Wednesday, September 14, 2011

Bahasa dan Pengajian Tinggi Melayu

Bahasa dan pengajian tinggi Melayu

PADA Hari Raya kedua, saya menerima dua pesanan ringkas daripada dua orang rakan yang mengharukan perasaan saya. Satu daripada Dinsman, rakan saya bermain teater pada tahun 1970-an dan 1980-an dan satu lagi dari Datuk Seri Anuar Zaini rakan serumah dan sepengajian semasa saya belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, di Jalan Pantai Baru, juga pada tahun 1970-an.

Dinsman memberitahu saya tentang meninggalnya Pengerusi Yayasan Karyawan Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Anuar pula mengenai pemergian Tan Sri Dr. Abd Shukor Abdullah, Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga dahulunya Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Kali terakhir saya berjumpa dan bercakap dengan Abd Shukor ialah pada 20 Ogos 2011 di Istana Kuala Kangsar semasa berbuka puasa dengan Pemangku Raja Perak. Kali terakhir saya bercakap banyak dengan Hassan Ahmad, kalau tak silap ingatan ialah ketika saya menganjurkan Sidang Meja Bulat di Ibu Pejabat Biro Tatanegara yang dihadiri antara lain oleh YB Dr. Zulkifli Ahmad, pada masa itu Ketua Biro Penyelidikan Pas Pusat, Profesor Datuk Firdaus Abdullah (Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka), Datuk Salleh (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), arwah Profesor Nik Anuar (ahli sejarah) dan Profesor Dr. Abdullah Hasan (ahli bahasa) yang kemudian saya temui semula di UPSI.

Tentulah dalam setiap pertemuan formal dengan Abd Shukor dan nama-nama yang saya sebutkan, isu patriotisme biasanya menjadi bahan bualan. Semasa sidang meja bulat itu kami mengedarkan gambar Tok Janggut disula dan pesanan Aminuddin Baki tentang Pendidikan Melayu. Saya gembira kerana dua dokumen itu: gambar Tok Janggut disula dan dokumen tulisan tangan Aminuddin Baki, sekarang diminati dan dimiliki banyak pihak berbanding sebelumnya.

Hassan Ahmad di satu pihak sangat vokal mempertahankan pendiriannya tentang kedudukan bahasa Melayu dalam negara. Meskipun beliau bukan seorang orator yang cemerlang tetapi usahanya sangat lantang. Semasa kes penggunaan bahasa Inggeris bagi mengajar sains dan matematik di sekolah, beliau tampil menegur kerajaan dengan suara yang keras dan secara berkumpulan. Beliau dan kumpulannya, melalui pelbagai cara, berjaya memenangkan pendirian mereka.

Menteri Pendidikan, yang juga Timbalan Perdana Menteri, akhirnya mengumumkan yang kedua-dua mata pelajaran itu akan kembali diajar dalam bahasa Melayu. Saya percaya banyak pihak yang sependirian memberi sedikit sebanyak kredit kepada kejayaan usaha Hassan Ahmad.

Abdul Shukur pula tidak memperlihatkan dampingannya dengan mana-mana kumpulan atau aktivisme. Selepas bersara daripada jawatan Ketua Pengarah Pelajaran, Abd Shukur terus bekerja dalam memajukan pendidikan bersama Yayasan al-Bukhari dan lain-lain. Antara yang dia masih terlibat sehingga akhir hayatnya ialah menjadi Pro-Canselor UPSI dan Ahli Lembaga Pengarah, Kolej Islam Darul Ridzwan, Perak.

Dalam mesyuarat-mesyuarat di Kolej Darul Ridzwan, yang saya juga salah seorang Ahli Lembaga Pengarahnya, Abd Shukur tidak tidak sama sekali menggunakan kaedah mendesak apabila dia mengetengahkan pendapatnya, namun tidak bermakna perkara yang disuarakannya tidak didengar.

Pada petang 20 Ogos di Istana Kuala Kangsar itu saya dapat berbual panjang juga dengan Allahyarham Abd Shukur kerana majlis bermula sedikit lewat kerana banyak tamu yang tersangkut di kesesakan jalan raya bagi melepasi jambatan Sungai Perak yang sedang diubah suai. Antara yang beliau suarakan kepada saya ialah kebimbangannya tentang institusi pengajian tinggi milik negeri-negeri. Antara lain beliau ada menyebut bahawa dalam hal pengajian tinggi negeri, pemimpin parti-parti Melayu dan Parti orang Tamil agak sama. Katanya, orang Melayu dan orang Tamil mempolitikkan pengajian tinggi mereka.

