Saturday, December 31, 2011

Semakan Dasar Pendidikan


PENGUMUMAN oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini tentang penubuhan jawatankuasa menyemak semula dasar dan pelaksanaan pendidikan di negara ini seharusnya mengusik deria semua pihak dari orang tua hingga kanak-kanak yang sudah pandai membezakan perkara buruk dan perkara baik.

Hal ini sewajarnya demikian kerana pendidikan adalah segala-galanya bagi negara Malaysia yang aman dan makmur ini. Rekod menunjukkan bahawa pembangunan pendidikan adalah sektor kemajuan negara terbaik. Meski banyak melalui gelombang cabaran, data-data memihak kepada kenyataan bahawa sektor pendidikan berjaya cemerlang mengatasi segala pukulan gelombang tersebut berbanding upaya-upaya negara dalam sektor lain.

Pengumuman bahawa Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia yang sangat berpengalaman itu mempengerusikan jawatankuasa yang dimaksudkan sangat dialu-alukan. Saya yakin beliau akan memimpin jawatankuasa itu dengan pendekatan saintifik yang tepat bukan berpandukan semangat sahaja yang berkobar-kobar tetapi berada di awang-awangan atau atas pertimbangan tahyul-tahyul politik yang kerap membingungkan.

Sudah tentu aspek politik tidak boleh dikesampingkan kerana ia juga sebahagian daripada urat nadi kesejahteraan negara, namun semua pertimbangan politik itu hendaklah dianalisis secara saintifik berpandukan data konkrit bukan dengan buaian lagu sentimental.

Sebagai seorang yang terlatih dalam bidang farmasi, Dzulkifli hendaklah menyuntik dirinya dengan ubat pelali daripada dijangkiti wabak sentimental itu. Dia hendaklah tidak melayan jelingan menikam atau suara keras anggota jawatankuasa itu nanti, tapi dengar apa isi dan maksud suaranya yang nyata dan yang tersembunyi.

Sambil mempertimbangkan praktikaliti suasana semasa Dzulkifli hendaklah tidak membelakangi dasar-dasar yang lepas sambil tidak pula taksub mempertahankannya. Untuk tujuan itu wajiblah dia meneliti dua akta penting terdahulu iaitu Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Jarak masa 35 tahun diambil bagi melaksanakan Akta Pelajaran 1961 sebelum dianya disemak berbanding Akta 1996 yang belum mencapai usia baligh 15 tahun.

Beliau hendaklah mula bermenung bermuhasabah mengapa dasar yang baharu berusia empat belas tahun itu hendak disemak?

Jawapan seperti 'dunia telah berubah dengan pantas' mungkin jawapan yang sangat memujuk dan munasabah, namun beliau hendaklah tidak terus tergoda dengan jawapan mudah, sebaliknya berpegang teguh kepada prinsip saintifik bahawa kebenaran hendaklah diselongkar dari segenap penjuru. Setelah ditemui dengan nyata dan yakin potonglah tumor, kudis atau lebihan lemak yang tidak menyihatkan tetapi jangan abaikan intan permata yang ada di dalamnya yang boleh digilap sampai berkilau.

Selain itu, Dzulkifli juga hendaklah meneliti Penyata Razak 1957 dan Ordinan Pelajaran 1957 yang merupakan hembusan roh pertama dunia pendidikan Malaysia merdeka. Akta-akta lain yang mesti diteliti juga termasuk Akta Bahasa Kebangsaan 1964, 1967 dan semakan 1971.

Demikian juga Akta Universiti dan Universiti Kolej 1975 dan semakannya 1975 dan 1996; Akta Politeknik 1974, Akta Majlis Peperiksaan 1980, Akta IPTS 555, 1996 dan Akta 556 LAN 1997.

Sudah tentu Dzulkifli juga akan dengan teliti membaca semula laporan-laporan negara mengenai pelajaran atau pendidikan yang terdahulu seperti Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Mengenai Pengajian Tinggi 1967 dan Laporan Universiti Malaya selepas 13 Mei 1970 dan Laporan Mahathir 1979.

Jawatankuasa yang akan bermesyuarat itu nanti akan menghadapi pelbagai cabaran yang memerlukan keberanian mengusik beberapa perkara sensitif dan sentimental tetapi amat penting untuk diteliti dalam konteks Malaysia menjadi negara bangsa dalam millenium 21 yang memerlukan kekuatan dan kepantasan luar biasa.

Malaysia, yang mempunyai tiga kategori institusi pendidikan seperti Seksyen 16 Akta Pendidikan 1996 iaitu institusi pendidikan kerajaan; institusi pendidikan bantuan kerajaan dan; institusi pendidikan swasta, mungkin boleh diibaratkan seperti sebuah kenderaan yang mempunyai beban berat dan mengganggu sistem mekanikal yang saling bercanggah untuk terbang seperti kilat di angkasa lepas. Beranikah Dzulkifli mengusiknya?

Beranikah juga nanti jawatankuasa itu menyentuh Seksyen 2 Akta Pelajaran 1996 yang antara lain di dalamnya terkandung kedudukan sekolah Cina dan sekolah Tamil, demi menjayakan hasrat melahirkan kesatuan negara Malaysia?

Dasar terbuka pentadbiran awam yang diumumkan kerajaan baru-baru ini mudah-mudahan akan disentuh juga oleh jawatan kuasa ini nanti. Akta Pendidikan 1996 nampaknya seperti mundur dalam konteks pelantikan meskipun tidak ramai orang mengetahuinya.

Akta Pelajaran 1961 misalnya membiarkan secara terbuka sesiapa sahaja boleh dilantik untuk menjadi Ketua Pengarah Pelajaran tetapi Akta 1996 menyebut dengan terang bahawa Ketua Pengarah Pendidikan boleh dilantik daripada kalangan penjawat Perkhidmatan Pelajaran sahaja.

Pemikiran Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang membawa gagasan perkhidmatan awam terbuka harus disokong dan dilihat sebagai langkah berani dan kehadapan demi kecemerlangan kepimpinan pendidikan juga. Akta Pelajaran 1961 menyamai hasrat KSN menjadikan Jawatan Utama di Kementerian-Kementerian sebagai Jawatan Terbuka yang baru-baru ini diumumkan.

Demikian juga kuasa melantik yang saya sering timbulkan dalam beberapa tulisan terdahulu tentang bagaimana berpindahnya beberapa kuasa daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada orang politik/eksekutif iaitu Menteri. Akta Pelajaran 1961 menyebut kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Pengarah Pelajaran, Ketua Pendaftar Sekolah, Ketua Pendaftar Guru, Timbalan Pendaftar Guru, Ketua Nazir Sekolah dan Pengelola Peperiksaan.

Adakah bijaksana sekiranya kuasa Yang di-Pertuan Agong membuat pelantikan itu dikembalikan, terpulang sepenuhnya kepada kebijaksanaan jawatankuasa itu nanti menelitinya semula. Demikian juga dengan pelantikan naib canselor yang dahulunya di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri yang kemudian dipindahkan kepada kuasa Menteri dalam Akta Pendidikan 1996. Tidak ramai ahli masyarakat sekolah dan universiti yang menyedari akan perpindahan kuasa-kuasa ini pada 1996.

Pengalaman Dzulkifli dalam Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) dan di Persatuan Antara Bangsa Universiti-universiti yang berpusat di Eropah dan Amerika Selatan yang pernah saya turut sertai tentu mempunyai pengaruh semasa dia mempengerusikan siri perbincangan itu nanti.

Namun amat munasabah sekiranya beliau sentiasa beringat untuk mempunyai 'nyiru tempatan' untuk menapis dan mengayak 'antah-antah' yang mungkin tidak sesuai dengan saripati keperluan dan peradaban Malaysia yang tidak sepatutnya merasa rendah diri dengan peradaban dari dunia Eropah.

