Tuesday, September 20, 2011

Pilih Kemerdekaan atau Demokrasi?


SUDAH lebih setengah abad Malaysia secara rasmi mengisytiharkan dirinya merdeka. Pada usia setengah abad itu Malaysia telah menempuh pelbagai peristiwa yang mematangkan warganegaranya.

Sepanjang tempoh itu selain daripada membangun fizikal dan ekonomi, warganegara juga membangun budaya dan cara berfikir. Budaya dan cara berfikir itu, setakat usia setengah abad, masih lagi kelihatan adanya sambung-menyambung antara pemikiran budaya dan pemikiran tradisi tempatan dengan pemikiran budaya dan pemikiran global.

Kemasukan pemikiran global ke dalam masyarakat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu, bukan perkara baharu. Masyarakat Melayu yang terkenal dengan sifatnya yang sangat fleksibel boleh menerima apa sahaja budaya dan pemikiran dari luar setelah melalui tapisan semula jadi oleh budaya dan adat tempatan. Ini meliputi kemasukan pengaruh seni dari luar seperti dalam bidang perfileman, muzik, lukisan dan kesusasteraan. Tidak ketinggalan pengaruh luar dalam hal keagamaan seperti kemasukan pelbagai mazhab di bawah Sunnah Wal Jamaah, Qadariah, Jabariah, Syiah, Muktazilah kaum muda dan pelbagai lagi.

Demikian juga dengan kemasukan ideologi seperti kapitalis, sosialis, komunis, demokrasi dan apa saja yang ada di dunia dan diikuti pula oleh kemasukan pelbagai cara pergerakan politik dan sosial. Semua itu masuk melalui tapisan semula jadi budaya dan adat untuk disesuaikan dengan kehidupan tempatan. Setakat masa lalu, kemasukan itu seperti ditapis oleh suatu autoriti yang tidak begitu ketara tetapi terasa kewujudannya dan diterima pula kemudiannya oleh semua pihak.

Namun, sekarang dengan adanya teknologi maklumat dan komunikasi yang sangat pantas, kemasukan itu seperti tidak dapat lagi ditapis oleh apa-apa autoriti. Kemasukan itu sampai ke bilik tidur peribadi setiap individu warganegara tanpa tapisan. Hal ini menjadikan perkara baru yang masuk itu diberi tafsiran oleh setiap individu tanpa mengira kapasiti atau keupayaan intelektual dan pengalaman individu itu yang berbeza-beza tahapnya. Hasilnya, walaupun tidak diisytiharkan secara rasmi, setiap individu itu melakukan ijtihad persendirian tanpa mengira sama ada dia memiliki ciri atau syarat yang membolehkannya bertindak demikian.

Jika dalam masyarakat Islam Melayu tradisi, dipersetujui bahawa tidak semua orang boleh berijtihad tentang sesuatu perkara yang memerlukan keputusan dan dengan yang demikian itu mereka yang tidak memenuhi ciri atau syarat bersetuju untuk menyerahkan tafsiran kepada pihak yang diterima dan dianggap sebagai memilikinya.

Autoriti yang menerima kuasa itu berupa sama ada pemimpin agama tidak formal sesuatu lokaliti atau pejabat pentadbiran yang ditubuhkan oleh sesuatu autoriti rasmi agama pada peringkat negeri atau persekutuan. Pemimpin agama tidak formal itu pula biasanya akan akur dan tunduk apabila dalam sesuatu keadaan keputusannya dibatalkan oleh autoriti rasmi.

Hari ini keadaan menjadi sebaliknya. Autoriti rasmi seperti kehilangan kuasa dan sebaliknya autoriti tidak formal telah mengambil alih tempat itu. Keputusan autoriti formal yang sering kali bermain pada peringkat atas dan permukaan akan dengan mudah dibatalkan oleh autoriti tidak formal. Autoriti tidak formal itu pula tidak semestinya bersifat batang tubuh manusia secara hadir, sebaliknya muncul menjawab persoalan dan membuat keputusan melalui media maya.

Kebijaksanaan lama yang mengatakan 'untuk mendapat ilmu yang muktabar seseorang itu harus berguru dengan seseorang ahli ilmu, jika tidak seseorang itu berguru dengan syaitan' sekarang hanya dijadikan bahan gelak ketawa. Dengan keadaan sedemikian, orang Melayu Islam di Malaysia sekarang akan mudah menerima dan percaya pelbagai perkara yang sumbernya memadai daripada maklumat yang dilekatkan di dinding facebook seperti Dajjal turun di Iran, kiamat akan terjadi pada tahun sekian-sekian, makanan yang dulu halal menjadi haram, orang yang dulunya dianggap pengganas sekarang dianggap 'hero', sejarah ditulis dengan tidak betul dan banyak lagi. Keputusan dibuat oleh penerima hampir serta-merta sambil berbaring di atas katil sebelum tidur dengan berbantukan alat komunikasi mudah alih yang sangat kecil.

Begitulah nampaknya pada hari ini di Malaysia dan di mana-mana jua cara kemerdekaan itu ditafsir. Kemerdekaan sudah menjadi pelbagai erti, sehingga oleh kerana terlalu banjir dengan definisi, kemerdekaan menjadi kehilangan erti.

