Tuesday, August 23, 2011

Kebenaran atau Kejahilan





PADA hujung minggu lalu, saya menerima pesanan melalui rakan saya, Kori bahawa seorang rakan lama yang mengikuti siri tulisan saya di Utusan Malaysia mencadangkan supaya menulis mengenai tradisi ilmu Islam bagi menentukan ketepatan sesuatu maklumat yang sekufu dengan kaedah saintifik moden.

Rakan yang saya maksudkan ialah Wahab Jusoh, seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang sekarang diletakkan di Jabatan Perkhidmatan Awam setelah ditukar serta-merta dari sebuah jabatan lain.
Saya kenali Wahab sebagai pegawai PTD yang sangat berdedikasi, jujur, setia kepada pemerintah dan tahap kesedaran tentang kesejahteraan negara adalah tinggi melampaui keghairahan rakan-rakan PTD lain yang saya pernah temui.

Ini diakui oleh bukan sahaja ketua-ketua beliau yang saya pernah berbual tetapi juga oleh rakan-rakan sebaya beliau. Demikian juga pengakuan mereka yang pernah bekerja di bawahnya. Jika beliau melalui Ujian Prestasi 360 Darjah yang saya pernah lalui di Universiti Harvard, saya yakin skor beliau akan lebih tinggi daripada skor saya.

Namun, Wahab seperti tidak dianugerahi pelbagai nikmat atas wibawanya itu dan pendakian kerjayanya seperti melalui jalan sukar. Mungkin nasib beliau sama dengan gagalnya kami semasa remaja mendaki puncak Tahan di Banjaran Titiwangsa tetapi dengan mudah menakluk puncak Kinabalu yang jauh lebih tinggi.

Demikianlah iktibar kehidupan yang perlu direnung: Bukan semua usaha mendapatkan yang rendah itu mudah dan semua yang tinggi itu pula susah. Suatu paradoks tentang kebenaran.
Panjang saya bercakap mengenai Wahab. Penting sangatkah beliau? Mungkin tidak penting kepada kebanyakan orang tetapi penting kepada saya dalam konteks isu yang beliau bawa dan kebolehpercayaan tubuh yang membawa isu itu.

Wahab bimbang dengan keadaan semasa segolongan rakyat Malaysia yang begitu mengambil ringan tentang kesahihan maklumat, rumusan dan kesudahannya membina pendirian tentang sesuatu kebenaran. Wahab risau adakah golongan itu mempunyai apa-apa kaedah dalam memastikan apa yang mereka percayai sebagai benar itu memang betul-betul benar? Atau, ‘kebenaran’ mereka itu hanyalah suatu elusi, delusi atau tahyul.

Tidakkah mereka takut nanti akan menjadi perosak, bukan pejuang kebaikan di muka bumi? Tidakkah mereka takut bahawa kebebasan abadi yang mereka perjuangkan itu rupa-rupanya suatu perjuangan menjerumuskan diri menjadi abdi kepada kuasa kezaliman yang jauh menyimpang dari pengabdian suci kepada Tuhan. Demikian fikiran Wahab yang saya dapat baca.

Golongan yang dimaksudkan oleh Wahab ini selalu pula menyeru bahawa kebenaran hanya boleh ditegakkan jika semua orang kembali kepada Quran dan Sunnah. Namun sangat sedikit yang rajin meneliti bagaimanakah tradisi ilmu mengumpul himpunan Sunnah itu sendiri.

Pemimpin mereka pula seperti dengan sengaja tidak mendorong ahli yang dipimpin mempelajari dan menyemak bagaimana cara mencari kebenaran. Mungkin mereka pun tidak pernah mendengar bagaimana hadis Bukhari dikumpul selama 16 tahun oleh seorang manusia dengan menapis kira-kira 600,000 riwayat, yang kesudahannya hanya tinggal kira-kira 2,600 riwayat sahaja.

