Tuesday, July 19, 2011

Terperangkap Pemikiran Sendiri (Utusan 17/8/10)



Terperangkap pemikiran sendiri

Apabila membaca pelbagai blog melalui internet saya terasa dunia begitu sempit. Bukan sahaja di Malaysia, di mana-mana juga suara-suara kasar tidak berpuas hati dengan itu dan ini dituliskan secara tali-menali.

Di negara Malaysia juga demikian. Blog-blog anak-anak muda terpancar suara-suara pemberontakan, rungutan, kekesalan dan pelbagai lagi yang seolah-olah dunia di keliling menzalimi mereka tidak henti-henti.

Terbaru rakan saya, Datuk Azman Ujang, mengirim e-mel tentang seorang bekas warganegara Malaysia keturunan Cina yang menyuarakan kebenciannya kepada kerajaan UMNO dan secara sinis menyimpulkan usaha menyeru warga profesional di luar negara untuk pulang hanya suatu bahan jenaka.

Mengapa jadi demikian. Benarkah dunia kemanusiaan semakin zalim sama seperti alam semula jadi yang sedang memberontak terhadap manusia kerana manusia merosakkan mereka, lalu bumi pun memuntahkan lahar gunung berapi, angin mengamuk menjadi taufan, lautan merempuh daratan dan matahari membakar bumi?

Dalam konteks ini, pada tahun 1980-an saya telah menulis bahawa sama ada manusia sedang merosakkan bumi atau tidak hanyalah suatu 'makna' yang dicipta oleh segolongan manusia itu sendiri. Sementara pada makna sains fizik, hal itu hanyalah penukaran suatu bentuk kepada suatu bentuk yang lain.

Maklumlah, sebagai contoh, sains fizik thermodinamik mengatakan 'tenaga itu tidak boleh dicipta atau ditambah dan tenaga hanya boleh diubah bentuknya'. Fizik thermodinamik tidak akan mengatakan manusia zalim kerana mengubah air menjadi tenaga penggerak enjin.

Apa yang saya cuba utarakan di sini ialah, yang disuarakan oleh segolongan orang yang saya sebutkan awal-awal tadi merupakan 'makna' yang diberikan oleh terhadap perkara, kejadian atau fenomena yang mereka rasakan berkaitan dengan diri mereka.

Mereka sememangnya mempunyai banyak pilihan untuk memberi 'makna' namun mereka telah memilih satu makna sahaja. Oleh hanya pilih satu makna sahaja itulah orang Yahudi memilih untuk berperang dengan orang Palestin, orang India dan Pakistan memilih untuk berkonfrantasi berterusan, Bosnia dan Serbia bermusuhan, Korea Utara dan Korea Selatan menunjuk lengan masing-masing walaupun mereka asalnya mungkin serumpun - nenek moyang mereka sama.

Demikianlah, Melayu, Cina dan India di Malaysia mula belajar menunjukkan otot masing-masing walaupun dulunya pada tahun 1955 pernah berjanji setia sehingga tercapainya peristiwa 1957.

Dalam himpunan Melayu pula UMNO, Pas, PKR masing-masing berlumba-lumba mempamer personaliti siapa yang lebih menarik dan menggoda supaya golongan bukan Melayu akan tertarik untuk 'berpacaran' dengan mereka. Padahal, UMNO, Pas dan PKR itu asal sejarahnya satu.

Patutlah pementasan cerita-cerita bangsawan tahun 1950-an dan 1960-an dan cerita-cerita filem Shaolin Cina selalu memaparkan tema bagaimana sengketa dua pahlawan yang saling bermusuhan asalnya datang dari gelanggang perguruan persilatan yang sama, walaupun telah dibekalkan dengan nasihat secukupnya supaya menjaga nama baik guru atau temple yang satu dengan tidak bersengketa sesama sendiri. Itulah suatu paparan budaya.

Dengan memilih makna persaingan: persaingan dengan alam, persaingan dengan mesin atau persaingan sesama manusia, orang itu sentiasa melihat dirinya berada dalam keadaan terancam.

Satu komuniti merasa diancam oleh komuniti yang lain, ketua terasa diancam oleh anak buahnya, kawan rasa diancam oleh kawan yang lain sehingga keseluruhan makna kehidupan adalah dalam bentuk memenangi suatu persengketaan.

