HUJUNG abad ke 19 hingga pertengahan abad ke 20 menyaksikan satu demi satu negara di dunia yang pernah terjajah puluhan, malah ratusan tahun merayakan kejayaan impian supaya negara diperintah oleh bangsa sendiri menjadi realiti.
Pelbagai perkataan yang indah dipilih bagi mewakili ekspresi lambang kehebatan negara bangsa yang baru merdeka itu dalam menentukan kesanggupan bangsa itu menghadapi sendiri nasib baik dan buruk pada zaman berikutnya.
Pelbagai sumpah setia bangsa dilafaz dengan penuh semangat dan didokumentasikan.
Kebebasan menentukan nasib diri sendiri yang dipanggil juga sebagai kedaulatan menjadi perkataan suci yang sanggup dipertahankan dengan apa saja.
Aspirasi menentukan nasib sendiri itu diperkukuhkan oleh Charter Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang seperti serik dengan pengalaman menghadapi dua peperangan besar dunia yang memundurkan tamadun manusia lebih ke belakang.
Artikel Satu, Perkara Dua tujuan penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyebutkan dengan jelas tentang hubungan antara negara berdasarkan prinsip equal rights dan self-determination demi memastikan keamanan sejagat.
Selanjutnya Artikel Dua, Perkara Satu menambahkan lagi kejelasan kebebasan setiap negara anggota yang berbunyi, Organisasi ini berlandaskan prinsip kesamarataan kedaulatan setiap negara anggota.
Namun pertengahan kurun ke-20 menyaksikan pula perubahan set pemikiran warganegara yang dahulunya sangat kental mempertahankan prinsip menolak sebarang campur tangan pihak luar dalam urusan dalaman sesebuah negara bangsa kepada set pemikiran yang seperti mengundang pihak luar secara terhormat memberi arahan apa yang betul dan apa yang tidak betul dalam menguruskan kehidupan sesebuah negara anggota masyarakat dunia.
Jika pada suatu masa generasi muda kecewa kerana sejarah sesuatu negara mencatat tentang adanya pembesar-pembesar negara sanggup menyerahkan negara dijajah kuasa luar, generasi yang dahulunya muda tetapi kini telah berusia seperti mengulang apa yang mereka pernah benci suatu masa lalu itu.
Ini mungkin kerana kehebatan kerja-kerja diplomasi negara-negara yang secara tradisinya suka menjajah secara halus menjaga kepentingan mereka melalui pelaburan dalam pelbagai program bantuan seperti atas nama pertukaran pelajar pelbagai budaya, aktiviti kesarjanaan dan pembangunan komuniti profesional.
Perubahan set pemikiran segolongan warganegara ini menyediakan tanah yang subur bagi kuasa-kuasa penjajah tradisi itu menggunakan sepenuhnya PBB untuk tujuan menjaga pelbagai kepentingan mereka.
Kuasa-kuasa tradisi penjajah ini mewujudkan pelbagai badan bukan kerajaan dan kemudian menggunakan PBB untuk menghalalkan kuasa badan-badan tersebut.
Badan-badan yang pada mulanya tidak lebih daripada pertubuhan sukarela, tiba-tiba berubah menjadi badan penguasa yang boleh mengeluarkan pelbagai peraturan yang mereka namakan sebagai undang-undang antarabangsa. Kuasa-kuasa penjajah tradisi ini menyalurkan kehendak-kehendak mereka yang dihalalkan oleh badan dunia yang mulia itu.
Contoh yang mudah difahami mengenai kuasa badan-badan sukarela dunia ini ialah dalam kes penjanaan tenaga nuklear Iran.
Suatu badan yang asalnya ialah badan sukarela, iaitu Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), melekatkan dirinya dengan PBB atas nama mempromosikan penggunaan tenaga atom untuk tujuan kesejahteraan manusia dan keamanan, telah mengeluarkan peraturan yang membataskan apa yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh negara-negara anggota.
Selepas Iran mengakui telah melakukan ujian nuklear pada tahun 2009, Ketua Pengarah IAEA membuat kenyataan bahawa kawalan edaran tenaga nuklear hendaklah dipindahkan daripada kuasa nasional kepada kuasa multinasional.
Jika Charter PBB itu diumpamakan Perlembagaan sesebuah negara, peraturan IAEA telah melanggar dasar Perlembagaan itu yang menjamin ruang kuasa atau jurisdiction sebuah negara anggota. Arahan itu secara langsung mencerobohi kemerdekaan dan kedaulatan negara Iran.
Merestui
Dalam kes Iran, mungkin banyak negara anggota PBB merestui penggunaan IAEA oleh negara penjajah tradisi kerana kurang yakin terhadap kewarasan Iran mengawal kesudahan usaha nuklearnya setelah melihat Iran pernah ghairah mengeksport revolusi pada tahun 1980-an di bawah Khomeini.