Demikianlah rapinya tradisi mencari kebenaran hadis walaupun yang diriwayatkan itu berkaitan dengan perbuatan dan kata-kata seorang manusia yang maksum. Sudah tentu daripada 600,000 riwayat itu terdapat ribuan riwayat yang baik-baik mengenai Nabi tetapi ditolak.
Adakah tradisi ini dipegang oleh golongan ini, termasuk oleh ilmuwan mereka yang terdiri daripada ahli-ahli teologi dan saintis? Atau, adakah mereka hanya fasih menyebut prinsip dan metodologi teologi dan sains di makmal atau semasa menghadap kitab, sebaliknya apabila berada di jalan raya atau di pasar mereka menjadi bomoh yang terikat dengan tradisi pasaran perbomohan dan perdukunan yang berminat dengan cerita hantu dan tahyul bagi mengikat pelanggan-pelanggan.

Sains menekankan tentang pentingnya metodologi yang tepat dan boleh dipercayai bagi memastikan sesuatu rumusan, kesimpulan dan dapatan itu diterima sebagai betul dan benar. Sama ada kaedah kualitatif atau kuantitatif dalam sains, kedua-duanya meletakkan kepentingan bukti sesuatu penemuan itu melalui proses yang rigor, tepat dan boleh dipercayai. Juga, ada prinsip-prinsip yang ketat untuk menolak atau menerima sesuatu anggapan kebenaran.

Dalam hal ini, saya selalu bercakap mengenai ketepatan ukuran statistik di dalam sains yang kadangkala gagal dilihat dalam sesuatu konteks. Seorang penyelidik sains sosial misalnya sudah cukup berpuas hati jika darjah kemungkinan salah (degree of error) berada pada tahap hanya lima peratus.


Maksudnya dalam 100 kejadian, 95 daripadanya adalah benar seperti diramal.
Namun, saya kerap menyoal, jika di KLIA itu degree of error yang dipakai ialah 95 peratus tepat, saya pasti tidak akan ada sesiapa lagi yang berani berangkat terbang dari lapangan terbang itu. Maksud saya, dalam 100 keberangkatan terbang, lima kapal terbang akan kebarangkalian jatuh.


Demikian pentingnya kebenaran dan ketepatan tafsiran statistik dilihat dalam konteks walaupun angka-angka yang dikemukakan seperti amat meyakinkan.
Tradisi mencari kebenaran dalam dunia Islam biasanya merujuk tradisi pengumpulan hadis kerana ia dikumpul oleh manusia biasa sedangkan al-Quran itu pula disampaikan oleh manusia yang maksum. Prinsipnya menyamai atau melebihi daripada tradisi sains yang saya ketengahkan secara ringkas sebentar tadi.

Pengumpulan hadis Bukhari, misalnya dikatakan mempunyai sifat ‘al-jamil’ kerana himpunan itu meliputi pelbagai perkara atau mengikut bahasa ilmu sekarang dipanggil sebagai komprehensif. Dalam konteks ini kita perhatikan bagaimana ahli ilmu di Malaysia sanggup bertegang urat, bahkan ada kalanya menjulang lengan ke udara, untuk menegakkan pendapat yang dianggapnya benar.
Pada hal, kebenaran yang dimilikinya itu sangat terhad kepada disiplin kecil ilmu yang dikuasainya, bukan kebenaran memenuhi ciri ilmu komprehensif. Dia pula dengan berani memetik cebisan hadis atau ayat-ayat Quran yang dipilih-pilih bagi memenangkan hujahnya.

Jika tradisi sains menekankan tentang ketepatan atau validity, tradisi hadis juga ada istilah yang dipanggil ‘sahih’. Menentukan ‘sahih’ dalam tradisi hadis bermaksud bahawa sesuatu riwayat itu telah melalui tapisan yang sangat ketat dari segi dokumen, periwayat, konteks riwayat itu dicatat atau didengar dan pelbagai lagi.

Dalam kaedah kualitatif sains sosial kesahihan dilakukan dengan kaedah seperti analisis kandungan, analisis dokumen, pengesanan tarikh, saksi-saksi kejadian dan triangulasi atau proses saling melengkapi antara dapatan dengan menggunakan pelbagai sumber dan kaedah pengumpulan dan analisis data bagi memastikan sesuatu itu benar-benar sahih.
Tepat semata-mata masih belum mencukupi di dalam tradisi hadis, sebaliknya riwayat itu ditapis lagi dengan apa yang dipanggil sebagai ‘al-musnad’. Di dalam sains istilah itu boleh disamakan dengan ukuran reliability. ‘Al-musnad’ melengkapkan ketepatan sesuatu riwayat dengan memastikan susur galur riwayat itu benar-benar rantaiannya sampai kepada Nabi. Jika putus, maka riwayat itu ditolak. Selepas dipastikan rantaian itu sampai kepada Nabi, disemak pula peribadi periwayat.