Tersembunyi dalam diri adalah rasa ketakutan. Walaupun keberanian adalah lawan kepada ketakutan namun segalanya adalah bermula daripada rasa ketakutan - takut kekurangan, takut kehilangan dan akhirnya takutkan kematian.

Makna yang diberikan orang yang tidak takut akan berbunyi, 'yang kurang diusahakan untuk ditambah; yang hilang dicari; dan kematian adalah melengkapkan kehidupan'. Mereka tidak melihat setiap dualisme adalah persaingan.

Manusia yang tidak melihat segala-galanya persaingan adalah manusia yang tidak takut. Manusia yang tidak takut ialah manusia yang memberi nilai tinggi kepada 'autonomi'. Warganegara yang menilai tinggi kepada autonomi ialah warganegara yang mengatakan maju-mundur dirinya adalah tanggungjawab dirinya sendiri. Dia tidak akan memaksa orang lain mesti memihak atau memenuhi kehendaknya dan jika terjadi keadaan orang memihak kepadanya, itu hanya suatu kebetulan.

Seorang guru tidak memaksa murid untuk taat kepadanya. Seorang ketua tidak menagih kesetiaan daripada yang diketuainya. Seorang bapa tidak meminta-minta anak dan isteri menghormatinya. Jika semua itu diperolehinya, juga adalah suatu kebetulan.

Demikianlah jika anak-anak muda di Malaysia menuntut autonomi daripada orang tua-tua, mereka juga hendaklah membenarkan orang tua mentafsirkan keadaan dan kuasa mengikut makna mereka. Orang tua pula hendaklah tidak memaksa anak muda memberi makna kepada sesuatu perkara, kejadian atau fenomena dengan makna yang sama dengan mereka. Berilah makna kepada zaman masing-masing dan jika kebetulan makna itu sama, ia adalah satu 'hadiah'.

Kembali kita kepada e-mel kiriman Azman Ujang tentang bekas warganegara Malaysia yang nampaknya tidak sudi untuk pulang, setelah semenjak umur 18 tahun berada di Amerika Syarikat. Ini kerana katanya, tidak adanya keadilan di Malaysia, tidak berautonomilah kiranya saya seorang Melayu memaksa beliau mengubah pendirian beliau.

Saya menghormati pendiriannya kerana saya tahu, beliau memilih untuk memberi satu makna sahaja kepada kehidupan di Malaysia. Beliau tidak mendapat biasiswa dari kerajaan Malaysia sebaliknya memperolehi biasiswa dari negara beliau sekarang melalui program Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-AS (MACEE) walaupun beliau mengatakan pencapaian peperiksaan beliau amat cemerlang.

Juga, tidak sesuailah saya yang sangat menghormati 'autonomi' manusia mengungkit bahawa MACEE berada di Malaysia kerana kerajaan Malaysia menyediakan suasana yang kondusif kepada agensi Amerika Syarikat itu beroperasi di sini sehingga peluang untuk penulis e-mel itu terbuka.

Pendirian ini samalah dengan pendirian Obama, yang didesak untuk tidak menyokong masjid berhampiran Pusat Dagangan Dunia (WTC) dengan berkata 'Ini Amerika Syarikat'. Tentulah jika Najib berkata 'Ini Malaysia', sama ada bersetuju atau tidak, sempadan 'autonomi' beliau hendaklah dihormati oleh orang yang menyanjung tinggi falsafah 'autonomi'.

Sama seperti saya tidak akan menganjurkan ramai-ramai berdemonstrasi meluahkan rasa hati saya terhadap seorang bekas warganegara yang tak mahu pulang ke Malaysia dan demikianlah, beliau juga hendaklah tidak mengajak orang lain menyertai beliau semata-mata oleh 'makna' peribadi yang beliau pilih terhadap seruan pulang ke Malaysia.

Kesimpulannya, diam-diam saya ingin membisikkan ke telinga isteri saya bahawa, 'saya tidak akan hidup di dunia ini untuk memenuhi kehendak anda, dan saya juga tidak meminta supaya anda hidup untuk memenuhi kehendak saya. Jika kehendak anda dan kehendak saya serbasama, itu adalah suatu kebetulan yang sangat indah.'

Tan Sri Dr. Nordin Kardi ialah Profesor di kolej sastera dan sains, universiti utara malaysia

No comments:

Post a Comment