang boleh sampai ke Ba'Kelalan akan merubah landskap keharmonian kaum dan ras selepas ini.

Apa yang benar pada tahun 1970 mungkin sudah menjadi perkara semalam dan tidak benar lagi pada tahun 2020. Demikian keadaannya, penyelidik di universiti tempatan terutamanya, harus merenung semula sekolah pemikiran masing-masing tentang kebenaran yang dianuti supaya hasil dapatan nanti tidak akan tersimpan di perpustakaan atau di rak pihak penaja kewangan sesuatu penyelidikan yang amat sensitif kepada pertukaran tempat kerja dan meninggalkan dapatan itu hanya sebagai cenderamata kenangan.

Di dunia universiti yang meletakkan ahli-ahlinya di kepompong jabatan, fakulti dan yang seumpamanya menyebabkan usaha mencari kebenaran dibataskan oleh sesuatu disiplin ilmu sahaja. Dalam perbualan terbaru saya dengan Dekan tempat saya bertugas, dia menyebutkan bagaimana promosi ke jawatan akademik yang lebih tinggi hanya melihat hasil penyelidikan dan tulisannya dalam bidang tumpuannya.

Jika dia menyeberang daripada bidang tumpuannya, maka dia tidak akan memperoleh mata untuk kenaikan pangkat itu. Pada hal, masalah dunia, terutamanya mengenai kemasyarakatan dan kemanusiaan dalam alam realiti tidak pernah diselesaikan oleh 'single discipline'.

Betapakah isu keharmonian etnik dan kaum di Malaysia boleh dijawab oleh satu disiplin seperti sosiologi, psikologi, politik dan ekonomi masing-masing secara bersendirian?

Saya teringat perbualan saya dengan seorang Profesor di Sekolah Perniagaan Harvard yang memberitahu saya untuk mendapat taraf Profesor Universiti (seumpama Profesor A di Malaysia), calon hendaklah memperlihatkan dirinya sebagai tokoh yang telah merentas disiplin.

Demikianlah gabungan dua disiplin antara Freud dan Albert Einstein yang berutus-utus surat tentang persoalan dan jawapan kepada mengapa manusia suka berperang menyebabkan terciptanya teori psikologi psikoanalisis atau psikodinamik daripada asas sains fizik 'thermodynamics'.

Mengapa saya menyebut air mata Pinky Chin dan saya dalam bicara keharmonian kaum ini? Saya ingin mengetengahkan kes terpencil untuk mungkin digeneralisasikan kepada keseluruhan negara jika kes ini diperhalusi.

Pinky Chin adalah gadis Cina Kelantan (rujuk juga kata-kata Mahathir dalam bukunya Dilema Melayu). Air mata Pinky dan air mata saya adalah cecair yang boleh diuji oleh ujian kimia atau boleh juga diuji secara biologi. Apa yang menghasilkan cecair itu mungkin boleh diuji oleh kaedah fizik dengan melihat aliran-aliran elektrik dalam badan kami atau sekali lagi biologi dan kimia bagi melihat bagaimana sistem saraf kami beroperasi.

Namun hati saya, seorang Melayu dan hati Pinky, seorang gadis Cina dari Kelantan yang sama-sama menangis mungkin memerlukan ujian yang lain.

No comments:

Post a Comment