Jika periwayat itu biasa bercakap bohong dan kerap meninggalkan tanggungjawabnya kepada Tuhan, maka riwayat itu ditolak. Demikian ketatnya mencari kebenaran di dalam tradisi ilmu Islam, sedangkan dalam dunia sains sosial peribadi setiap responden daripada sesuatu sampel yang dipilih daripada sesuatu populasi yang besar tidaklah disemak sebegitu rapi dari satu individu ke satu individu.

Jika ada pun kaedah statistik untuk mengesan ‘pembohongan,’ ukuran itu hanya dibuat setakat mengukur kemungkinan pembohongan berdasarkan ‘respons’ pada suatu ketika dan pada lokasi itu sahaja. Statistik sains sosial biasanya tidak melakukan penyiasatan terperinci mengenai peribadi seseorang responden dalam konteks keseluruhan sejarah kehidupannya.
Demikianlah kebimbangan seorang bernama Wahab terhadap masa depan negara yang dicintainya. Dia bimbang melihat rakyat Malaysia yang mendabik dada hendak menegakkan kebenaran di tanah tumpah darahnya tetapi hanya merujuk sumber peperangan blog atau laman-laman sosial yang tidak mengetengahkan bagaimana sesuatu pendirian itu dibina.
Wahab tidak pernah takut dengan perubahan sebaliknya dia bimbang perubahan dibawa tidak ditegakkan di atas lantai kukuh dan dengan itu panji-panji kebenaran yang akan ditegakkan akan mudah rebah. Setelah rebah, panji-panji lain dicari lagi dalam kegelapan yang panjang dan tidak berkesudahan.Sambil terkenangkan nasib kerjaya Wahab, teringat saya dan beliau dulu selalu berbincang untuk memahami maksud Wawasan 2020 Dr. Mahathir Mohamad yang menyebutkan, antara lain, ‘Malaysia hendaklah melahirkan masyarakat saintifik’ dan ‘maju dengan acuan sendiri’.

Apakah masyarakat saintifik memadai jika ditafsir sebagai melahirkan sebanyak mungkin graduan dalam bidang sains dan bolehkah Malaysia maju dengan acuan sendiri yang ditegakkan di luar konteksnya melalui tafsiran kebenaran dan kebebasan yang diimport? Atau, dia lebih dari itu.

Adakah nasib Wahab ditentukan oleh proses saintifik atau oleh kebenaran mengikut tradisi ilmu dan dalam konteksnya? Biarlah begitu kerana Wahab tidak penting.




TAN SRI DR. NORDIN KARDI
Penyandang Kursi Za‘ba,
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Tuesday, August 9, 2011

Bina pelanggan setia UMNO (Utusan 9/8/11)

Bina pelanggan setia UMNO

DUA minggu lalu saya mencadangkan supaya UMNO elok memikirkan untuk menstrukturkan dirinya bagi menghadapi cabaran-cabaran baru yang muncul dari alam kelilingnya. Dari situ saya menerima beberapa maklum balas yang menggambarkan keraguan tentang praktikalnya cadangan yang saya kemukakan.

Ada yang mengatakan bahawa risiko perpecahan lebih besar dengan struktur yang saya cadangkan berbanding struktur sedia ada yang sudah tahan uji bertahun-tahun. Ada juga yang mengatakan bahawa dengan sistem badan gabungan yang saya cadangkan itu, perebutan jawatan di pusat akan lebih ganas daripada sistem sedia ada.

Hujah mereka yang sangat baik dan munasabah ialah soal kesetiaan. Mereka yang percaya kepada struktur sedia ada merasakan kesetiaan kepada UMNO akan lebih kukuh dalam sistem itu berbanding jika pemimpin dipilih melalui pelbagai badan gabungan UMNO yang mempunyai autonomi.