Pengalaman beliau di dalam dua badan itu akan memberikan keupayaan melihat Malaysia dengan keunikannya tertentu, kedudukan pendidikan Malaysia dalam konteks wilayah Asia Tenggara dan kedudukan pendidikan Malaysia dalam konteks dunia. Dalam konteks pengajian tinggi Dzulkifli tentu sangat fasih dengan kandungan Proses Bologna dana Triti Lisbon di Kesatuan Eropah.

Saya jangka antara variabel yang akan diteliti oleh Dzulkifli dan rakan-rakannya nanti akan meliputi soal falsafah dan dasar pendidikan, sistemnya, pentadbiran, kepimpinan, isi kandungan, penilaian dan pengukuran pencapaian, guru, murid, alam keliling fizikal dan bukan fizikal dan antisipasi senario masa depan.

Apa pun yang bakal dihasil dan dilapor oleh jawatankuasa ini nanti, saya menantikan sebuah laporan dan cadangan yang dibuat berdasarkan pemikiran yang bebas, waras dan saintifik.

Unsur-unsur sentimental dan tahyul hendaklah diminimumkan. Meski pun demikian laporan itu hendaklah bertapak kukuh di atas asas peradaban Malaysia dengan segala kebanggaan terhadap khazanah-khazanah sejarah dan ilmunya serta keberanian belayar di lautan luas masa depan.

Kesudahannya biarlah cadangan-cadangannya nanti jelas mempunyai semangat 'di mana bumi di pihak di situ langit dijunjung'.

Wednesday, December 14, 2011

Pemikiran Sains Bagi Setiap Siswazah



PADA 1970-an, ramai pelajar di tingkatan enam berasa lega apabila negara membuka Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebabnya, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di universiti itu.

Para pelajar yang memasuki tingkatan satu sekolah menengah kebangsaan tanpa perlu lulus peperiksaan darjah enam pada 1965, dan melalui pula peperiksaan objektif dengan menanda kertas OMR pada 1967, mengakui bahasa Inggeris mereka lemah meskipun semasa tingkatan enam mereka wajib lulus General Paper (Kertas Am) dalam bahasa Inggeris bagi mereka lulus penuh Sijil Tinggi Persekolahan (STP). Dengan kelulusan itu mereka boleh memasuki universiti, sangat gementar memasuki Universiti Malaya yang bahasa pengantarnya bahasa Inggeris.

Namun apabila mereka memasuki UKM, mereka dari jurusan Sains Sosial atau Sastera ditakutkan pula oleh mata pelajaran Kenegaraan Malaysia yang terkandung pelajaran Sains dan calon sains pula ditakutkan dengan kandungan sastera dan pengajian Islam dalam mata pelajaran tersebut.

Begitulah buah fikiran pengasas-pengasas UKM yang mahukan siswazah yang dikeluarkan mempunyai fikiran liberal. Menghasilkan siswazah berfikiran liberal menjadi teras utama pengajaran di UKM ketika itu.

Mata pelajaran itu pula tidak diajar oleh seorang pensyarah sahaja, sebaliknya oleh beberapa orang pensyarah secara berkongsi. Mereka pula dipilih oleh pengurusan universiti dalam kalangan pensyarah yang paling kanan.

Antara pensyarahnya termasuklah Allahyarham Profesor Ghazali Abdul Rahman, Profesor Khoo Kay Kim dan beberapa orang lagi. Hasilnya siswazah UKM pada zaman itu dapat memahami adanya jambatan antara dua dunia ilmu yang dipecahkan oleh pihak berkuasa seawal calon berusia 16 tahun.

Pemecahan aliran pemikiran itu diwarisi hingga ke hari ini tetapi model UKM berkenaan dilarutkan oleh arahan dari luar yang saban hari memikirkan cara menyeragamkan universiti untuk memudahkan pemantauan.

Model itu nampaknya digantikan dengan buah fikiran baru seperti Kemahiran Insaniah, Pengajian Asia Tenggara, Tamadun Islam dan macam-macam lagi dimasukkan ke dalamnya. Hal ini dikatakan penting demi keboleh pasaran siswazah.

Beza aliran pemikiran pengasas-pengasas UKM dengan pemikir kurikulum universiti di Malaysia pada hari ini amat nyata. Pemikir pengasas UKM lebih menekankan alat asas kerangka pemikiran (sains, sastera dan Islam) supaya apabila mereka menjadi siswazah nanti, mereka amat celik pelbagai disiplin ilmu guna menyelesaikan pelbagai masalah dunia, sedangkan premis pemikir kurikulum semasa nampaknya lebih kepada mengupayakan mereka menarik perhatian golongan penemuduga yang mewakili majikan.

Pemikir universiti sekarang seperti mengandaikan penemuduga yang mewakili majikan akan memilih calon berpakaian elok dan tidak menjolok mata, warna pakaian yang secocok antara seluar, baju dan kasut, tali lehernya kemas, bercakap sopan, tidak membantah dan banyak lagi aspek-aspek luaran.

Mata pelajaran yang mengandungi semua keperluan itu diajar oleh pensyarah yang tidak perlu kuat disiplin utama ilmu seperti Fizik, Kimia, Sejarah, Matematik, Usuluddin, Syariah atau yang seumpamanya seperti Profesor Ghazali dan Profesor Khoo Kay Kim.

Ringkasnya, pemikir pengasas dulu menekankan keupayaan menggunakan disiplin ilmu, sementara pemikir sekarang menekankan tarikan pandang pertama wakil majikan.

Tujuan saya menyentuh hal ini adalah untuk menghibur kerisauan mengenai adanya siswazah yang tidak dapat berfikir menggunakan disiplin ilmu yang kuat. Sudah empat semester saya kembali mengajar untuk empat angkatan kumpulan pelajar sarjana, saya terasa ada sesuatu perlu dibekalkan sebelum mereka diijazahkan. Aplikasi pelbagai ilmu dalam menyelesaikan pelbagai masalah seperti tidak terisi.

Para pelajar sarjana itu sendiri mengakui terkejut apabila saya lebih menekankan aplikasi pelbagai disiplin ilmu itu dalam menghadapi sesuatu kes. Seperti terkesan tiadanya kerangka pemikiran sains, walaupun mereka sedang mempelajari metodologi penyelidikan peringkat sarjana.

Apabila baru-baru ini saya berbual sambil minum pagi dengan rakan saya Profesor Mustamam Abdul Karim, seorang profesor fizik yang juga bekas Timbalan Naib Canselor Penyelidikan, kepercayaan saya menjadi semakin kuat bahawa setiap mahasiswa mesti dibekalkan dengan alat kerangka pemikiran sains tulen. Mereka mesti diajar beberapa perkara pokok dalam sains, matematik, fizik, astronomi, biologi dan sebagainya.

Amat janggal jika nanti ada seseorang yang mempunyai ijazah Doktor Falsafah dan bertaraf Profesor dalam bidang yang bukan sains di universiti tetapi buta kayu mengenai perkara-perkara asas fizik seperti teori kuantum, relativiti dan chaos, matematik algebra, tidak tahu membezakan antara bintang dengan planet, tidak pernah mendengar tentang milky way, big bang, genetik dan lainnya.

Semasa perbualan kami, Mustamam menyentuh isu Lynas di Gebeng, Pahang yang dipolitikkan oleh ustazah politik yang seperti jahil sains tetapi mendapat sambutan daripada golongan yang dijahilkan oleh ketua-ketua yang memimpin mereka.

Kejahilan mereka pula tidak boleh diperbetulkan oleh orang yang tahu, kecuali dibetulkan oleh salah seorang daripada mereka. Dalam kes Lynas itu negara bernasib baik kerana ada ahli politik yang waras dan merasa resah jika dia tidak menyatakan kebenaran. Tuduhan bahawa projek Lynas di Pahang itu bakal membawa bencana bahan buangan nuklear diperbetulkan oleh Ahli Parlimen Pas Hulu Langat Dr. Che Rosli, yang berkelulusan sains nuklear.