Perkataan kemerdekaan dikupas, dibincang dan perkembangkan mengikut selera individu dan tidak sedikit yang disalahgunakan dan diolah secara yang tidak jujur. Tiba-tiba kemerdekaan membawa erti positif dan negatif bergantung kepada siapa individu yang menggunakannya.

Oleh sebab tafsiran luar lebih deras arus dan gelombangnya disertai dengan teknologi hama berkuasa halilintar, maka tafsiran luar menjadi lebih benar berbanding tafsiran tempatan. Slogan yang dijulang sekarang bukan lagi kemerdekaan tetapi kebebasan. Riuh-rendah orang Malaysia memperjuangkan demokrasi yang disamakan dengan kebebasan sehingga mereka lupa bahawa demokrasi dan kebebasan itu tidak sama. Oleh sebab kebebasan itu bagus, maka kepada mereka demokrasi itu juga mesti bagus.

Mereka lupa bahawa demokrasi tafsiran luar itu hanyalah hukum majoritisme. Sebagai contoh, pilihan raya demokrasi tajaan Amerika Syarikat di Iraq telah mengubahnya daripada negara Sunnah kepada negara teokrasi Syiah sebagai pelebaran apa yang sudah kuat di Iran melalui hukum majoritisme itu. Pelebaran ini nampaknya terus menjalar sama seperti kejayaan Israel melebarkan sempadannya di bumi Arab melalui bantuan kuasa yang sama.

Jika dahulu hanya Israel yang mengimbangi kuasa Islam di Asia Barat sekarang pengimbang kuasa adalah antara Sunnah dan Syiah. Menarik dilihat, adakah orang Arab di wilayah mereka sekarang sedang berjuang untuk demokrasi atau berjuang untuk kebebasan tetapi hilang kemerdekaan? Jika konsep ini difahami, dari awal lagi disedari bahawa kebebasan yang diperjuangkan dan demokrasi yang dilaungkan tidak selalu sekufu.

Apakah kemerdekaan yang diperjuangkan di Malaysia? Kemerdekaan daripada siapa dan untuk apa? Segolongan mengatakan Malaysia telah merdeka mulai 1957 dan sebahagian lagi ada yang mengatakan Malaysia sememangnya tidak pernah tidak merdeka. Tafsiran kedua sangat menarik dan memberi baja untuk idea baru muncul iaitu yang diperjuangkan sekarang bukan kemerdekaan tetapi demokrasi. Kata mereka ini, Malaysia memang sentiasa merdeka tetapi demokrasinya yang tiada.

Peduli apa dengan kemerdekaan asalkan dapat mencapai kebebasan yang disamakan dengan demokrasi. Baikkah untuk Malaysia atau akan burukkah? Itu juga tidak penting, yang penting ialah idea baru ini mesti dicuba. Ini adalah autoriti baru mentafsir kebebasan. Mungkin inilah roh kemerdekaan yang cuba ditiup oleh segolongan warganegara Malaysia pada bulan Ogos hingga September 2011.

Demikianlah apabila kebebasan dilihat hanya dari jelingan politik. Seperti tidak ada ruang bahawa kemerdekaan itu adalah untuk memberi kebebasan seimbang kepada setiap warganegara memilih dan menerima bahawa di negara merdeka akan ada sedih, akan ada rasa marah dan akan ada rasa gembira dengan tanggungjawab sendiri.

Individu bebas hendak makan apa dan hendak makan di mana. Bebas untuk memilih masa hendak bercakap dan memilih masa untuk mendengar. Bebas memilih sama ada hendak menjadi pembeli atau penjual. Bebas memiliki harta kepada yang berkehendak kepadanya. Bebas hendak belajar sehingga setinggi mana pun. Bebas hendak bekerja apa mengikut keupayaan sendiri. Bebas memilih hendak hidup bermajikan atau hidup sebagai tuan.

Bebas juga untuk menentukan sama ada hendak berkeluarga sendiri dan selepasnya bebas pula memilih berapa bilangan ahli keluarga yang hanya tertakluk kepada hukum alam bukan oleh sekatan kuasa negara seperti yang dikuatkuasakan oleh negara yang jauh dan dekat dengan Malaysia. Bebas untuk memilih Tuhan yang hendak disembah.

Paling penting kepada saya ialah memilih ingin bangun awal setiap pagi melihat fajar menyingsing melalui langsir tingkap rumah kecil saya dengan tidak perlu terintai-intai kalau-kalau akan ada muncung senapang meledakkan pelurunya melalui tingkap itu. Saya juga ingin terus dapat bebas berdoa agar mudah-mudahan Tuhan melindungi dan mengampunkan kedua-dua arwah ibu bapa saya atas apa jua derhaka mereka kepada-Nya.

Saya mohon Tuhan juga terus mengizinkan saya dan anak cucu saya membuat kebaikan sebanyak-banyaknya kepada manusia lain agar ganjaran kebaikan itu semua jika ada akan kami hadiahkan kepada arwah-arwah yang telah pergi. Akan masih adakah lagi semua ini?

No comments:

Post a Comment