Saya mengakui hujah ini memang kuat tetapi saya terfikir pula bahawa kesetiaan yang disebutkan ialah kesetiaan ahli sedia ada dan bukan ahli-ahli baru yang belum mempunyai tradisi jiwa UMNO yang sudah berakar. Bagaimana pula dengan anak-anak muda yang mempunyai pilihan dalam pasaran yang terbuka luas?

Untuk menjawab persoalan saya itu, mungkin pemimpin UMNO yang sentiasa mengemas kini ilmu pemasaran perniagaan boleh mengemukakan pelbagai strategi mengekalkan atau menambah pelanggan. Jika itu dilakukan sekali lagi, cadangan struktur yang saya kemukakan itu kembali menjadi pilihan yang viable. Salah satu daripada tiang penting dalam strategi mengekalkan pelanggan setia ialah melakukan perancangan pemecahan pasar sasaran atau market segmentation.

UMNO telah pun melakukan market segmentation tetapi strateginya sangat ortodoks dan tradisional. Maksud saya sasaran pasar dilihat oleh UMNO hanya dalam dua bentuk iaitu umur dan gender yang hasilnya ialah Wanita UMNO, Pemuda UMNO, Puteri dan Putera UMNO.

UMNO tidak membuat pemecahan pasar mengikut idealisme, minat, gaya hidup, keperluan hidup dan pelbagai lagi yang semuanya itu mempengaruhi mereka menjadi pembeli berulang produk UMNO. Jika ada pun UMNO melakukannya, ia hanya bersifat kecenderungan pemimpin semasa, bukan sistem yang terbina dari dalam yang mewajibkannya melakukan pengkhususan itu.

Dalam dunia pemasaran perniagaan, pelanggan setia diertikan dengan mudah iaitu mereka yang menjadi pelanggan yang datang berulang-ulang membeli sesuatu produk. Mereka selalu disebut sebagai repeat customer.

Pemecahan pasar UMNO hanya dua aspek iaitu gender dan umur bukanlah terlalu buruk tetapi keupayaan kapten pemasar akan menjadi terhad. Fokus, kemahiran dan strategi tidak dikhususkan kepada sasaran pasaran yang unik.

Mungkin UMNO selama ini merasakan pendekatan-pendekatan unik dan khusus tidak perlu kepadanya kerana dia melihat dirinya sebagai komoditi keperluan asas. Suka atau tidak suka orang akan tetap membeli. Namun dalam dunia yang sudah berubah jauh rupanya dalam komoditi pun sudah ada pihak yang menggunakan pendekatan pemasaran komoditi prime.

Orang pemasaran selalu memecahkan produk kepada dua iaitu produk komoditi dan produk prime. Produk komoditi mengutamakan jumlah atau volume untuk mengira untung rugi sebaliknya produk prime mengutamakan nilai.

Komoditi mungkin boleh dijual di tepi jalan (kerana diperlukan ramai) sementara produk prime akan dijual menggunakan showroom di tempat yang berprestij.

Isu penting perlu diputuskan oleh pemimpin UMNO sekarang ialah secara konsepsinya apakah kedudukan UMNO di pasaran? UMNO sebagai produk komoditi atau sebagai produk prime?

Pesaing UMNO mungkin sudah menggunakan pendekatan pujukan pasaran dengan mengatakan 'biarkan UMNO kekal menjual komoditi tetapi kami menjual style atau gaya hidup'. Inilah yang saya lihat: pesaing UMNO sedang memalu gendang menjual gaya hidup.

Menjual gaya hidup menyebabkan UMNO mempunyai saingan autoriti yang selari atau parallel authority. Mereka tidak lagi berkongsi lebuh raya pemasaran dengan UMNO.

Mereka telah mencipta lebuh raya mereka sendiri. Mereka bebas bergerak dalam lebuh raya mereka yang UMNO sudah tidak mempunyai kuasa mencampuri atau memasukinya, apalagi menguatkuasakan kehendaknya di lebuh raya yang bukan miliknya itu.