Ini adalah contoh hidup yang amat nyata akan pentingnya setiap rakyat atau siswazah khususnya mempelajari prinsip sains terus ke pangkal disiplin sains berbanding mencuri-curi disiplin itu yang diubah suai menjadi, misalnya, statistik sains sosial atau kaedah penyelidikan kuantitatif tanpa memahami asal usulnya.

Mustamam menerangkan kepada saya hebatnya rare earth yang akan dihasilkan di Lynas yang boleh menjana tenaga untuk kegunaan yang besar dan tempoh panjang bagi Malaysia dan dunia. Pengeluar lain yang ada hanya negara China yang sentiasa mengawal nilai keluaran yang kemudiannya akan memonopoli pasaran. Malaysia akan jadi pengeluar di luar China dan akan dicemburui, tapi ada orang Malaysia tidak melihatnya sebagai rahmat untuk ramai.

Apa pun saya dan Mustamam berjanji bertemu lagi dan berbincang sesuatu mengenainya untuk negara. Beliau ahli fizik dan saya psikologi, terasa seperti menyamai perbincangan antara Einstein dan Freud suatu masa dahulu yang diterbitkan menjadi Einstein-Freud Correspondence untuk cuba memahami mengapa manusia suka berperang, memahami instinct and survival dan memperkukuhkan teori psychodynamic yang berasal daripada teori fizik thermodynamic.

TAN SRI DR. NORDIN KARDI

ialah Penyandang Kursi Za‘ba

di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Tuesday, October 4, 2011

'Lex Loci' Bumi Malaysia


MEMBACA titah diraja Raja Dr. Nazrin Shah pada Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur memang menggamit saya untuk memahami, menganalisis dan mengulas.

Namun, saya tiada keberanian menzahirkannya kerana sebagai orang Melayu kuranglah beradab bersuara sebelum dititahkan. Apabila saya mendapat pesanan ringkas daripada rakan rapat saya yang juga rapat dengan istana memberi isyarat bahawa istana seperti tiada halangan untuk saya menyentuh mengenainya secara terbuka, maka dengan rasa rendah diri, dengan ini memberanikan diri melakukannya.

Banyak perkara disentuh dalam titah itu seperti persejarahan Malaysia, kedudukan raja-raja, kedudukan agama Islam, kedudukan orang Melayu, menghalusi dasar bagi penguatkuasaan Perlembagaan, autoriti institusi dan infrastruktur agama Islam, dan pencerobohan dari kecil hingga yang besar terhadap kesucian agama Islam.

Hodoh adab saya jika sebagai hamba rakyat mengatakan ada cacat pada titah itu, namun sebagai rakyat Malaysia saya merasa titah sedemikian wajar dilebarkan maksud liputan perintahnya, bukan kepada orang Islam semata-mata, mengambil kira maksud semangat bahawa Malaysia adalah negara beraja dan ketua negaranya adalah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang melalui sesuatu musyawarah mewakilkan perintah itu kepada wakil baginda semua, iaitu Raja Dr. Nazrin.

Jika tidak dilihat seperti yang saya maksudkan, maka akan bertemurunlah nanti tafsiran bahawa Raja Melayu itu ialah raja untuk orang Melayu sahaja, sebaliknya raja Melayu adalah raja bagi setiap rakyat jelata yang menghuni bumi Malaysia.

Apabila Raja Dr. Nazrin pada perenggan ke-31 teks titah yang diterbitkan itu menzahirkan klausa lex loci of the land' maka pendirian saya ini terasa kuat akan benarnya.

Jika amalan undang-undang mentafsirkan lex loci sebagai undang-undang di sesuatu tempat maka titah diraja yang menyebutkan Islam sebagai lex loci of the land maka setiap rakyat jelata yang tinggal di bumi Malaysia sama ada mereka Islam atau bukan Islam, Melayu atau bukan Melayu hendaklah menjaga agama atau undang-undang itu walaupun mereka bukan penganut atau bertauhid kepadanya.

Di mana-mana pun, kalau begitu, apabila ada orang bertanya kepada rakyat Malaysia apakah agama negara bangsa kamu, mereka akan lebih dahulu menjawab agama negara bangsa kami ialah Islam. Selepasnya baharu menjawab agama peribadi kami ialah 'b atau c atau d'.

Maksudnya, semua rakyat Malaysia menjunjung, menjaga dan menjayakan suatu agama negara sebagai 'lex loci' termasuk segala peraturan dan pengecualiannya seperti perkenan perintah raja-raja Melayu yang merupakan raja negara bangsa.

Tanggungjawab terhadap perintah itu hendaklah dipatuhi oleh setiap rakyat jelata tanpa kekecualian sama seperti tanggungjawab-tanggungjawab lain sebagai warganegara Malaysia. Secara mudah kewajipan itu boleh difahami seperti wajibnya rakyat Malaysia membawa kad pengenalan di mana-mana sahaja mereka berada di bumi Malaysia dan wajib pula memiliki pasport Malaysia apabila berada di negara orang. Demikianlah kedudukan Islam sebagai lex loci bumi Malaysia.

Secara jelas titah itu menyebutkan bahawa Tanah Melayu yang diambil oleh Inggeris kemudian dipulangkan kembali kepada empunya tanah itu iaitu raja-raja Melayu. Dalam keadaan itu, raja-raja Melayu boleh memerintah negeri masing-masing dengan pemerintahan beraja mutlak tetapi raja-raja Melayu kemudiannya begitu pemurah menyerahkannya kepada rakyat untuk diurus setelah negara ditebus mengikut suatu tatacara yang dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Sehinggakan, raja-raja sanggup menyerahkan kuasa mengurus diri baginda-baginda sendiri pun kepada Perlembagaan itu. Perlembagaan itu menetapkan kewajipan-kewajipan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ditafsirkan dalam bahasa Inggeris sebagai Supreme Head, Supreme Ruler atau boleh juga Paramount Ruler bagi menggambarkan adanya ruler yang lain yang diwakili baginda. Secara teori dan yang tertulis dalam Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa eksekutif tetapi baginda melaksanakannya atas nasihat atau dilaksanakan oleh Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri yang kemudiannya menjawab pula di Parlimen atas pelaksanaan kuasa Yang di-Pertuan Agong itu.

Yang di-Pertuan Agong adalah antara segelintir Raja Pemerintah di dunia yang terlantik secara pemilihan dari kalangan raja-raja Melayu yang bermesyuarat apabila pemerintahan Yang di-Pertuan Agong tamat tempoh atau mangkat.

Oleh sebab raja-raja telah menyerahkan kuasa kepada rakyat melalui Perlembagaan, maka Perlembagaan telah mengatur cara-cara raja melaksanakan tanggungjawab baginda. Dua cara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan ialah: (1) budi bicara tanpa perlu persetujuan sesiapa pun dan, (2) melaksanakan sesuatu kuasa selepas dinasihati oleh Perdana Menteri atau Persidangan Raja-Raja.

