Wednesday, September 14, 2011

Erti Perjuangan Mulia Islam



Erti perjuangan mulia Islam

SEDANG orang Islam sepatutnya meraikan hujung Ramadan dan gembira menyambut sinar satu Syawal, orang Islam di Libya mengamuk saling membunuh sesama bangsa dan sesama seagama.

Sedang orang Melayu-Islam di Malaysia sibuk menulis dan bertengkar di laman-laman sosial atau blog tentang tanda-tanda lailatulqadar yang ditunggu-tunggu, orang Libya yang juga berhajat menyambut malam yang menyamai kebaikan seribu bulan itu ditimpakan ‘neraka dunia’.

Yang menang berdiri tegak dengan sombong menggalas senapang buatan Amerika dan Eropah dan yang tumpas pula dihina selain dari meninggalkan isteri atau anak kecil menjadi balu dan yatim. Tidak pastilah sama ada yang menang atau yang kalah di Libya itu sempat mengerjakan sunat tarawih yang juga sibuk didebatkan oleh orang Melayu sama ada lapan rakaat atau dua puluh.

Rejim Gaddafi adalah rejim Islam terbaru yang dikatakan dijatuhkan ‘rakyat’ dengan senapang berjenama luar negara. Dengan serta-merta negara-negara pembuat senapang itu mengisytiharkan pengiktirafan terhadap golongan pemberontak yang menamakan diri mereka sebagai Majlis Peralihan Negara atau National Transitional Council (NTC).

Berikutan dengannya, Britain dengan serta-merta menghalau diplomat rasmi negara Libya dan menjemput NTC mengambil tempat diplomat itu dan bersedia pula membuka semua RM149 juta harta Libya yang selama ini dibekukan di negara penjajah itu. Amerika Syarikat dan 30 negara lain juga segera memberi pengiktirafan kepada NTC dan membebaskan harta Libya yang bernilai berbilion dolar AS. Austria mengumumkan akan mencairkan 1.2 bilion EU dan akan memindahkannya kepada NTC.

Cepat benar mereka memberi pengiktirafan itu berbanding melayan rayuan Palestin yang bertahun-tahun supaya diterima sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat yang sehingga sekarang tidak diendahkan. Banyak petunjuk yang boleh dipelajari darinya.

Cerita negara-negara Islam seperti cerita penuh kemerosotan, kehancuran dan kerapuhan. Hampir tidak ada lagi satu sistem yang bertahan hingga seratus tahun di dalam sesebuah negara Islam. Jatuh menjatuhkan, guling menggulingkan berlaku secara berterusan. Indonesia sebagai sebuah negara Islam terbesar di dunia dengan penduduk 235 juta, merdeka dengan susah payah pada tahun 1949, selepasnya telah bertukar tiga rejim melalui sistem peralihan yang setiap kali caranya berlainan.

Pakistan (merdeka 1947) pada asalnya adalah negara Islam yang lebih besar daripada Indonesia dengan jumlah penduduk lebih 300 juta. Akibat peperangan saudara (1971), Bangladesh mengecilkan Pakistan kepada 165 juta dengan membawa keluar sebanyak 150 juta penduduk. Mesir (merdeka 1922), sebuah negara bertamadun tua, dengan penduduk lebih 80 juta sekarang dijajah semula untuk kesekian kalinya. Demikianlah negara Islam dipecahkan dari dalam dengan senapang buatan luar, sehingga kian hari kian menjadi unit-unit kecil.

Krisis dalam negara berlaku dalam banyak lagi negara Islam lain termasuk Algeria, Chad, Guinea (rampasan kuasa 2008), Kyrgyzstan, Niger (rampasan kuasa 2010), Nigeria, Somalia, Sudan, Tajikistan, Mali dan sekarang gangguan itu jangkit menjangkit di Timur Tengah sehingga ke Arab Saudi ‘penjaga Ka‘bah’ itu.

Merenung hal ini, ada sarjana Islam yang menghujah bahawa Islam seharusnya begitu. Orang Islam hendaklah tidak mengutamakan semangat kenegaraan bersempadan kerana semangat sedemikian bakal membawa seseorang itu tergolong dalam golongan asabiyah yang tidak diiktiraf oleh Nabi Muhammad sebagai umatnya. Oleh yang demikian orang Islam di seluruh dunia mesti menganggap diri mereka sebagai ‘wahdatan ummah’ atau umat yang satu. Negara tidak penting, tetapi kesatuan ummah hendaklah sentiasa menjadi teras perjuangan setiap orang Islam. Mereka seolah-olah tidak menghiraukan fakta sejarah bahawa semangat kenegaraan dan keislaman yang digabungkan itulah yang telah berjaya menghalau penjajah dari bumi mereka, bukan yang semata-mata berdiri di atas slogan kesatuan ummah. Sedangkan, kesatuan ummah yang ditunggu seperti tidak akan tiba.

No comments:

Post a Comment