Akibatnya sebahagian daripada pelanggan yang tidak pernah duduk di dalam UMNO atau pelanggan yang telah meninggalkan UMNO melihat di dalam negara sudah wujud dua kerajaan.

UMNO tidak lagi penguasa tunggal kerajaan dalam erti kata memberi tafsiran tunggal terhadap apa yang baik untuk mereka. Fatwa tentang kebenaran dan kebaikan sentiasa dicabar dengan itu dia telah tidak tunggal lagi.

Walaupun seperti jelas adanya pembahagian antara pelanggan setia kepada lebuh raya UMNO dan ada pula pelanggan setia lebuh raya baru namun market share mereka yang berulang alik menggunakan jalan-jalan kecil dan sekali skala memasuki lebuh raya bertol UMNO atau yang satu lagi masih sangat besar.

Mereka ini mempunyai cita rasa yang berlainan. Jika UMNO atau lawan UMNO ingin memperbesarkan saiz pasar, mereka perlu memujuk kumpulan ini daripada menjadi pelanggan bebas kepada pelanggan setia.

Dalam dunia golf, jenama Big Bertha pernah mencipta pasaran pelanggan golf yang telah tepu dengan mencipta club, yang di panggil over-sized, melebihi besar saiz biasa, sedangkan ketika itu 'club' golf yang berkepala kecil kebanyakannya digunakan oleh orang yang benar-benar menyukai golf. Mereka yang baharu berjinak dengan golf akan segera put off meninggalkan golf kerana kecewa oleh susahnya memukul bola yang kecil dengan kepala 'club' yang kecil.

Syarikat Callaway melihat peluang mencipta pasar baru dengan menghasilkan Big Bertha yang berkepala besar menyebabkan orang yang baru berjinak dengan golf atau tidak pernah memegang kayu golf tiba-tiba menyukainya dan termotivasi kerana setiap pukulannya kena kepada bola berbanding dengan club yang berkepala kecil.

Pilihan lain kepada Callaway ialah mencipta permainan lain yang menggunakan bola yang lebih besar, dengan yang demikian nama permainan itu bukan lagi golf. Itu bermaksud Callaway terus keluar daripada keseluruhan pasaran.

Dari situ dapat dilihat Callaway telah keluar dari kelompok persaingan menjual set golf kepada kumpulan yang sama dan terhad kepada mencipta pasar baru iaitu mereka yang mulanya bukan pemain golf. Hasil ciptaan itu rupanya memberi kesan juga kepada pemain golf sedia ada dan yang telah lama kerana dengan set baru itu skor pukulan mereka menjadi lebih baik.

Akhirnya untuk tempoh satu masa Callaway bukan sahaja mencipta pelanggan baru tetapi berkesudahan telah membolot keseluruhan pasaran yang pada mulanya dia hanya bertujuan melakukan segmentation.

Dalam dunia pasaran perniagaan, sekiranya sesuatu produk itu menguntungkan pasaran akan cepat menjadi crowded. Mereka yang letih bersaing dengan margin keuntungan yang kian mengecil dan kos pemasaran terasa tinggi akan cepat-cepat keluar dari pasar yang terlalu 'macet' lalu mencipta pasar baru.

Adakah UMNO masih terasa selesa dalam pasar yang sedia ada atau berminat mencipta pasar baru untuk menukar non-players menjadi pemain UMNO yang bertenaga dan meriah?

Sekali lagi UMNO dilihat perlu menstrukturkan dirinya bagi mencipta pengkhususan untuk membolehkannya mencipta pasar-pasar baru untuk mencipta pula pelanggan baru dan berulang. Untuk mencipta pasar baru kapten pemasaran mesti sangat kreatif dan penuh taktikal.

Jika pasukan bola Harimau Malaysia sudah mula memikirkan untuk mengadakan pasukan pakar taktikal, mungkinkah UMNO juga demikian atau UMNO memang sudah memilikinya?

Tuesday, August 2, 2011

Permainan Politik Neurotik



Permainan politik neurotik

NEGARA Malaysia memang tidak terkecuali telah menjadi anggota masyarakat global. Malaysia sudah merangkaikan dirinya dengan segenap pelosok dunia dan boleh berkomunikasi dengan manusia dari mana juga pelosok dengan pantas. Teknologi komunikasi dan pengangkutan moden telah memungkinkan rangkaian pantas terjadi. Rangkaian itu membawa bersamanya rahmat dan bencana.