Budi bicara Yang di-Pertuan Agong termasuk menentukan masa Persidangan Raja-Raja, pembubaran Parlimen dan yang penting pelantikan Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong boleh melantik sesiapa sahaja menjadi Perdana Menteri tanpa mengira parti jika pada pendapat baginda orang itu akan mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Jika orang yang dilantik baginda itu diundi tidak percaya oleh Dewan Rakyat maka Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara seterusnya untuk melantik pula seseorang yang lain. Di satu lagi cabang Parlimen, iaitu Dewan Negara, 44 orang ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Oleh sebab Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh raja-raja Melayu itu Ketua Utama Negara maka setiap rakyat yang berkhidmat untuk rakyat adalah melaksanakan tugas bagi pihak baginda semua. Ini jelas apabila Perlembagaan Negara perkara 132 berkaitan perkhidmatan awam menyebut bahawa semua perkhidmatan awam meliputi: (a) angkatan tentera; (b) perkhidmatan kehakiman dan perundangan; (c) perkhidmatan awam am Persekutuan; (d) pasukan polis; (e) dimansuhkan; (f) perkhidmatan awam bersama yang disebut dalam Perkara 133; (g) perkhidmatan awam setiap negeri; dan (h) perkhidmatan pendidikan, semuanya menjalankan tugas untuk kebajikan awam bagi pihak Yang di-Pertuan Agong.

Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong yang mewakili raja-raja Melayu itu berkuasa terhadap semua cabang pentadbiran negara yang merangkumi legislatif, judicial dan eksekutif.

Tidak juga boleh dilupakan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan negara juga adalah terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong kerana Perlembagaan memperuntukkan bahawa baginda adalah Supreme Commander angkatan tentera.

Apa yang saya cuba ketengahkan ialah, tidak mengapalah jika ada tafsiran dalam bentuk sejarah yang lain, Yang di-Pertuan Agong ialah raja bagi sekalian warganegara Malaysia, bukan raja bagi orang Melayu atau orang Islam sahaja. Maka titah diraja hendaklah menjadi titah kepada sekalian warganegara rakyat jelata.

Jika titah itu mewakili Yang di-Pertuan Agong seperti yang disebut oleh baginda Dr. Raja Nazrin maka titah itu sewajarnya mempunyai tafsiran dan kuasa eksekutif untuk dilaksanakan oleh Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri melalui peraturan-peraturan atau cara-cara yang boleh dan tidak pula bertentangan dengan Perlembagaan; oleh judicial yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara dan oleh legislatif yang mempunyai segala tatacaranya sendiri untuk menjadikan titah itu sesuatu undang-undang negara.

Demikian perasaan saya terhadap titah diraja itu dengan melihat bahawa raja-raja Melayu adalah penguasa, hakim dan penguat kuasa lex loci di bumi Malaysia seperti yang dinyatakan oleh Dr. Raja Nazrin. Namun begitu raja-raja pernah mengingatkan supaya kuasa raja-raja tidak dipohon kuasa eksekutifnya hanya apabila keadaan menjadi getir sedangkan dalam keadaan mewah dan riang raja-raja hanya dijadikan simbol dan penyeri acara rasmi.

Raja-raja adalah di atas sekalian rakyat jelata sama ada Islam atau bukan Islam. Melayu atau bukan Melayu. Maka setiap titah diraja berkaitan negara yang diperintah moleklah tidak ditujukan berulang-ulang hanya kepada orang Melayu atau orang Islam.

Teringat saya dahulu semasa menerima surat rasmi ditawarkan masuk ke universiti pada awal tahun 1970-an, sampul suratnya tertulis 'Urusan Seri Paduka Baginda'. Demikian juga apabila saya mendapat tawaran pekerjaan. Seluruh kampung yang melihat surat 'Urusan Seri Paduka Baginda' akan riuh kerana surat itu selalunya diletakkan di kedai terdekat dengan jalan raya. Penerimanya baik Melayu, Cina atau India, baik Islam, Kristian, Hindu, Buddha atau Pagan akan sama ada ketakutan atau berseri-seri wajah kerana isi surat dari sampul yang bercetak demikian. Masih adakah sampul surat sedemikian sekarang? Jika tiada, siapa mengubahnya?

Dulu sebelum 1996 Naib Canselor Universiti apabila dilantik akan menerima watikah perlantikan daripada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Sekarang, memadailah nampaknya surat daripada Menteri atau Ketua Setiausaha Kementerian sahaja bagi pihak Menteri. Ada orang kata "ah, itu simbolik sahaja, tidak penting". Tidak mengapalah. Ampun Tuanku!

Tuesday, September 20, 2011

Pilih Kemerdekaan atau Demokrasi?


SUDAH lebih setengah abad Malaysia secara rasmi mengisytiharkan dirinya merdeka. Pada usia setengah abad itu Malaysia telah menempuh pelbagai peristiwa yang mematangkan warganegaranya.

Sepanjang tempoh itu selain daripada membangun fizikal dan ekonomi, warganegara juga membangun budaya dan cara berfikir. Budaya dan cara berfikir itu, setakat usia setengah abad, masih lagi kelihatan adanya sambung-menyambung antara pemikiran budaya dan pemikiran tradisi tempatan dengan pemikiran budaya dan pemikiran global.

Kemasukan pemikiran global ke dalam masyarakat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu, bukan perkara baharu. Masyarakat Melayu yang terkenal dengan sifatnya yang sangat fleksibel boleh menerima apa sahaja budaya dan pemikiran dari luar setelah melalui tapisan semula jadi oleh budaya dan adat tempatan. Ini meliputi kemasukan pengaruh seni dari luar seperti dalam bidang perfileman, muzik, lukisan dan kesusasteraan. Tidak ketinggalan pengaruh luar dalam hal keagamaan seperti kemasukan pelbagai mazhab di bawah Sunnah Wal Jamaah, Qadariah, Jabariah, Syiah, Muktazilah kaum muda dan pelbagai lagi.

Demikian juga dengan kemasukan ideologi seperti kapitalis, sosialis, komunis, demokrasi dan apa saja yang ada di dunia dan diikuti pula oleh kemasukan pelbagai cara pergerakan politik dan sosial. Semua itu masuk melalui tapisan semula jadi budaya dan adat untuk disesuaikan dengan kehidupan tempatan. Setakat masa lalu, kemasukan itu seperti ditapis oleh suatu autoriti yang tidak begitu ketara tetapi terasa kewujudannya dan diterima pula kemudiannya oleh semua pihak.

Namun, sekarang dengan adanya teknologi maklumat dan komunikasi yang sangat pantas, kemasukan itu seperti tidak dapat lagi ditapis oleh apa-apa autoriti. Kemasukan itu sampai ke bilik tidur peribadi setiap individu warganegara tanpa tapisan. Hal ini menjadikan perkara baru yang masuk itu diberi tafsiran oleh setiap individu tanpa mengira kapasiti atau keupayaan intelektual dan pengalaman individu itu yang berbeza-beza tahapnya. Hasilnya, walaupun tidak diisytiharkan secara rasmi, setiap individu itu melakukan ijtihad persendirian tanpa mengira sama ada dia memiliki ciri atau syarat yang membolehkannya bertindak demikian.

Jika dalam masyarakat Islam Melayu tradisi, dipersetujui bahawa tidak semua orang boleh berijtihad tentang sesuatu perkara yang memerlukan keputusan dan dengan yang demikian itu mereka yang tidak memenuhi ciri atau syarat bersetuju untuk menyerahkan tafsiran kepada pihak yang diterima dan dianggap sebagai memilikinya.

Autoriti yang menerima kuasa itu berupa sama ada pemimpin agama tidak formal sesuatu lokaliti atau pejabat pentadbiran yang ditubuhkan oleh sesuatu autoriti rasmi agama pada peringkat negeri atau persekutuan. Pemimpin agama tidak formal itu pula biasanya akan akur dan tunduk apabila dalam sesuatu keadaan keputusannya dibatalkan oleh autoriti rasmi.

Hari ini keadaan menjadi sebaliknya. Autoriti rasmi seperti kehilangan kuasa dan sebaliknya autoriti tidak formal telah mengambil alih tempat itu. Keputusan autoriti formal yang sering kali bermain pada peringkat atas dan permukaan akan dengan mudah dibatalkan oleh autoriti tidak formal. Autoriti tidak formal itu pula tidak semestinya bersifat batang tubuh manusia secara hadir, sebaliknya muncul menjawab persoalan dan membuat keputusan melalui media maya.