Beliau memetik peristiwa di Kolej Universiti Insaniah di Kedah dan UNISEL di Selangor. Sebaliknya, mengikut pengamatan beliau parti-parti Cina tidak kelihatan mempolitikkan pengajian tinggi mereka. DAP misalnya, tidak memukul apalagi berebut dengan Gerakan dalam mengurus Universiti Terbuka Wawasan dan tidak juga berbuat demikian dalam kes Kolej Tunku Abdul Rahman, yang hampir menyerupai institusi separuh kerajaan, serta UTAR yang terus berkembang dengan aman tanpa gangguan politik kepartian.

Tentulah sebagai ahli lembaga pengarah Kolej Islam Darul Ridzuan beliau amat tahu apa yang terjadi kepada kolej itu apabila teraju kepimpinan Perak bertukar daripada Tajul Rosli kepada Nizar dan kemudian kepada Menteri Besar yang sekarang.

Saya tidak menulis belasungkawa kedua-dua tokoh Melayu yang baharu saja meninggal pada hari yang sama itu. Yang saya cuba ketengahkan ialah pendidikan Melayu dan bahasa Melayu yang sering menjadi isu politik. Ada masanya isu itu menjadi aset dan ada masanya isu itu menjadi liabiliti kepada politik Melayu.

Saya juga ingin mengetengahkan dua mazhab pemimpin Melayu yang 'bukan politikal' dalam memberi pendapat. Hassan Ahmad mewakili mazhab yang menggunakan pendekatan aktivisme berkumpulan dan Abd Shukur menggunakan pendekatan berbincang dengan kawan-kawan dan menanjangkannya dari mulut ke mulut.

Hassan Ahmad bersemangat seperti api yang menjalar dan Abd Shukur pula seperti air yang mengalir dari ulu ke kuala mengikut lenggok dan profil sungai yang dilaluinya.

Abd Shukur sehingga pemergiannya terus mengikat dirinya dengan kerajaan yang memerintah tetapi Hassan seperti memilih untuk dikenali sebagai orang yang mempunyai pemikiran yang tersendiri dalam hal kenegaraan dan kerap pula cenderung bersama kumpulan yang tidak sehaluan dengan kerajaan yang memerintah.

Selepas Hassan tiada lagi pemimpin kerajaan juga mengiktiraf sumbangan Hassan sebagai bekas pegawai tinggi kerajaan dan juga pejuang bahasa. Timbalan Perdana Menteri sendiri mengeluarkan pernyataan yang menyanjung Hassan.

Kedua-dua tokoh ini telah tiada. Sesuai dengan kedudukan mereka semasa mereka hidup dengan cergas, tentulah banyak amal baik yang mereka tinggalkan untuk orang kemudian. Mereka memilih cara masing-masing. Ini semua menjadi teladan kepada bangsanya yang masih meneruskan kehidupan di bumi Malaysia.

Yang masih hidup boleh memilih mana-mana mazhab yang dianuti oleh kedua-dua tokoh yang telah meninggalkan bangsanya. Menjadi kumpulan pendesak itu suatu pilihan dan menjadi rakan pemerintah juga suatu pilihan. Kerap kali pilihan itu disesuaikan dengan personaliti masing-masing. Api berguna dan air juga berguna. Api boleh memanaskan air dan air juga boleh memadamkan api kecuali jika sumber api itu dari elemen yang lain daripada kebiasaan.

Entah secara kebetulan dalam banyak kawan saya dalam kedua-dua mazhab itu, dua nama yang signifikan kepada saya mengirim pesanan tentang meninggalnya dua tokoh yang saya sebutkan. Dinsman seperti Hassan mewakili api yang menjalar dan Anuar pula mewakili air yang mengalir. Namun saya mengenali kedua-duanya.

Dinsman pernah membela saya dalam tulisannya di akhbar yang tidak bersama kerajaan dan Anuar kerap mengkritik pemerintah dengan lantang dan berani dalam sesi yang saya pernah hadiri bersama. Namun, Anuar, seberaninya itu seperti tidak pernah meleraikan ikatan dirinya dengan pemerintah berbanding Dinsman.

Kedua-duanya ada aliran yang diikuti tetapi mereka masih bebas. Itu yang membuatkan saya seperti merasa aman bahawa akan ada yang meneruskan gaya Abd Shukur dan gaya Hassan Ahmad. Janganlah pula ada yang menghalang saya daripada berdiri di tengah antara mereka berdua.

No comments:

Post a Comment