Pengembaraan warga Malaysia secara maya atau secara realiti (fizikal) membolehkan mereka melihat, mendengar dan merasai pelbagai penglihatan, pendengaran dan cita rasa baru dalam kehidupan mereka. Rahmat ia kepada Malaysia jika yang baru itu membawa kesejahteraan dan kasih sayang sesama warga tetapi ia bertukar menjadi bencana jika yang baru itu menimbulkan rasa kritikan diri yang melampau sehingga sampai ke tahap neurotik yang mengacau.

Masyarakat neurotik akan lahir jika ahli-ahlinya kehilangan keyakinan diri untuk menghadapi cabaran luaran lalu memindahkan fokus ke dalam dengan mencungkil dan mengeksploitasi setiap perkara yang diterima oleh logik biasa sebagai kekurangan atau kelemahan.

Padahal pemindahan fokus itu adalah merupakan suatu pelarian atau penolakan terhadap ketakutannya menghadapi cabaran di luar. Walaupun pada mulanya pelaku itu menyedari sepenuhnya akan perbuatan pelarian bagi melindungi ketakutannya itu namun lambat laun apabila dia sudah terbiasa dengan cara itu, dia akan mula merasainya sebagai suatu realiti sebenar. Kesudahannya cara itu akan menjadi sebahagian daripada personaliti individu atau sekumpulan ahli dalam masyarakat itu.

Tidak mengapalah jika masalah pelarian hanya berlaku sebagai kesan sampingan kepada proses globalisasi dan melibatkan sekumpulan orang yang perlu diurus oleh perkhidmatan-perkhidmatan tertentu di dalam masyarakat.

Tetapi, jika ia juga menjadi sebahagian daripada personaliti orang yang mempunyai pengaruh kepada masyarakat itu, seperti pemimpin perniagaan, pemimpin agama, pemimpin masyarakat sivil dan pemimpin politik, maka warga Malaysia mempunyai alasan kuat untuk merasa bimbang akan masa depan negara.

Masyarakat yang mewakili kumpulan majoriti yang lebih besar dalam masyarakat hendaklah tidak lagi kekal berkecuali tetapi mesti bangun serentak memperbetulkan keadaan. Warga besar negara Malaysia hendaklah tidak membiarkan negara dicorak, dipandu dan apalagi dipimpin oleh sekumpulan minoriti yang neurotik.

Membenarkan Malaysia dicorakkan oleh mereka yang sangat 'self-critical' terhadap negaranya sendiri akan menjadikan perspektif katak di bawah tempurung. Mereka akan menjadikan budaya elusi mendapat tempat penting. Mereka tidak mendapat kepuasan daripada kejadian-kejadian dalam alam realiti kerana takut dengannya. Mereka tidak berminat dengan kaedah saintifik dalam mencari kebenaran, mereka tidak berminat dengan data-data kemajuan betapa terang pun data itu dibentangkan, dan mereka akan membutakan mata terhadap apa jua kebaikan yang dilihat dengan mata kepala.

Kepada mereka kebenaran memang bukan realiti tetapi hanya suatu permainan emosi. Saat kebenaran atau 'moment of truth' kepada mereka ialah apabila dunia emosi mereka mengesahkannya. Siapakah mereka? Jejaki denai kehidupan pemimpin-pemimpin seperti ini baik yang muda mahu pun yang telah tua, yang sudah lama memimpin atau yang baru muncul, pasti akan menemui sejarah kegagalan hidup yang cuba ditutup dalam bentuk pelarian atau penafian (escapism atau denial).

Mungkin ada di kalangan mereka yang cemerlang dalam akademik tetapi gagal dalam alam yang lain, mungkin mereka gagal dalam kerjaya, mungkin mereka gagal dalam kehidupan keluarga, mungkin mereka gagal dalam perlumbaan tertentu dengan rakan sebaya, mungkin mereka pernah merasa kepahitan ditolak dalam alam percintaan dan macam-macam kemungkinan yang akan ditemui.