Kebijaksanaan lama yang mengatakan 'untuk mendapat ilmu yang muktabar seseorang itu harus berguru dengan seseorang ahli ilmu, jika tidak seseorang itu berguru dengan syaitan' sekarang hanya dijadikan bahan gelak ketawa. Dengan keadaan sedemikian, orang Melayu Islam di Malaysia sekarang akan mudah menerima dan percaya pelbagai perkara yang sumbernya memadai daripada maklumat yang dilekatkan di dinding facebook seperti Dajjal turun di Iran, kiamat akan terjadi pada tahun sekian-sekian, makanan yang dulu halal menjadi haram, orang yang dulunya dianggap pengganas sekarang dianggap 'hero', sejarah ditulis dengan tidak betul dan banyak lagi. Keputusan dibuat oleh penerima hampir serta-merta sambil berbaring di atas katil sebelum tidur dengan berbantukan alat komunikasi mudah alih yang sangat kecil.

Begitulah nampaknya pada hari ini di Malaysia dan di mana-mana jua cara kemerdekaan itu ditafsir. Kemerdekaan sudah menjadi pelbagai erti, sehingga oleh kerana terlalu banjir dengan definisi, kemerdekaan menjadi kehilangan erti.

Perkataan kemerdekaan dikupas, dibincang dan perkembangkan mengikut selera individu dan tidak sedikit yang disalahgunakan dan diolah secara yang tidak jujur. Tiba-tiba kemerdekaan membawa erti positif dan negatif bergantung kepada siapa individu yang menggunakannya.

Oleh sebab tafsiran luar lebih deras arus dan gelombangnya disertai dengan teknologi hama berkuasa halilintar, maka tafsiran luar menjadi lebih benar berbanding tafsiran tempatan. Slogan yang dijulang sekarang bukan lagi kemerdekaan tetapi kebebasan. Riuh-rendah orang Malaysia memperjuangkan demokrasi yang disamakan dengan kebebasan sehingga mereka lupa bahawa demokrasi dan kebebasan itu tidak sama. Oleh sebab kebebasan itu bagus, maka kepada mereka demokrasi itu juga mesti bagus.

Mereka lupa bahawa demokrasi tafsiran luar itu hanyalah hukum majoritisme. Sebagai contoh, pilihan raya demokrasi tajaan Amerika Syarikat di Iraq telah mengubahnya daripada negara Sunnah kepada negara teokrasi Syiah sebagai pelebaran apa yang sudah kuat di Iran melalui hukum majoritisme itu. Pelebaran ini nampaknya terus menjalar sama seperti kejayaan Israel melebarkan sempadannya di bumi Arab melalui bantuan kuasa yang sama.

Jika dahulu hanya Israel yang mengimbangi kuasa Islam di Asia Barat sekarang pengimbang kuasa adalah antara Sunnah dan Syiah. Menarik dilihat, adakah orang Arab di wilayah mereka sekarang sedang berjuang untuk demokrasi atau berjuang untuk kebebasan tetapi hilang kemerdekaan? Jika konsep ini difahami, dari awal lagi disedari bahawa kebebasan yang diperjuangkan dan demokrasi yang dilaungkan tidak selalu sekufu.

Apakah kemerdekaan yang diperjuangkan di Malaysia? Kemerdekaan daripada siapa dan untuk apa? Segolongan mengatakan Malaysia telah merdeka mulai 1957 dan sebahagian lagi ada yang mengatakan Malaysia sememangnya tidak pernah tidak merdeka. Tafsiran kedua sangat menarik dan memberi baja untuk idea baru muncul iaitu yang diperjuangkan sekarang bukan kemerdekaan tetapi demokrasi. Kata mereka ini, Malaysia memang sentiasa merdeka tetapi demokrasinya yang tiada.

Peduli apa dengan kemerdekaan asalkan dapat mencapai kebebasan yang disamakan dengan demokrasi. Baikkah untuk Malaysia atau akan burukkah? Itu juga tidak penting, yang penting ialah idea baru ini mesti dicuba. Ini adalah autoriti baru mentafsir kebebasan. Mungkin inilah roh kemerdekaan yang cuba ditiup oleh segolongan warganegara Malaysia pada bulan Ogos hingga September 2011.

Demikianlah apabila kebebasan dilihat hanya dari jelingan politik. Seperti tidak ada ruang bahawa kemerdekaan itu adalah untuk memberi kebebasan seimbang kepada setiap warganegara memilih dan menerima bahawa di negara merdeka akan ada sedih, akan ada rasa marah dan akan ada rasa gembira dengan tanggungjawab sendiri.

Individu bebas hendak makan apa dan hendak makan di mana. Bebas untuk memilih masa hendak bercakap dan memilih masa untuk mendengar. Bebas memilih sama ada hendak menjadi pembeli atau penjual. Bebas memiliki harta kepada yang berkehendak kepadanya. Bebas hendak belajar sehingga setinggi mana pun. Bebas hendak bekerja apa mengikut keupayaan sendiri. Bebas memilih hendak hidup bermajikan atau hidup sebagai tuan.

Bebas juga untuk menentukan sama ada hendak berkeluarga sendiri dan selepasnya bebas pula memilih berapa bilangan ahli keluarga yang hanya tertakluk kepada hukum alam bukan oleh sekatan kuasa negara seperti yang dikuatkuasakan oleh negara yang jauh dan dekat dengan Malaysia. Bebas untuk memilih Tuhan yang hendak disembah.

Paling penting kepada saya ialah memilih ingin bangun awal setiap pagi melihat fajar menyingsing melalui langsir tingkap rumah kecil saya dengan tidak perlu terintai-intai kalau-kalau akan ada muncung senapang meledakkan pelurunya melalui tingkap itu. Saya juga ingin terus dapat bebas berdoa agar mudah-mudahan Tuhan melindungi dan mengampunkan kedua-dua arwah ibu bapa saya atas apa jua derhaka mereka kepada-Nya.

Saya mohon Tuhan juga terus mengizinkan saya dan anak cucu saya membuat kebaikan sebanyak-banyaknya kepada manusia lain agar ganjaran kebaikan itu semua jika ada akan kami hadiahkan kepada arwah-arwah yang telah pergi. Akan masih adakah lagi semua ini?

Wednesday, September 14, 2011

Bahasa dan Pengajian Tinggi Melayu

Bahasa dan pengajian tinggi Melayu

PADA Hari Raya kedua, saya menerima dua pesanan ringkas daripada dua orang rakan yang mengharukan perasaan saya. Satu daripada Dinsman, rakan saya bermain teater pada tahun 1970-an dan 1980-an dan satu lagi dari Datuk Seri Anuar Zaini rakan serumah dan sepengajian semasa saya belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, di Jalan Pantai Baru, juga pada tahun 1970-an.

Dinsman memberitahu saya tentang meninggalnya Pengerusi Yayasan Karyawan Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Anuar pula mengenai pemergian Tan Sri Dr. Abd Shukor Abdullah, Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga dahulunya Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Kali terakhir saya berjumpa dan bercakap dengan Abd Shukor ialah pada 20 Ogos 2011 di Istana Kuala Kangsar semasa berbuka puasa dengan Pemangku Raja Perak. Kali terakhir saya bercakap banyak dengan Hassan Ahmad, kalau tak silap ingatan ialah ketika saya menganjurkan Sidang Meja Bulat di Ibu Pejabat Biro Tatanegara yang dihadiri antara lain oleh YB Dr. Zulkifli Ahmad, pada masa itu Ketua Biro Penyelidikan Pas Pusat, Profesor Datuk Firdaus Abdullah (Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka), Datuk Salleh (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), arwah Profesor Nik Anuar (ahli sejarah) dan Profesor Dr. Abdullah Hasan (ahli bahasa) yang kemudian saya temui semula di UPSI.