Tetapi, kes negara Haiti, memperlihatkan bagaimana badan-badan sukarela dipergunakan sepenuhnya secara yang dikatakan sangat tidak bermoral dalam menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya demokratik.
Kerajaan yang sangat popular dijatuhkan melalui operasi oleh kuasa luar yang menggunakan ejen-ejen tempatan.
Badan yang ditaja, menamakan diri mereka the National Coalition for Haitian Rights (NCHR) memainkan peranan mempersoalkan isu ketelusan proses pilihan raya.
Badan antarabangsa memberi tekanan kepada kerajaan Haiti dengan menghentikan semua bantuan kewangan berikutan daripada aduan-aduan itu.
Namun keadaan itu tidak pula mengurangkan sokongan kepada kerajaan Aristide. Episod ini berkesudahan dengan apa yang didakwa oleh Aristide sebagai kudeta yang dilakukan sendiri oleh tentera negara besar dengan menculiknya dan memaksanya menandatangani surat meletak jawatan sebagai Presiden.
Aristide mengatakan dia diterbangkan dengan kawalan tentera asing bersenjata ke Republik Afrika Tengah dan kemudiannya ke Afrika Selatan. Dua orang personaliti Haiti yang telah tinggal dan dilatih di Amerika Syarikat kemudiannya dibawa pulang ke Haiti untuk menjawat jawatan masing-masing, sebagai Presiden dan Perdana Menteri.
Ini suatu keadaan yang tidak semestinya terpencil dengan turut melihat pemimpin di Afghanistan, termasuk Mesir yang dikagumi segolongan orang Malaysia sekarang. Meskipun The Caribbean Community (CARICOM) yang seakan-akan ASEAN di sini mengutuk kudeta di Haiti itu dan mempersoalkan kesahan kerajaan yang baru, kutukan itu tidak pernah diendahkan oleh masyarakat antara bangsa termasuk PBB.
Demikianlah, bukan sahaja kerajaan yang dikatakan menindas dan dibenci oleh warganegaranya boleh diturunkan tetapi sebuah kerajaan yang disokong oleh majoriti warganegara juga boleh diturunkan oleh sesuatu kuasa yang mempunyai kepentingan tertentu.
Kuasa luar dijemput secara sangat terhormat oleh segolongan warganegara sesebuah negara sasaran, dan jemputan itu diberi layanan istimewa walaupun yang menjemput itu mewakili golongan yang sangat minoriti.
Di Malaysia sendiri nampaknya ada bibit warganegaranya mulai dilatih dan diorientasikan dengan sengaja supaya mengagungkan pengesahan daripada kuasa luar ini tentang apa yang baik dan tidak baik untuk Malaysia.
Atas nama pengiktirafan antara bangsa dari sekecil perkara berkaitan hal teknikal seperti dalam pentadbiran yang memerlukan persijilan ISO berasal dari Geneva, hingga ke pengurusan ilmu yang institusinya ghairah menagih ranking hinggalah kepada proses pilihan raya umum yang bakal menentukan nasib buruk atau sejahteranya umat di negara ini.
Seperti tidak sempurna sesuatu aktiviti kehidupan bernegara di Malaysia sekiranya tidak mendapat endorsement daripada luar.
Orang berpengetahuan psikologi akan cepat mengesan tanda-tanda potensi perlakuan tidak normal pada masyarakat atau komuniti seperti ini.
Dikatakan Pilihan Raya Umum di Malaysia tidak akan sah selagi dia tidak diselia, dipantau dan disahkan oleh badan asing atas nama neutraliti.
Yang terbaharu pada pengamatan saya di Malaysia ialah munculnya golongan yang bergerak cergas mengundang campur tangan PBB menyemak semula referendum 1963 tentang pembentukan Malaysia.
Mereka menuntut supaya PBB mengadili kesahan referendum itu dan pelaksanaannya. Gerakan seperti ini, sekiranya berlaku pada zaman Tun Razak dan Tun Hussein Onn, tentulah akan mendapat jawapan yang sangat serius daripada kedua-dua tokoh itu.
Gerakan seperti ini akan disifatkannya sebagai suatu gerakan subversif dan anti-nasional. Namun, pada zaman ini, semuanya seperti dibenarkan atas nama kebebasan menyatakan sesuatu pendirian di sebuah negara yang mengaku mengamalkan demokrasi seperti Malaysia.
Dalam kes Haiti, Aristide mendedahkan bahawa kudeta ke atasnya berlaku kerana keengganannya membuka syarikat-syarikat kepentingan awam seperti elektrik dan telekom yang dikuasai oleh kerajaan untuk dikuasai oleh syarikat-syarikat besar daripada Amerika Syarikat terutamanya.
Malaysia tidak sedikit pun kurang pentingnya berbanding Haiti. Malaysia ada TNB, PNB, Telekom, Felda, Tabung Haji dan dengan itu pemimpin Malaysia sewajarnya lebih bijaksana daripada Aristide.