Oleh sebab orang seperti itu mempunyai kelebihan tertentu dia pandai menyembunyikan kekecewaannya dengan memilih medium yang kelihatan mulia seperti menjadi jaguh perjuangan tertentu dalam masyarakatnya.

Dengan cara begitu, malang baginya kerana kesakitan psikologi itu tidak pernah dirawat secara yang sewajarnya, sebaliknya dia merawat dirinya dalam alam ilusi. Masyarakat lambat mengesan untuk memberi bantuan kepadanya dan dengan senang hati pula menerima orang sedemikian pada sifat luaran yang dipamerkan.

Jika mereka yang digambarkan itu pula adalah pemimpin politik mereka akan memindahkan kritik diri melampau itu kepada orang lain yang paling dekat dengannya kerana dengan cara itu dia mendapat kepuasan ilusi yang paling cepat. Tidak hairan orang seperti ini akan hanya mempunyai keberanian menyakiti komrad politik dalam negaranya sendiri tetapi akan menikus dalam arena antarabangsa yang lebih ganas.

Di pentas antarabangsa dia akan sanggup menjadi abdi suruhan imperialis untuk kelihatan penting kerana orang neurotik sememangnya sentiasa dahagakan pengiktirafan. Dia akan selalu mengharapkan tepukan di belakang oleh orang luar itu dan mendapat kepuasan ilusi apabila disahkan 'brother, you are doing fine'. Dia akan sanggup bertungkus-lumus seumur hidupnya hanya untuk mendapat pengesahan itu. Itulah 'self-healing' kepada sejarah luka yang cuba diubatinya sendiri.

Demikian panjang lebar usaha saya mencari jawapan kepada persoalan mengapa di Malaysia kelihatan seperti muncul gerakan politik yang sentiasa mencari kesalahan dari sekecil-kecil perkara.

Kepada kumpulan ini seperti mereka tidak pernah menerima walau sesudu pun kebaikan daripada pemerintah mereka. Setiap perkara disoal di dalam pelbagai media. Apa sahaja yang dikeluarkan oleh pihak pemerintah semuanya salah.

Mereka tidak mahu langsung menghalakan muncung senapang mereka kepada pelbagai cabaran realiti di dunia yang lebih besar seperti kuasa NGO dunia yang diperalatkan oleh imperialis yang tidak kelihatan, rejim kewangan yang dipaksakan dengan sokongan senjata dan ketenteraan, revolusi yang diorkestrakan, penajaan pemimpin dan organisasi haram dan banyak lagi yang semuanya akan sampai ke pintu rumah setiap warga jika tidak ada benteng yang kuat untuk memeranginya.

Semasa pemimpin negara bertungkus-lumus mencari jalan menghadapi pelbagai cabaran itu kumpulan ini berperangai seperti penyakit gigi yang mengganggu tumpuan. Gangguan itu bukan calang-calang kerana denyutan sakit itu memporak-perandakan otak daripada dapat berfungsi dengan waras.

Dia benar-benar penyakit yang sangat mengganggu. Hasil kerja pemimpin tidak akan sempurna seperti yang dikehendaki selagi penyakit ada di situ. Adakah pemimpin akan membelai penyakit itu dengan menggosok-gosok pipinya setiap kali giginya berdenyut? Atau, dia bingkas bangun dan dengan berani berhenti sebentar daripada kerjanya lalu menemui doktor gigi untuk mencabut atau membedah punca sakit itu sekali dan selama-lamanya. Dibiarkan sakit itu begitu akan menyebabkan pemimpin kehilangan perspektif gambar besar misi negara.

Sambil menunggu untuk menyaksikan perlawanan penting bola sepak Malaysia menentang Singapura, saya terfikir bolehkah pasukan Malaysia menang jika pemain-pemain asyik menegur kapten dengan teguran seperti ' hei Kapt, seluar engkau terlondeh atau stoking engkau tinggi sebelah' dari wisel pemula perlawanan ditiup sehingga wisel penamat dibunyikan. Adakah slogan 'Malaysia Boleh!' akan terus berkumandang?