Tentulah dalam setiap pertemuan formal dengan Abd Shukor dan nama-nama yang saya sebutkan, isu patriotisme biasanya menjadi bahan bualan. Semasa sidang meja bulat itu kami mengedarkan gambar Tok Janggut disula dan pesanan Aminuddin Baki tentang Pendidikan Melayu. Saya gembira kerana dua dokumen itu: gambar Tok Janggut disula dan dokumen tulisan tangan Aminuddin Baki, sekarang diminati dan dimiliki banyak pihak berbanding sebelumnya.

Hassan Ahmad di satu pihak sangat vokal mempertahankan pendiriannya tentang kedudukan bahasa Melayu dalam negara. Meskipun beliau bukan seorang orator yang cemerlang tetapi usahanya sangat lantang. Semasa kes penggunaan bahasa Inggeris bagi mengajar sains dan matematik di sekolah, beliau tampil menegur kerajaan dengan suara yang keras dan secara berkumpulan. Beliau dan kumpulannya, melalui pelbagai cara, berjaya memenangkan pendirian mereka.

Menteri Pendidikan, yang juga Timbalan Perdana Menteri, akhirnya mengumumkan yang kedua-dua mata pelajaran itu akan kembali diajar dalam bahasa Melayu. Saya percaya banyak pihak yang sependirian memberi sedikit sebanyak kredit kepada kejayaan usaha Hassan Ahmad.

Abdul Shukur pula tidak memperlihatkan dampingannya dengan mana-mana kumpulan atau aktivisme. Selepas bersara daripada jawatan Ketua Pengarah Pelajaran, Abd Shukur terus bekerja dalam memajukan pendidikan bersama Yayasan al-Bukhari dan lain-lain. Antara yang dia masih terlibat sehingga akhir hayatnya ialah menjadi Pro-Canselor UPSI dan Ahli Lembaga Pengarah, Kolej Islam Darul Ridzwan, Perak.

Dalam mesyuarat-mesyuarat di Kolej Darul Ridzwan, yang saya juga salah seorang Ahli Lembaga Pengarahnya, Abd Shukur tidak tidak sama sekali menggunakan kaedah mendesak apabila dia mengetengahkan pendapatnya, namun tidak bermakna perkara yang disuarakannya tidak didengar.

Pada petang 20 Ogos di Istana Kuala Kangsar itu saya dapat berbual panjang juga dengan Allahyarham Abd Shukur kerana majlis bermula sedikit lewat kerana banyak tamu yang tersangkut di kesesakan jalan raya bagi melepasi jambatan Sungai Perak yang sedang diubah suai. Antara yang beliau suarakan kepada saya ialah kebimbangannya tentang institusi pengajian tinggi milik negeri-negeri. Antara lain beliau ada menyebut bahawa dalam hal pengajian tinggi negeri, pemimpin parti-parti Melayu dan Parti orang Tamil agak sama. Katanya, orang Melayu dan orang Tamil mempolitikkan pengajian tinggi mereka.

Beliau memetik peristiwa di Kolej Universiti Insaniah di Kedah dan UNISEL di Selangor. Sebaliknya, mengikut pengamatan beliau parti-parti Cina tidak kelihatan mempolitikkan pengajian tinggi mereka. DAP misalnya, tidak memukul apalagi berebut dengan Gerakan dalam mengurus Universiti Terbuka Wawasan dan tidak juga berbuat demikian dalam kes Kolej Tunku Abdul Rahman, yang hampir menyerupai institusi separuh kerajaan, serta UTAR yang terus berkembang dengan aman tanpa gangguan politik kepartian.

Tentulah sebagai ahli lembaga pengarah Kolej Islam Darul Ridzuan beliau amat tahu apa yang terjadi kepada kolej itu apabila teraju kepimpinan Perak bertukar daripada Tajul Rosli kepada Nizar dan kemudian kepada Menteri Besar yang sekarang.

Saya tidak menulis belasungkawa kedua-dua tokoh Melayu yang baharu saja meninggal pada hari yang sama itu. Yang saya cuba ketengahkan ialah pendidikan Melayu dan bahasa Melayu yang sering menjadi isu politik. Ada masanya isu itu menjadi aset dan ada masanya isu itu menjadi liabiliti kepada politik Melayu.

Saya juga ingin mengetengahkan dua mazhab pemimpin Melayu yang 'bukan politikal' dalam memberi pendapat. Hassan Ahmad mewakili mazhab yang menggunakan pendekatan aktivisme berkumpulan dan Abd Shukur menggunakan pendekatan berbincang dengan kawan-kawan dan menanjangkannya dari mulut ke mulut.

Hassan Ahmad bersemangat seperti api yang menjalar dan Abd Shukur pula seperti air yang mengalir dari ulu ke kuala mengikut lenggok dan profil sungai yang dilaluinya.

Abd Shukur sehingga pemergiannya terus mengikat dirinya dengan kerajaan yang memerintah tetapi Hassan seperti memilih untuk dikenali sebagai orang yang mempunyai pemikiran yang tersendiri dalam hal kenegaraan dan kerap pula cenderung bersama kumpulan yang tidak sehaluan dengan kerajaan yang memerintah.

Selepas Hassan tiada lagi pemimpin kerajaan juga mengiktiraf sumbangan Hassan sebagai bekas pegawai tinggi kerajaan dan juga pejuang bahasa. Timbalan Perdana Menteri sendiri mengeluarkan pernyataan yang menyanjung Hassan.

Kedua-dua tokoh ini telah tiada. Sesuai dengan kedudukan mereka semasa mereka hidup dengan cergas, tentulah banyak amal baik yang mereka tinggalkan untuk orang kemudian. Mereka memilih cara masing-masing. Ini semua menjadi teladan kepada bangsanya yang masih meneruskan kehidupan di bumi Malaysia.

Yang masih hidup boleh memilih mana-mana mazhab yang dianuti oleh kedua-dua tokoh yang telah meninggalkan bangsanya. Menjadi kumpulan pendesak itu suatu pilihan dan menjadi rakan pemerintah juga suatu pilihan. Kerap kali pilihan itu disesuaikan dengan personaliti masing-masing. Api berguna dan air juga berguna. Api boleh memanaskan air dan air juga boleh memadamkan api kecuali jika sumber api itu dari elemen yang lain daripada kebiasaan.

Entah secara kebetulan dalam banyak kawan saya dalam kedua-dua mazhab itu, dua nama yang signifikan kepada saya mengirim pesanan tentang meninggalnya dua tokoh yang saya sebutkan. Dinsman seperti Hassan mewakili api yang menjalar dan Anuar pula mewakili air yang mengalir. Namun saya mengenali kedua-duanya.

Dinsman pernah membela saya dalam tulisannya di akhbar yang tidak bersama kerajaan dan Anuar kerap mengkritik pemerintah dengan lantang dan berani dalam sesi yang saya pernah hadiri bersama. Namun, Anuar, seberaninya itu seperti tidak pernah meleraikan ikatan dirinya dengan pemerintah berbanding Dinsman.

Kedua-duanya ada aliran yang diikuti tetapi mereka masih bebas. Itu yang membuatkan saya seperti merasa aman bahawa akan ada yang meneruskan gaya Abd Shukur dan gaya Hassan Ahmad. Janganlah pula ada yang menghalang saya daripada berdiri di tengah antara mereka berdua.

Erti Perjuangan Mulia Islam



Erti perjuangan mulia Islam

SEDANG orang Islam sepatutnya meraikan hujung Ramadan dan gembira menyambut sinar satu Syawal, orang Islam di Libya mengamuk saling membunuh sesama bangsa dan sesama seagama.

Sedang orang Melayu-Islam di Malaysia sibuk menulis dan bertengkar di laman-laman sosial atau blog tentang tanda-tanda lailatulqadar yang ditunggu-tunggu, orang Libya yang juga berhajat menyambut malam yang menyamai kebaikan seribu bulan itu ditimpakan ‘neraka dunia’.

Yang menang berdiri tegak dengan sombong menggalas senapang buatan Amerika dan Eropah dan yang tumpas pula dihina selain dari meninggalkan isteri atau anak kecil menjadi balu dan yatim. Tidak pastilah sama ada yang menang atau yang kalah di Libya itu sempat mengerjakan sunat tarawih yang juga sibuk didebatkan oleh orang Melayu sama ada lapan rakaat atau dua puluh.

Rejim Gaddafi adalah rejim Islam terbaru yang dikatakan dijatuhkan ‘rakyat’ dengan senapang berjenama luar negara. Dengan serta-merta negara-negara pembuat senapang itu mengisytiharkan pengiktirafan terhadap golongan pemberontak yang menamakan diri mereka sebagai Majlis Peralihan Negara atau National Transitional Council (NTC).

Berikutan dengannya, Britain dengan serta-merta menghalau diplomat rasmi negara Libya dan menjemput NTC mengambil tempat diplomat itu dan bersedia pula membuka semua RM149 juta harta Libya yang selama ini dibekukan di negara penjajah itu. Amerika Syarikat dan 30 negara lain juga segera memberi pengiktirafan kepada NTC dan membebaskan harta Libya yang bernilai berbilion dolar AS. Austria mengumumkan akan mencairkan 1.2 bilion EU dan akan memindahkannya kepada NTC.

Cepat benar mereka memberi pengiktirafan itu berbanding melayan rayuan Palestin yang bertahun-tahun supaya diterima sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat yang sehingga sekarang tidak diendahkan. Banyak petunjuk yang boleh dipelajari darinya.

Cerita negara-negara Islam seperti cerita penuh kemerosotan, kehancuran dan kerapuhan. Hampir tidak ada lagi satu sistem yang bertahan hingga seratus tahun di dalam sesebuah negara Islam. Jatuh menjatuhkan, guling menggulingkan berlaku secara berterusan. Indonesia sebagai sebuah negara Islam terbesar di dunia dengan penduduk 235 juta, merdeka dengan susah payah pada tahun 1949, selepasnya telah bertukar tiga rejim melalui sistem peralihan yang setiap kali caranya berlainan.

Pakistan (merdeka 1947) pada asalnya adalah negara Islam yang lebih besar daripada Indonesia dengan jumlah penduduk lebih 300 juta. Akibat peperangan saudara (1971), Bangladesh mengecilkan Pakistan kepada 165 juta dengan membawa keluar sebanyak 150 juta penduduk. Mesir (merdeka 1922), sebuah negara bertamadun tua, dengan penduduk lebih 80 juta sekarang dijajah semula untuk kesekian kalinya. Demikianlah negara Islam dipecahkan dari dalam dengan senapang buatan luar, sehingga kian hari kian menjadi unit-unit kecil.

Krisis dalam negara berlaku dalam banyak lagi negara Islam lain termasuk Algeria, Chad, Guinea (rampasan kuasa 2008), Kyrgyzstan, Niger (rampasan kuasa 2010), Nigeria, Somalia, Sudan, Tajikistan, Mali dan sekarang gangguan itu jangkit menjangkit di Timur Tengah sehingga ke Arab Saudi ‘penjaga Ka‘bah’ itu.

Merenung hal ini, ada sarjana Islam yang menghujah bahawa Islam seharusnya begitu. Orang Islam hendaklah tidak mengutamakan semangat kenegaraan bersempadan kerana semangat sedemikian bakal membawa seseorang itu tergolong dalam golongan asabiyah yang tidak diiktiraf oleh Nabi Muhammad sebagai umatnya. Oleh yang demikian orang Islam di seluruh dunia mesti menganggap diri mereka sebagai ‘wahdatan ummah’ atau umat yang satu. Negara tidak penting, tetapi kesatuan ummah hendaklah sentiasa menjadi teras perjuangan setiap orang Islam. Mereka seolah-olah tidak menghiraukan fakta sejarah bahawa semangat kenegaraan dan keislaman yang digabungkan itulah yang telah berjaya menghalau penjajah dari bumi mereka, bukan yang semata-mata berdiri di atas slogan kesatuan ummah. Sedangkan, kesatuan ummah yang ditunggu seperti tidak akan tiba.

Tuesday, August 23, 2011

Kebenaran atau Kejahilan





PADA hujung minggu lalu, saya menerima pesanan melalui rakan saya, Kori bahawa seorang rakan lama yang mengikuti siri tulisan saya di Utusan Malaysia mencadangkan supaya menulis mengenai tradisi ilmu Islam bagi menentukan ketepatan sesuatu maklumat yang sekufu dengan kaedah saintifik moden.

Rakan yang saya maksudkan ialah Wahab Jusoh, seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang sekarang diletakkan di Jabatan Perkhidmatan Awam setelah ditukar serta-merta dari sebuah jabatan lain.
Saya kenali Wahab sebagai pegawai PTD yang sangat berdedikasi, jujur, setia kepada pemerintah dan tahap kesedaran tentang kesejahteraan negara adalah tinggi melampaui keghairahan rakan-rakan PTD lain yang saya pernah temui.

Ini diakui oleh bukan sahaja ketua-ketua beliau yang saya pernah berbual tetapi juga oleh rakan-rakan sebaya beliau. Demikian juga pengakuan mereka yang pernah bekerja di bawahnya. Jika beliau melalui Ujian Prestasi 360 Darjah yang saya pernah lalui di Universiti Harvard, saya yakin skor beliau akan lebih tinggi daripada skor saya.

Namun, Wahab seperti tidak dianugerahi pelbagai nikmat atas wibawanya itu dan pendakian kerjayanya seperti melalui jalan sukar. Mungkin nasib beliau sama dengan gagalnya kami semasa remaja mendaki puncak Tahan di Banjaran Titiwangsa tetapi dengan mudah menakluk puncak Kinabalu yang jauh lebih tinggi.

Demikianlah iktibar kehidupan yang perlu direnung: Bukan semua usaha mendapatkan yang rendah itu mudah dan semua yang tinggi itu pula susah. Suatu paradoks tentang kebenaran.
Panjang saya bercakap mengenai Wahab. Penting sangatkah beliau? Mungkin tidak penting kepada kebanyakan orang tetapi penting kepada saya dalam konteks isu yang beliau bawa dan kebolehpercayaan tubuh yang membawa isu itu.

Wahab bimbang dengan keadaan semasa segolongan rakyat Malaysia yang begitu mengambil ringan tentang kesahihan maklumat, rumusan dan kesudahannya membina pendirian tentang sesuatu kebenaran. Wahab risau adakah golongan itu mempunyai apa-apa kaedah dalam memastikan apa yang mereka percayai sebagai benar itu memang betul-betul benar? Atau, ‘kebenaran’ mereka itu hanyalah suatu elusi, delusi atau tahyul.

Tidakkah mereka takut nanti akan menjadi perosak, bukan pejuang kebaikan di muka bumi? Tidakkah mereka takut bahawa kebebasan abadi yang mereka perjuangkan itu rupa-rupanya suatu perjuangan menjerumuskan diri menjadi abdi kepada kuasa kezaliman yang jauh menyimpang dari pengabdian suci kepada Tuhan. Demikian fikiran Wahab yang saya dapat baca.

Golongan yang dimaksudkan oleh Wahab ini selalu pula menyeru bahawa kebenaran hanya boleh ditegakkan jika semua orang kembali kepada Quran dan Sunnah. Namun sangat sedikit yang rajin meneliti bagaimanakah tradisi ilmu mengumpul himpunan Sunnah itu sendiri.

Pemimpin mereka pula seperti dengan sengaja tidak mendorong ahli yang dipimpin mempelajari dan menyemak bagaimana cara mencari kebenaran. Mungkin mereka pun tidak pernah mendengar bagaimana hadis Bukhari dikumpul selama 16 tahun oleh seorang manusia dengan menapis kira-kira 600,000 riwayat, yang kesudahannya hanya tinggal kira-kira 2,600 riwayat sahaja.

Demikianlah rapinya tradisi mencari kebenaran hadis walaupun yang diriwayatkan itu berkaitan dengan perbuatan dan kata-kata seorang manusia yang maksum. Sudah tentu daripada 600,000 riwayat itu terdapat ribuan riwayat yang baik-baik mengenai Nabi tetapi ditolak.
Adakah tradisi ini dipegang oleh golongan ini, termasuk oleh ilmuwan mereka yang terdiri daripada ahli-ahli teologi dan saintis? Atau, adakah mereka hanya fasih menyebut prinsip dan metodologi teologi dan sains di makmal atau semasa menghadap kitab, sebaliknya apabila berada di jalan raya atau di pasar mereka menjadi bomoh yang terikat dengan tradisi pasaran perbomohan dan perdukunan yang berminat dengan cerita hantu dan tahyul bagi mengikat pelanggan-pelanggan.

Sains menekankan tentang pentingnya metodologi yang tepat dan boleh dipercayai bagi memastikan sesuatu rumusan, kesimpulan dan dapatan itu diterima sebagai betul dan benar. Sama ada kaedah kualitatif atau kuantitatif dalam sains, kedua-duanya meletakkan kepentingan bukti sesuatu penemuan itu melalui proses yang rigor, tepat dan boleh dipercayai. Juga, ada prinsip-prinsip yang ketat untuk menolak atau menerima sesuatu anggapan kebenaran.

Dalam hal ini, saya selalu bercakap mengenai ketepatan ukuran statistik di dalam sains yang kadangkala gagal dilihat dalam sesuatu konteks. Seorang penyelidik sains sosial misalnya sudah cukup berpuas hati jika darjah kemungkinan salah (degree of error) berada pada tahap hanya lima peratus.


Maksudnya dalam 100 kejadian, 95 daripadanya adalah benar seperti diramal.
Namun, saya kerap menyoal, jika di KLIA itu degree of error yang dipakai ialah 95 peratus tepat, saya pasti tidak akan ada sesiapa lagi yang berani berangkat terbang dari lapangan terbang itu. Maksud saya, dalam 100 keberangkatan terbang, lima kapal terbang akan kebarangkalian jatuh.


Demikian pentingnya kebenaran dan ketepatan tafsiran statistik dilihat dalam konteks walaupun angka-angka yang dikemukakan seperti amat meyakinkan.
Tradisi mencari kebenaran dalam dunia Islam biasanya merujuk tradisi pengumpulan hadis kerana ia dikumpul oleh manusia biasa sedangkan al-Quran itu pula disampaikan oleh manusia yang maksum. Prinsipnya menyamai atau melebihi daripada tradisi sains yang saya ketengahkan secara ringkas sebentar tadi.

Pengumpulan hadis Bukhari, misalnya dikatakan mempunyai sifat ‘al-jamil’ kerana himpunan itu meliputi pelbagai perkara atau mengikut bahasa ilmu sekarang dipanggil sebagai komprehensif. Dalam konteks ini kita perhatikan bagaimana ahli ilmu di Malaysia sanggup bertegang urat, bahkan ada kalanya menjulang lengan ke udara, untuk menegakkan pendapat yang dianggapnya benar.
Pada hal, kebenaran yang dimilikinya itu sangat terhad kepada disiplin kecil ilmu yang dikuasainya, bukan kebenaran memenuhi ciri ilmu komprehensif. Dia pula dengan berani memetik cebisan hadis atau ayat-ayat Quran yang dipilih-pilih bagi memenangkan hujahnya.

Jika tradisi sains menekankan tentang ketepatan atau validity, tradisi hadis juga ada istilah yang dipanggil ‘sahih’. Menentukan ‘sahih’ dalam tradisi hadis bermaksud bahawa sesuatu riwayat itu telah melalui tapisan yang sangat ketat dari segi dokumen, periwayat, konteks riwayat itu dicatat atau didengar dan pelbagai lagi.

Dalam kaedah kualitatif sains sosial kesahihan dilakukan dengan kaedah seperti analisis kandungan, analisis dokumen, pengesanan tarikh, saksi-saksi kejadian dan triangulasi atau proses saling melengkapi antara dapatan dengan menggunakan pelbagai sumber dan kaedah pengumpulan dan analisis data bagi memastikan sesuatu itu benar-benar sahih.
Tepat semata-mata masih belum mencukupi di dalam tradisi hadis, sebaliknya riwayat itu ditapis lagi dengan apa yang dipanggil sebagai ‘al-musnad’. Di dalam sains istilah itu boleh disamakan dengan ukuran reliability. ‘Al-musnad’ melengkapkan ketepatan sesuatu riwayat dengan memastikan susur galur riwayat itu benar-benar rantaiannya sampai kepada Nabi. Jika putus, maka riwayat itu ditolak. Selepas dipastikan rantaian itu sampai kepada Nabi, disemak pula peribadi periwayat.

Jika periwayat itu biasa bercakap bohong dan kerap meninggalkan tanggungjawabnya kepada Tuhan, maka riwayat itu ditolak. Demikian ketatnya mencari kebenaran di dalam tradisi ilmu Islam, sedangkan dalam dunia sains sosial peribadi setiap responden daripada sesuatu sampel yang dipilih daripada sesuatu populasi yang besar tidaklah disemak sebegitu rapi dari satu individu ke satu individu.

Jika ada pun kaedah statistik untuk mengesan ‘pembohongan,’ ukuran itu hanya dibuat setakat mengukur kemungkinan pembohongan berdasarkan ‘respons’ pada suatu ketika dan pada lokasi itu sahaja. Statistik sains sosial biasanya tidak melakukan penyiasatan terperinci mengenai peribadi seseorang responden dalam konteks keseluruhan sejarah kehidupannya.
Demikianlah kebimbangan seorang bernama Wahab terhadap masa depan negara yang dicintainya. Dia bimbang melihat rakyat Malaysia yang mendabik dada hendak menegakkan kebenaran di tanah tumpah darahnya tetapi hanya merujuk sumber peperangan blog atau laman-laman sosial yang tidak mengetengahkan bagaimana sesuatu pendirian itu dibina.
Wahab tidak pernah takut dengan perubahan sebaliknya dia bimbang perubahan dibawa tidak ditegakkan di atas lantai kukuh dan dengan itu panji-panji kebenaran yang akan ditegakkan akan mudah rebah. Setelah rebah, panji-panji lain dicari lagi dalam kegelapan yang panjang dan tidak berkesudahan.Sambil terkenangkan nasib kerjaya Wahab, teringat saya dan beliau dulu selalu berbincang untuk memahami maksud Wawasan 2020 Dr. Mahathir Mohamad yang menyebutkan, antara lain, ‘Malaysia hendaklah melahirkan masyarakat saintifik’ dan ‘maju dengan acuan sendiri’.

Apakah masyarakat saintifik memadai jika ditafsir sebagai melahirkan sebanyak mungkin graduan dalam bidang sains dan bolehkah Malaysia maju dengan acuan sendiri yang ditegakkan di luar konteksnya melalui tafsiran kebenaran dan kebebasan yang diimport? Atau, dia lebih dari itu.

Adakah nasib Wahab ditentukan oleh proses saintifik atau oleh kebenaran mengikut tradisi ilmu dan dalam konteksnya? Biarlah begitu kerana Wahab tidak penting.




TAN SRI DR. NORDIN KARDI
Penyandang Kursi Za‘ba,
Universiti Pendidikan Sultan Idris